Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 17/09/04 | Jumaat, September 17, 2004


Takrif cinta Shandy & Samuel
Oleh Zubir Mohd Yunus14 September 2004

TONGGAK utama Eiffle... I'm In Love (EIIL), Shandy Aulia dan Samuel Rizal dikatakan bakal memberi saingan hebat kepada Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra apabila populariti mereka di Indonesia ketika ini persis superstar! Difahamkan, selepas lima hari filem itu menemui penonton Malaysia mulai 2 September lalu, kutipan tiketnya hampir mencecah RM100,000! Justeru, pengedar EIIL di Malaysia, Sendi Mutiara Sdn Bhd mengatur pertemuan BINTANG POPULAR bersama Shandy dan Samuel,
baru-baru ini.


APABILA menonton EIIL, terasa alangkah bertuahnya hidup ini sekiranya kita mampu untuk kembali ke zaman remaja dan melalui semula saat manis ketika perasaan serta hati belajar mengenali kalimah cinta agung yang dapat menyatukan dua jiwa menjadi satu.

Filem yang diadaptasikan dari novel karya Rachmania Arunita dan diterjemahkan ke layar perak oleh pengarah yang pernah menghasilkan Catatan Si Boy, Nasri Cheppy, EIIL sebenarnya sebuah filem cinta remaja yang begitu mudah difahami, sebaliknya dipersembahkan dengan elemen muzik dan jalan cerita yang indah, sekali gus menggunakan populariti kota cinta, Paris terutama Menara Eiffel sebagai salah satu latar tempatnya.

Sebaik mendengar melodi indah dan suara emas Melly Goeslow bersama Jimmo menerusi lagu 'berhantu' Pujaanku, terasa diri ini terlalu hampir dengan EIIL kerana ia menceritakan senario sebenar yang berlaku ke atas Tita (lakonan Shandy), seorang gadis remaja 15 tahun yang memberontak menuntut kebebasan apabila mengenali cinta buta pacaran dengan Ergi (lakonan Yogi Finanda).

Shandy yang kini menuntut di tingkatan menengah atas di Donbosco, Jakarta, mengakui tertarik dengan skrip dan jalan cerita EIIL apabila ia memaparkan kehidupan sebenar seorang gadis yang baru mencecah usia 15 tahun, lalu terjebak dengan cinta.

"Apabila membaca skripnya, saya tertarik terutama dengan karektor Tita. Saya benar-benar menjadi gadis 15 tahun yang inginkan kebebasan kerana dia sering dikongkong keluarga dan dalam masa sama mengawal perasaan apabila berpacaran dengan Ergi.

"Percintaan Tita dan Ergi begitu indah sebelum kemunculan Adit (lakonan Samuel). Tapi, kesetiaan kami diduga apabila Tita mendapat tahu orang tuanya ingin menjodohkan dirinya dengan Adit, anak kenalan keluarganya yang menetap di Paris.

"Lazimnya remaja didedahkan dengan pergaulan tiada batasan, seks bebas, berpakaian seksi dan popular di kalangan rakan-rakannya, tetapi Tita tidak begitu. Justeru, apabila melakonkan watak Tita, saya berasakan diri saya benar-benar berada di dalam filem itu," kata gadis kacukan Palembang dan Belanda ini yang pertama kali berlakon filem selepas bakatnya dihidu ketika menjayakan iklan Rexona.

Kini, usia Shandy 17 tahun dan pastinya dia tidak terlepas dengan persoalan cinta apabila sering digosipkan berkawan rapat dengan Yogi, sekali gus turut menjalin hubungan istimewa bersama Roger Danuarta apabila Roger khabarnya menghadiahkan Shandy sebentuk cincin sebagai tanda cinta mereka.


Pun begitu, Shandy mempunyai perspektif yang berbeza mengenai cinta.

"Terus terang saya katakan, saya sebenarnya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan cinta. Tetapi saya lebih mengerti dengan perkataan sayang. Saya sekadar berkawan dan cuma sayang kepada mereka kerana itu lebih jujur. Jika dikatakan bercinta, saya rasa belum. Bagi saya cinta hanya di mulut dan hanya sementara.

"Justeru, saya lebih selesa kalau hanya berkawan dan sehingga ke hari ini, saya belum merasai apakah yang dinamakan cinta," akui Shandy yang memberitahu tidak punya waktu yang cukup untuk pacaran kerana kuliah dan lakonan benar-benar membuatkan dirinya kesempitan waktu.

Ketika ini Shandy sedang menyiapkan sinetron 26 episod, Pacar Khayalan dan dirinya terus menjadi buruan penerbit filem dan pengiklan yang ingin memaparkan wajah manis Shandy menerusi produk mereka. Justeru, adakah Shandy sudah siap untuk memberi saingan kepada pelakon remaja top Indonesia, Dian Sastrowardoyo?

"Masih terlalu awal untuk diri saya dikaitkan dengan populariti Dian. Dian lebih dulu terjun ke bidang ini dan popularitinya jauh meninggalkan saya. Sebenarnya industri itu sendiri yang memberi peluang kepada saya mahupun Dian menempa nama dalam bidang ini dan kami tidak seharusnya ada rasa cemburu antara satu sama lain," kata Shandy yang diuji bakat untuk EIIL bersama lebih 1,000 gadis jelita lain seluruh Jakarta.

Sementara itu, Samuel Rizal atau lebih senang dengan panggilan Sammy, memberitahu wataknya sebagai Adit adalah seorang lelaki yang sombong, ego, namun dalam diam dia sebenarnya turut mencintai Tita, tetapi sentiasa berusaha menyembunyikan perasaannya sehingga ada kalanya Tita berasakan dirinya terlalu dibenci Adit.

Selepas satu insiden di Taman Kota apabila Adit membongkar rahsia siapakah Ergi yang sebenarnya, pemuda playboy bermain cinta dengan Intan (lakonan Titi Kamal), barulah Tita dapat berasakan dirinya dihargai Adit lalu meminta izin Adit untuk meminjam 'dadanya' sebagai tempat dia menzahirkan perasaan kasih dan sayangnya.

"Di dalam filem ini saya dan Shandy memang ada 'chemistry'. Kami begitu mesra ketika di lokasi sehingga pacar saya, Galuh pada satu ketika berasa cemburu terutama ketika kami melakonkan babak ciuman. Tapi, saya sudah terangkan kepada Galuh, ini adalah kerjaya saya dan saya mahu dia faham.

"Saya juga sudah memperkenalkan Galuh kepada Shandy dan syukur kini mereka sudah jadi kawan baik. Dalam berpacaran saya punya prinsip. Kalau punya pacar, jangan macam-macam. Kalau mahu macam-macam, jangan punya pacar, ya terserah!," kata Sammy yang mengakui sudah lapan kali putus cinta apabila teman wanitanya sebelum ini tidak faham kerjayanya sebagai pemain bola keranjang dan model.

Sammy, 23, mahasiswa jurusan pengurusan komputer di STIMIK Perbanas, walaupun sentiasa membohongi perasaan Tita untuk mencari kegembiraan di dalam EIIL, sebenarnya seorang yang cukup romantis dengan Galuh.

"Saya terlalu menyayangi Galuh, di mana hubungan kami sudah mampu bertahan hampir dua tahun. Sebelum ini, saya pernah bercinta untuk tempoh dua minggu saja! Justeru, sesibuk mana saya dengan kuliah, olahraga, bersama keluarga, namun masa saya pacaran bersama Galuh tetap tercatat di dalam diari harian," akui Sammy yang sebelum ini pernah berlakon filem seram, Tusuk Jelangkung.

Sammy yang pernah dinobatkan sebagai Most Outstanding Model 2000, berharap dirinya tidak dibandingkan dengan rakan seperjuangan, Nicholas kerana keadaan membezakan populariti, akhirnya boleh memakan diri sendiri.