Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Khatib perlu pertingkatkan cara menyampai khutbah

Written By JOM JALAN on 29/09/04 | Rabu, September 29, 2004

Khatib perlu pertingkatkan cara menyampai khutbah

Saudara Pengarang,
SETELAH mendengar khatib membaca khutbah di sebuah masjid di Melaka pada 17 September 2004, saya tergerak hati untuk menulis mengenainya. Ini kerana, saya merasa semacam ironi tentang khatib yang membaca khutbah dengan kandungan khutbahnya.

Tema khutbahnya tentang budaya iqra. Khatib menyampaikan betapa pentingnya membaca bagi umat Islam. Ibu bapa, katanya, hendaklah menjadi contoh bagi anak-anaknya. Seterusnya disebut pula betapa Islam telah mencapai kecemerlangan ilmu kerana budaya membaca.

Namun, di sebalik khatib menasihati jemaah, beliau sendiri bertatih-tatih membacanya. Misalnya, astronomi disebutnya astrononi. Banyaklah istilah-istilah yang yang tidak disebut dengan betul.

Di sini jelaslah bahawa beliau tidak membaca teks yang diberikan kepadanya. Sepatutnya beliau melakukan `kerja rumah' dengan menyemak terlebih dahulu sebelum membacanya.

Jika terdapat istilah-istilah yang kurang difahami, beliau boleh merujuk kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Bagaimanakah para jemaah hendak mengikuti nasihatnya, sedangkan beliau sendiri tidak melaksanakan mesej khutbah tersebut.

Di Melaka, saya telah pergi ke berapa masjid untuk bersolat Jumaat. Saya temui beberapa kesalahan dan kelemahan khatib misalnya di Masjid Londang, Masjid Bertam Ulu, Masjid Cheng dan Masjid Daerah Alor Gajah.

Di antara kesalahan besar yang sering saya temui: (1) pada bacaan penutup khutbah pertama, yakni barakallau li walakum ... dan seterusnya. (2) bacaan selawat ketika memulai doa pada khutbah kedua.

Padahal bacaan ini adalah rutin yang sentiasa dibaca oleh khatib setiap khutbah. (3) Bacaan ayat-ayat al-Quran dan hadis.

Apakah kerja mereka sebenarnya? Apakah kerja khatib ini boleh dibuat sambil lewa sahaja?

Sudah tibalah masanya khutbah Jumaat dibaca oleh khatib yang berkelayakan. Demikian pula, kandungan dan cara penyampaiannya perlu dipertingkatkan lagi. - DOMPAS, Melaka.