Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 30/08/04 | Isnin, Ogos 30, 2004


Slamet, Christine & Alex - Bercerita di sebalik PGL
Laporan: ABD. AZIZ ITAR


PUTERI Gunung Ledang (PGL) yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai esok mencatat sejarahnya sendiri kerana ia merupakan filem tempatan paling mahal pernah dihasilkan dengan bajet lebih RM15 juta dan ia tidak termasuk kos promosi.
Selain menampilkan pelakon tempatan, filem arahan Saw Teong Hin ini turut mempertaruhkan tiga nama besar dari Indonesia untuk memantapkan lagi PGL.
Mereka ialah Slamet Raharjo Djarot, Christine Hakim dan Alex Komang.
Utusan Malaysia sempat bertemu tiga pelakon terbabit petang Jumaat lalu untuk berkongsi pengalaman mereka tentang PGL.
Slamet - Minum banyak air
WALAUPUN Slamet mempunyai pengalaman berlakon selama 34 tahun tetapi kemampuannya masih teruji dalam PGL.
Slamet, 55, terpaksa minum banyak air untuk melakonkan watak Patih dengan penuh penghayatan.
``Bagi saya, adegan paling susah dalam PGL ialah ketika Gusti Adipati (lakonan Alex Komang) memarahi Bayan (Christine Hakim).
``Gusti Adipati marah kerana Bayan membantu Gusti Putri melarikan diri ke Gunung Ledang.
``Saya yang juga terbabit dalam adegan itu terpaksa melakonkan watak Patih dengan mempamerkan ekspresi wajah sahaja.
``Ini kerana dalam adegan itu, watak Patih tidak mempunyai banyak dialog. Akibatnya, saya banyak kehilangan peluh.
``Saya terpaksa minum tiga botol besar air mineal untuk mengembalikan semula semangat serta tenaga saya,'' kata Slamet.
Menurut Slamet, bila terima sesuatu tawaran dia akan melakonkan bersungguh-sungguh kerana dia amat memilih.
``Sebab itu walaupun sudah 34 tahun dalam bidang ini saya baru berlakon 15 filem sahaja,'' katanya.
Mei lalu, Slamet menerima anugerah Satya Lencana Kebudayaan dari Kerajaan Indonesia.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Megawati Soekarno Putri kerana jasanya dalam seni teater dan filem.
Christine - Watak Bayan memang sukar
CHRISTINE pernah melakonkan pelbagai watak dalam filem-filem yang dilakonkannya sebelum ini.
Namun, ia tidak sama seperti watak Bayan dalam PGL yang memerlukannya memberi sepenuh penghayatan.
``Walaupun watak Bayan dalam PGL tidak banyak iaitu tidak sampaipun 10 adegan tetapi saya dapati watak itu sungguh berat sekali.
``Watak itu memerlukan saya mempamerkan ekspresi wajah dan nada suara yang perlahan tetapi penuh dengan penghayatan.
``Ia sesuai dengan watak Bayan iaitu sebagai orang suruhan istana. Watak itu mungkin sesuai dengan usia dan penampilan saya,'' ujarnya.
Menurut Christine, 47, dia menerima tawaran berlakon dalam PGL kerana mahu membantu menghidupkan dunia perfileman Malaysia.
``Saya terima undangan Tiara berlakon dalam filem ini kerana saya tahu dia lakukan sesuatu yang bermanfaat untuk industri perfileman Malaysia.
``Malaysia dan Indonesia bukan setakat dua negara yang berjiran tetapi sudah seperti adik-beradik kembar,'' kata Christine yang datang lewat untuk sesi temubual kerana menjenguk bapanya, Hakim Thahar, 74, yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara.
Alex - Enam bulan hayati watak
ALEX Komang atau nama sebenarnya Saifin Nuha, 42, memberikan komitmen yang tinggi apabila menerima tawaran berlakon dalam PGL.
Alex membuat kajian terperinci terutama daripada segi dialog sebelum penggambaran filem terbitan EnfiniTi Productions ini dijalankan.
``Saya mengkaji terlebih dahulu skrip dan dialog yang membabitkan watak Gusti Adipati Handaya Ningrat.
``Saya mengambil masa enam bulan untuk membuat terjemahan dialog daripada Bahasa Malaysia ke Bahasa Indonesia.
``Ini kerana, dialog yang diberi kepada saya pada asalnya adalah dalam Bahasa Malaysia.
``Jadi, saya harus menyesuaikan dialog supaya ia sesuai dengan watak Raja Majapahit yang saya lakonkan itu,'' ujarnya.
Bercerita tentang pengalamannya dalam PGL, menurut Alex dia tidak dapat melupakan adegan pertarungan membabitkan Gusti Adipati dengan Hang Tuah.
``Adegan itu paling mencabar saya kerana adegan itu dibuat di kawasan yang berair. Agak sulit juga untuk berlakon di kawasan yang mencabar seperti itu.
``Saya bukan sahaja terpaksa bersilat dan melompat tinggi tetapi juga terjun ke dalam laut. Walaupun penggambaran membabitkan watak Gusti Adipati cuma 20 hari sahaja tetapi ia sungguh mencabar sekali,'' kata Alex lagi.