Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bunuh mertua majikan

Written By JOM JALAN on 29/09/04 | Rabu, September 29, 2004

Bunuh mertua majikan

SINGAPURA 28 Sept. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia mengaku bersalah membunuh ibu mertua majikannya selepas dimarahi oleh wanita itu, lapor akhbar Straits Times hari ini.

Purwanti Parji, 19, mengaku membunuh Har Chit Heang,57, dengan menjerut leher mangsa pada Ogos tahun lalu.

Akhbar Straits Times melaporkan, pembantu rumah terbabit menghadapi hukuman penjara seumur hidup kerana kesalahan itu.

Seorang jurucakap mahkamah, Jenny Ang memberitahu Associated Press (AP) bahawa hukuman ke atas Purwanti akan dijatuhkan esok.

Jumaat lalu, seorang lagi pembantu rumah rakyat Indonesia, Sundarti Supriyanto dikenakan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh majikan serta anak perempuannya berusia tiga tahun.

Purwanti bekerja dengan majikannya yang merupakan anak mangsa selama sembilan bulan dan dia turut berulang alik di antara dua buah rumah dengan menjadi pembantu rumah kepada Chit Heang.

Dia dimarahi oleh Chit Heang pada awal pagi sebelum membunuh wanita terbabit. Pembantu rumah itu kemudiannya mengambil pisau dan menghiris lengan Chit Heang supaya ia kelihatan seperti membunuh diri.

Akhbar Straits Times melaporkan, Purwanti ditangkap pada hari kejadian.

Mahkamah Singapura sering mendengar kes-kes penderaan fizikal ke atas pembantu rumah tetapi keganasan terhadap majikan oleh pembantu rumah mereka jarang berlaku.

Terdapat kira-kira 140,00 pembantu rumah asing bekerja di Singapura dengan kebanyakan mereka berasal dari Filipina dan Indonesia manakala selebihnya ialah warganegara Sri Lanka, Myanmar dan Thailand. - AP