Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

[Utusan Malaysia Online - Rencana] 31 tahun penubuhan Malaysia

Written By JOM JALAN on 16/09/04 | Khamis, September 16, 2004

Oleh Zin Mahmud

(WARTAWAN UTUSAN)
Hari ini 16 September, ulang tahun penubuhan Malaysia ke-31 dan juga hari penutup Bulan Kemerdekaan 2004 yang diadakan di Kuching, Sarawak. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail turut hadir dalam majlis ini.

Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 atas gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Hari itu juga adalah hari perisytiharan kemerdekaan Sabah dan Sarawak daripada penjajahan.

Institusi Yang di-Pertuan Agong yang pada awalnya hanya merupakan ketua negara bagi Tanah Melayu telah diperluaskan meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah. Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Konsep Malaysia yang digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman berdiri di atas semangat perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Konsep ini berasaskan pada idea persekutuan di mana negeri-negeri menyerahkan sebahagian kedaulatannya kepada suatu kerajaan persekutuan untuk memberi kekuatan kepada keseluruhan gabungan.

Namun begitu, entiti setiap negeri kekal dengan Singapura, Sabah dan Sarawak mempunyai bidang kuasa lebih luas berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Apa yang menjadi unik pada gagasan persekutuan Malaysia ini ialah penerimaan semua negeri kepada institusi ketua negara yang datang daripada Majlis Raja-Raja Melayu, dianggotai oleh sembilan raja-raja Melayu dari Semenanjung Malaysia.

Asas kepada gagasan Malaysia ini terungkap dalam cogan kata yang terdapat pada jata negara, yang asalnya daripada Persekutuan Tanah Melayu iaitu `Bersekutu Bertambah Mutu'. Ia membawa maksud bahawa setiap negeri yang bergabung dalam Malaysia akan dapat meningkatkan mutunya dalam segala bidang melalui persekutuan.

Dapat dibayangkan bahawa jika negeri-negeri ini tidak bergabung di bawah Malaysia, maka besar kemungkinan mereka tidak akan dapat menikmati kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang selama ini berjaya dikecapi.

Satu lagi ciri penting konsep Malaysia ialah sifatnya yang demokratik. Perkara ini jelas termaktub dalam Perisytiharan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Maknanya, walaupun Malaysia mempunyai sistem beraja yang diwarisi daripada institusi kenegaraan tradisi Melayu, ia merupakan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Pemerintahan Malaysia mestilah diwujudkan melalui proses demokrasi iaitu kebebasan memilih kerajaan melalui amalan pelbagai parti dan pilihan raya umum.

Nilai demokrasi inilah yang menjadikan Malaysia stabil dan membangun selama ini. Ini kerana aspirasi rakyat dapat diekspresikan melalui proses demokrasi yang turut melibatkan kebebasan akhbar, bersuara dan berorganisasi.

Penubuhan Malaysia ditentang oleh Indonesia di bawah pimpinan Sukarno melalui dasar konfrontasi. Ketika itu, Indonesia mengamalkan kediktatoran Demokrasi Terpimpin yang dipengaruhi Parti Komunis Indonesia (PKI).

Sifat demokratik Malaysia ternyata berjaya menangkis ancaman kediktatoran komunisme.