Written By JOM JALAN on 27/08/04 | Jumaat, Ogos 27, 2004
Tayangan Perdana Diraja Puteri Gunung Ledang
Laporan: ABD. AZIZ ITAR
TENTU ramai peminat filem Melayu yang tidak sabar untuk menonton filem Puteri Gunung Ledang (PGL).
Walaupun PGL akan ditayangkan kepada umum pada 31 Ogos ini, tetapi bahang kemunculannya sudah mula dirasai.
Fenomena itu dapat dilihat ketika Tayangan Perdana Diraja PGL diadakan di pawagam TGV, KLCC malam kelmarin.
Sebanyak lima daripada 13 pawagam di pusat beli-belah terkemuka itu ditutup kepada orang ramai mulai pukul 5 petang hari tersebut kerana mahu memberi laluan Tayangan Perdana Diraja itu.
Yang Dipertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid adalah antara tetamu diraja yang hadir menyaksikan tayangan itu.
Turut hadir Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dan wakil khas kementerian bertaraf menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Effendi Norwawi.
Selain Seri Paduka berdua, ramai lagi jemputan khas termasuk para pelakon PGL turut hadir menyaksikan tayangan sulung filem dengan kos lebih RM15 juta itu.
Sebelum tayangan, para jemputan khas dan pelakon PGL diraikan pada satu majlis koktel.
Selepas itu, tetamu diarak melalui karpet merah menuju ke pawagam untuk menyaksikan tayangan filem paling mahal dalam sejarah industri perfileman tempatan itu.
Justeru, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kemunculan bintang-bintang PGL di pusat beli-belah tersebut.
Antaranya Tiara Jacquelina yang melakonkan watak Gusti Putri Retno Dumilah, M. Nasir (Hang Tuah), Adlin Aman Ramlie (Sultan Mahmud Shah), Sofia Jane (Tun Teja), Khir Rahman (Tun Mamat).
Tiga pelakon ternama Indonesia yang turut menjayakan filem itu, Slamet Rahardjo (Patih), Christine Hakim (Bayan) dan Alex Komang (Gusti Adipati Handaya Ningrat) juga didatangkan khas untuk memeriahkan majlis.
Filem terbitan Enfiniti Productions dan arahan Saw Teong Hin ini mengisahkan tentang Gusti Putri Retno Dumilah yang melarikan diri dari Pulau Jawa ke Gunung Ledang.
Tujuannya semata-mata kerana mahu mengejar cinta lelaki yang paling dikasihinya iaitu Hang Tuah.
Cinta Gusti Putri terhalang apabila Sultan Mahmud Shah mahu melamarnya. Bagi menolak pinangan itu, Gusti Putri mengenakan tujuh syarat.
Anda akan tahu sejauhmana kehebatan cinta Gusti Putri dan Hang Tuah selepas menyaksikan filem ini di pawagam.