Dadah: Shereen, teman lelaki didakwa
Written By JOM JALAN on 24/03/05 | Khamis, Mac 24, 2005
NOOR Shereen Mohamad Hadzim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam atas tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya. - Gambar ASWAD YAHYA.
Dadah: Shereen, teman lelaki didakwa
Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES
PETALING JAYA 23 Mac - Pelakon dan penyanyi Noor Shereen Mohamad Hadzim atau dikenali sebagai Shereen bersama teman lelakinya dan dua rakan mereka dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Shereen, 33, memakai baju T berwarna merah jambu, bersama teman lelakinya, Ku Faizal Ku Baharum, 28, didakwa di hadapan Majistret Azroul Hisham Azulan kira-kira pukul 3.30 petang ini.
Dua lagi yang turut didakwa ialah rakan mereka Mohd. Hafiz Nasib, 28, serta Mohd. Nizam Halami, 33.
Ku Faizal dan Mohd. Hafiz adalah penganggur manakala Mohd. Nizam bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Sungguhpun begitu hanya Ku Faizal yang didakwa atas dua tuduhan tambahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Ku Faizal kerana kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan selepas laporan kimia bagi berat dadah diperoleh kelak.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.
Bagi tuduhan mengambil dadah dan mengawal dadah pula, Shereen dan Ku Faizal serta dua lagi rakan mereka masing-masing memohon supaya mereka dibicarakan atas pertuduhan.
Shereen diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala tertuduh lain masih belum diwakili peguam bela.
Kertas pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azar Irwan Mohd. Arifin berbunyi:
``Shereen bersama tiga tertuduh lain didakwa telah mengambil dadah berbahaya iaitu heroin pada pukul 2 pagi, 15 Mac lalu di rumah C1-1-C3, Pangsapuri Subang Ville Ehsan, Jalan PJS 10/11, Taman Sri Subang di sini''.
Semua tertuduh juga didakwa telah mengawal dadah berbahaya iaitu ganja seberat 1.6 gram dan 1.4 gram Methamphetamine.
Selain pertuduhan tersebut, Ku Faizal turut menghadapi tiga pertuduhan secara individu.
Dia didakwa mengedar dadah seberat 0.6 gram Methamphetamine dan 205.5 gram ganja.
Ku Faizal juga menghadapi tuduhan telah mengawal dadah seberat 1.9 Methamphetamine.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) akta yang sama.
Majistret Azroul Hisham menetapkan kes disebut semula pada 28 Jun depan.
Beliau juga membenarkan Shereen dan tiga rakannya dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.
Ku Faizal akan ditahan reman di Penjara Sungai Buloh kerana kes tersebut tidak boleh diikat jamin.
Keluarga Shereen dan dua rakannya dijangka mengemukakan wang jaminan di mahkamah esok.
Terdahulu itu, ketibaan selebriti itu dengan menaiki van polis di pekarangan mahkamah bertukar menjadi kecoh.
Kekecohan timbul apabila seorang daripada ahli keluarga Shereen (dipercayai abangnya) memaki hamun dan mencerca sekumpulan jurugambar dan jurukamera televisyen yang sibuk hendak merakamkan gambar tertuduh.
``Jangan ambil gambar adik aku! Ambil saja gambar aku. Bukan ke aku ni Hindi film star?''
Keadaan bertambah kecoh, apabila ibu Shereen tiba-tiba menjerit sekuat hati sambil menanggalkan kain tudung yang dipakainya kerana tidak berpuas hati dengan kehadiran jurugambar dan wartawan.
``Dia anak aku! Apa kau orang ingat, dia (Shereen) bunuh orang ke?'' jerit ibu Shereen.
Keadaan kelam kabut itu telah menarik perhatian orang awam sehinggakan petugas di bangunan Jabatan Kaji Cuaca yang terletak bersebelahan mahkamah, keluar menyaksikan aksi mereka.
Melihatkan situasi tersebut, pihak polis terpaksa memasang tali rentang berwarna kuning berlambang PDRM untuk menghalang orang awam daripada mendekati kawasan lokap.
Shereen tetap setia menanti Ku Faizal
PETALING JAYA 23 Mac - ``Jika dia (Ku Faizal Ku Baharum) berada dalam penjara 10 tahun pun, saya akan tetap menunggunya dan setia menanti. Tidak mungkin saya mencari penggantinya.''
Itulah ucapan Shereen atau nama sebenarnya Noor Shereen Mohamad Hadzim kepada anggota polis yang mengambil cap jarinya di dalam bilik polis di Mahkamah Majistret di sini petang ini.
Shereen mendakwa, dia mengalami tekanan akibat kes yang dihadapinya dan akan mendapatkan bantuan pakar psikiatri untuk membantu agar terus tabah menghadapi kehidupan.
Meskipun wajah Shereen nampak sugul namun wanita berambut panjang itu masih boleh bercerita mengenai kehidupannya kepada polis.
Shereen pernah berlakon drama pada tahun 90-an.
Ketika di mahkamah petang ini, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada Majistret Azroul Hisham Azulan supaya Shereen dibebaskan dengan ikat jamin.
Menurut Muhammad Shafee, beliau mengenali keluarga Shereen yang berasal dari Pulau Pinang dan mengetahui latar belakang mereka.
Sebelum kejadian, Shereen tinggal bersama ibunya di Klang dan akan kembali ke pangkuan keluarganya selepas ini.
``Shereen juga terpaksa menjalani rawatan di hospital ekoran masalah kemurungan (depression). Saya telah bercakap secara peribadi dengan Profesor Hussain dari Universiti Malaya yang setuju merawatnya dan kemungkinan akan dimasukkan ke wad,'' kata Muhammad Shafee.
Peguam tersebut berkata, keluarga Shereen berjanji akan menjaga anak mereka dengan baik sekiranya mahkamah melepaskan dia dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya, Azar Irwan Mohd. Arifin yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah sekiranya benar Shereen memerlukan rawatan, adalah lebih wajar dia mengemukakan dokumen perubatan sebagai bukti.
Walau bagaimanapun, tambah Azar, terpulanglah kepada mahkamah untuk menentukan.
Selain itu, Muhammad Shafee turut membangkitkan rasa tidak puas hati berhubung beberapa laporan akhbar yang pada hemat beliau telah menghina mahkamah.
Laporan tersebut juga pada pendapat Muhammad Shafee telah menggugat status mahkamah dan seolah-olah telah membuat satu kesimpulan mendadak mengenai anak guamnya.
Sebagai pegawai mahkamah, kata peguam itu, beliau terpanggil untuk mengenengahkan isu tersebut.
Selepas mendengar permohonan, Azroul Hisham berpendapat bahawa perkara itu ialah satu isu yang berlainan namun mahkamah akan mengambil perhatian.
Sepanjang prosiding, Shereen kerap kali merenung wajah teman lelakinya sambil mengucapkan: I love you beberapa kali dari jauh.
Ketika berdiri bersebelahan di dalam kandang tertuduh, Shereen dan Ku Faizal kelihatan berbisik-bisik.