Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 24/09/04 | Jumaat, September 24, 2004


Islam Hadhari perkasakan bangsa Melayu - Abdullah
[ABDULLAH Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak mengangkat tangan selepas diumumkan secara rasmi sebagai Presiden dan Timbalan Presiden yang baru pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. - Gambar RAJA JAAFAR ALI]
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru orang Melayu menjayakan pendekatan Islam Hadhari sebagai cetusan kebangkitan dan memperkasakan perjuangan bangsa.
Dalam ucapan dasar pertama sebagai Presiden UMNO, Abdullah yakin bahawa pegangan kepada Islam Hadhari boleh mengembalikan semula umat Islam yang dianuti orang Melayu kepada landasan kecemerlangan dalam semua bidang.
Apa yang dilihat sebagai suntikan baru kepada usaha mengatasi kelemahan masyarakat Melayu dalam persaingan dengan kaum lain serta menghadapi cabaran global, beliau menegaskan:
``Islam Hadhari berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu.''
Dalam hubungan ini, Abdullah mahu orang Melayu bangkit menerusi tiga kali ungkapannya ``bangunlah bangsaku'' terutama dalam konteks untuk membawa perubahan.
``Kitalah yang akan memberi nilai. Kitalah yang akan menentukan maruah kedaulatannya. Ingat bangsa ku, jangan kalah dalam saingan - perlu menang dalam perjuangan,'' katanya dalam ucapan dasar perasmian Perhimpunan Agung ke-55 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Majlis perasmian perhimpunan tersebut menyaksikan Abdullah disahkan secara rasmi sebagai Presiden UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Presiden - melengkapkan fasa peralihan kepimpinan dalam parti itu daripada bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Abdullah yang juga Perdana Menteri adalah Presiden UMNO ke-6.
Dr. Mahathir adalah antara ribuan termasuk 2,553 perwakilan yang hadir pada majlis tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi RTM.
Walaupun Abdullah kerap membangkitkan Islam Hadhari selepas memperkenalkannya sejak menjadi Perdana Menteri akhir tahun lalu tetapi inilah kali pertama konsep Islam Hadhari didokumenkan dalam ucapannya.
Abdullah yang menyentuh pelbagai perkara memulakan ucapan dengan topik Islam yang merangkumi Islam Hadhari serta perjuangan bangsa terutama agenda Melayu menerusi pendekatan lebih realistik dan menyeluruh.
Beliau menggariskan 10 prinsip utama Islam Hadhari iaitu meliputi keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi; kerajaan adil dan beramanah; rakyat berjiwa merdeka; penguasaan ilmu pengetahuan; pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif; kehidupan berkualiti; pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; keutuhan budaya dan moral; pemeliharaan alam semulajadi serta kekuatan pertahanan.
Abdullah menambah, Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun yang menyeluruh.
Menurutnya, Islam Hadhari bukanlah agama baru, bukan ajaran baru dan bukannya mazhab baru.
``Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas - kepada fundamental.
``Asas dan fundamental menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam,'' jelas beliau.
Abdullah berkata, Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas - jika difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah.
Justeru dengan nada yang tegas, Perdana Menteri berkata, ``bukannya budaya UMNO untuk bermain dengan agama. UMNO tidak pernah membenarkan agama dijadikan alat. UMNO menentang tegas agama dipolitikkan.''
Malah beliau menegaskan UMNO akan memastikan bahawa Islam dan umat Islam senantiasa dilindungi.
Abdullah menarik perhatian bahawa menjayakan Islam Hadhari dengan sendirinya akan dapat membantu pencapaian agenda Melayu menerusi langkah pengukuhan terutama dalam membina kapasiti yang lebih kompetitif.
``Langkah-langkah pengukuhan perlu kita tumpukan untuk membina kapasiti bumiputera supaya dapat menguasai sesuatu secara berkekalan dan secara berpanjangan,'' kata beliau.
Ia meliputi semua perkara yang menjadi hambatan orang Melayu - penguasaan ilmu terutama sains dan teknologi, kemahiran, ekonomi, mengatasi masalah kemiskinan dan perubahan minda.
Menurut beliau, perubahan minda Melayu memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara drastik, secara sistematik dan tidak bersifat sektor atau partisan.
Ini bagi menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama; akal; nyawa; harta; dan keturunan.
Secara jelas Abdullah memberi mesej: ``Kekuatan Melayu hendaklah diasaskan kepada kekuatan harga diri.''
Beliau memberi ingatan tersebut kerana menegaskan kekuatan politik orang Melayu hendaklah digunakan secara bijaksana untuk menggerakkan keupayaan bangsa supaya parti itu tidak lagi dilihat menjadi jurubicara dan pemudah cara kepada bangsa yang lemah.
Dalam ucapannya itu, Abdullah menegaskan, masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan dalam usaha memartabatkan bangsa yang memerlukan semua bermuhasabah.
``Kita jangan hanya mencari kelemahan kerajaan - carilah juga kelemahan diri sendiri,'' ujarnya.
Menurut beliau, dalam mengharapkan peranan kerajaan , orang Melayu juga mesti sanggup mengambil tanggungjawab . Tegasnya lagi: ``Kita sendiri hendaklah bersedia melakukan perubahan untuk membawa pembaharuan, bermula dari dalam diri - bermula dari dalam parti.''
Presiden UMNO itu menarik perhatian bahawa agenda memartabat bangsa Melayu menuntut tanggungjawab semua dari perubahan sikap orang Melayu, komitmen kerajaan, parti sehinggalah kepada badan-badan swasta dan individu bumiputera yang telah berjaya.
``Ia adalah usaha jangka panjang. Ia menuntut kepada ketabahan, kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan. Ia melibatkan pembangunan sikap. Ia melibatkan pembangunan mental,'' jelasnya.