Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Datuk Abdul Aziz Shamsuddin

Written By JOM JALAN on 17/09/04 | Jumaat, September 17, 2004

Soal jawab calon MT: Kombinasi lama, baru teruskan perjuangan parti
Oleh Misiah Taib


Nama : Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, 66.
Asal : Gopeng, Perak.
Kelulusan : Ijazah Kepujian Sejarah Antarabangsa, UM (1975)

Jawatan politik :



Ahli Umno (sejak 1969).

Ketua Umno Bahagian Gopeng (sejak 1993).

Ahli Majlis Tertinggi Umno (2000-2003).

Jawatan kerajaan :


Guru (1961-1971).

Pegawai Khas Perdana Menteri (1975-1981).

Setiausaha Politik Perdana Menteri (1981-1999).

Senator Dewan Negara (1999-2004).

Timbalan Menteri Pendidikan (1999-2004).

Ahli Parlimen Shah Alam (sejak 2004).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (sejak 2004).


BERITA HARIAN (BH): Kenapa Datuk menawarkan diri sekali lagi bertanding Majlis Tertinggi?

ABDUL AZIZ: Daripada hidup seorang, lebih baik hidup beramai-ramai. Pepatah Melayu ada mengatakan hidup seorang bersempit-sempit, hidup ramai berlapang-lapang. Sebagai anggota masyarakat, saya berasa terpanggil untuk terus memberikan sumbangan. Peluang dan ruang paling baik dalam menentukan bangsa terus selamat ialah perjuangan harus dilakukan melalui Umno. Umno telah membuktikan keupayaan dan khidmat jasanya dalam mengangkat martabat Melayu ke tahap begitu tinggi seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

Kejayaan Umno juga diperhatikan secara serius, bukan saja oleh penduduk Malaysia, malah semua pemerhati peringkat dunia dan antarabangsa, khususnya kebolehan Umno menyatukan Melayu dan membawa pelbagai program sehingga Melayu tidak lagi terpinggir di desa, sebaliknya menjadi penghuni bandar dan di merata tempat di dunia. Limpahan manfaat yang dibawa Umno bukan saja dirasai oleh bangsa Melayu, malah bangsa lain di negara ini.

BH: Apakah Datuk menganggap jawatan sebagai menteri satu kelebihan?

ABDUL AZIZ: Bagi saya, jawatan bukan satu kelebihan. Tapi ia memberi saya rasa tanggungjawab kerana dengan berada di jawatan ini, saya dapat bersama-sama anggota Kabinet untuk berbincang masalah negara. Dengan itu, saya dapat tahu pandangan dan aspirasi kaum lain dan kaum kita sendiri. Dengan berada dalam MT, saya dapat membincang dan menyuarakan keseluruhan pendapat ini secara lebih efektif dan produktif bagi bangsa Melayu dan bangsa Malaysia. Jadi jawatan itu boleh dianggap penting bagi membolehkan kita bertukar pendapat secara bersungguh-sungguh tanpa batasan yang menyebabkan kita berasa takut dan bimbang. Dengan menjawat jawatan menteri, kita dapat bersuara di Kabinet.

BH: Jika terpilih, apakah Datuk akan lebih fokus kepada masalah yang membabitkan kementerian Datuk sendiri?

ABDUL AZIZ: Sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sudah pastinya saya berpeluang membentang aspirasi orang kampung, dapat menterjemahkan apa erti kesejahteraan bagi orang kita di kampung. Dengan itu juga saya dapat merayu supaya penekanan dapat diberikan kepada asas utama iaitu soal pelajaran, latihan dan kemahiran selain kemudahan lain. Ini semua penting supaya anak bangsa kita dapat hidup lebih selesa dan sejahtera. Malah diri saya sendiri juga harus terus menimba ilmu pengetahuan, selain memerhati dan menyelidik secara tertib apa juga isu dan permasalahan yang membelenggu anak bangsa. Dengan berada dalam MT, kita akan lebih mendisiplinkan diri kerana ia adalah badan tertinggi dalam parti. Kita perlu bertertib untuk menjadi teladan kepada anak bangsa.

BH: Sebagai penyandang dan muka lama, apa komen Datuk mengenai penawaran diri ramai muka baru dan kalangan profesional kali ini?

ABDUL AZIZ: Ia satu perkembangan sihat kerana kombinasi lama dan baru sememangnya perlu dalam meneruskan kesinambungan perjuangan parti. Saya sendiri pun berpeluang bekerja dengan dua Perdana Menteri. Saya bekerja dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) mulai 1975 sehingga 2003 dan kini diberi kepercayaan menyertai Kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tapi ramai yang tidak tahu bahawa Pak Lah adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada Dr Mahathir. Saya lebih dulu mengenali Pak Lah iaitu sewaktu Pak Lah menjadi Ketua Pengarah Belia pada 1971.Pak Lah yang memperkenalkan saya kepada Dr Mahathir pada 1975 dan persahabatan saya dengan Pak Lah tidak pernah putus sehinggalah sekarang. Baik Dr Mahathir mahupun Pak Lah memberikan banyak tunjuk ajar kepada saya.

BH: Pada usia sekarang, apakah cita-cita dan hala tuju perjuangan Datuk seterusnya dalam politik?

ABDUL AZIZ: Saya tidak mempunyai cita-cita tinggi dalam diri kecuali untuk menentukan anak bangsa selamat, aman dan makmur. Saya mahu memastikan tatkala anak bangsa kita ditekan, mereka berupaya naik ke puncak dan apabila anak bangsa kita dikurung mereka mampu keluar dari kurungan. Yang penting bangsa, bukan saya. Saya mahu memastikan anak bangsa kita bukan saja pandai tapi juga bijaksana. Kalau kita melangkah ke depan, kita harus memastikan setiap langkahan itu menepati sasaran, tepat dan menguntungkan bukan seorang dua individu, malah anak bangsa secara keseluruhan. Saya berdoa supaya bangsa kita terus berada dalam keadaan selamat, sihat, aman sejahtera, bersatu padu dan terus maju.

©New Straits Times (M) Berhad