Mereka menganggap isu itu hanya akan mengganggu kelicinan perhimpunan dan membuang masa perwakilan untuk membahaskan usul sebenar yang lebih serius untuk kepentingan perpaduan serta membela nasib bangsa.
Pada perhimpunan agung itu, tiga usul utama yang akan dibentang oleh perwakilan ialah mengenai perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO, sosioekonomi dan agama.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, perkara yang perlu dibahas dan dibentangkan oleh perwakilan ialah perkara pokok yang telah ditetapkan, tetapi bukan kepada isu membabitkan individu (Anwar) di luar parti.
``UMNO sebagai sebuah parti yang mula ditubuhkan pada tahun 1946 sudah melewati usia matang, maka para perwakilan juga perlu ikut matang dalam perbahasan dan membentang usul yang menjurus kepada perkara yang boleh menjadi dasar kerajaan bagi membela nasib bangsa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhammad diminta mengulas wawancara Utusan
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menegaskan, memang menjadi ketetapan pengurusan parti bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini perlu memberi fokus kepada agenda parti.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Azmi Khalid berkata, isu Anwar tidak perlu menjadi perbincangan di dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana ia adalah individu di luar parti.
``Isu yang lebih besar dan penting untuk dibahaskan oleh perwakilan ialah mengenai ucapan dasar Presiden UMNO, usul sosio ekonomi dan agama, jadi apa perlu bincang isu Anwar yang tidak kena mengena lagi dengan UMNO kerana dia sudah jadi pembangkang,'' katanya.
Menurut Azmi, sepatutnya isu Anwar tidak perlu disebut lagi kerana pendirian parti yang pernah dinyatakan oleh pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini sudah jelas bahawa UMNO telah menolak kemasukan semula Anwar.
Seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, para perwakilan UMNO perlu lebih matang ketika menyampaikan usul dan hujah perbahasan serta memberi fokus kepada agenda hala tuju parti mengharungi arus era globalisasi, tetapi bukan kepada isu Anwar.
``Kita harap perwakilan yang membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO serta membentangkan usul sosio ekonomi dan usul agama dapat menyediakan teks yang benar-benar mantap bagi memudahkan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO membuat rumusan ketika menyampaikan ucapan penggulungan mereka nanti,'' katanya.
Ahli MT UMNO, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata, isu Anwar yang sudah menjadi pembangkang tidak perlu ditimbulkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan parti itu lagi.
``Sewajarnya kita pemimpin UMNO memberi fokus kepada agenda parti khususnya mengenai usul sosio ekonomi sehingga boleh dijadikan dasar ke arah membela nasib golongan rakyat miskin di luar bandar,'' katanya [Utusan]
Ketiga-tiga sayap UMNO sebulat suara tolak Anwar
23/09/2004 1:04 a.m.
Ini sekali gus mencerminkan sokongan mereka terhadap keputusan Majlis Tertinggi UMNO minggu lalu yang menutup pintu kepada bekas timbalan presiden parti dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menganggotai semula parti itu.
Pendirian itu ditegaskan oleh ketua ketiga-tiga pergerakan berkenaan ketika mereka menyampaikan ucapan dasar pada persidangan perwakilan masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Mereka, tanpa menyebut sebarang nama, menegaskan bahawa penderhaka kepada perjuangan parti tidak harus diterima semula dan diberi peluang kedua untuk memusnahkan parti itu dari dalam.
Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan pada September 1998 dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan awal bulan ini daripada kesalahan liwat.
Beliau telah menyatakan hasrat untuk bergiat semula dalam politik dan meneruskan gerakan "reformasi" yang dicetuskan sejurus selepas pemecatannya dari parti dan kerajaan.
"Reformasi" yang diwarnai demonstrasi jalanan tidak mendapat sambutan majoriti rakyat dan disusuli dengan penubuhan parti Keadilan yang turut gagal mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya umum Mac lalu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata: "Pemuda tidak akan membenarkan penderhaka atau pengkhianat diberi ruang walaupun seinci untuk memusnahkan parti daripada dalam buat kali kedua."
"Mereka yang pernah menentang UMNO, yang pernah membakar bendera UMNO dan yang pernah berarak mempersenda pemimpin UMNO, jangan mimpi untuk kembali berada dalam UMNO, apatah lagi untuk berada dalam tampuk kepimpinan UMNO," tegasnya.
Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz pula berkata, anggota UMNO hendaklah mengelak daripada menyokong atau terbabit dengan pihak yang terbukti, sekian lama, bertindak dengan cara yang membawa mudarat kepada masyarakat dan mengganggu gugat suasana yang stabil.
Katanya, Wanita UMNO tidak akan mengizinkan sesiapa yang berpandu kepada agenda peribadi memasuki parti untuk mengganggu gugat.
Tanpa menyebut nama, beliau berkata: "Faham-faham sahajalah siapa yang saya maksudkan."
Ketua Puteri UMNO Datuk Azalina Othman Said berkata, pergerakan perlu menolak golongan penderhaka UMNO, iaitu yang pernah keluar dan menentang parti.
"Yang harus kita tentang ialah pemimpin yang keluar dan menentang kita. Jangan sekali-kali benarkan mereka ini yang menderhaka dibawa masuk ke pintu UMNO," katanya. - Bernama