Murid tahun empat mati digilis bas sekolah
Written By JOM JALAN on 24/03/05 | Khamis, Mac 24, 2005
MOHD. NAZMI -- Mati digilis bas sekolah.
Murid tahun empat mati digilis bas sekolah
PETALING JAYA 23 Mac - Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Taman Medan, Jalan Klang Lama dekat sini, maut digilis bas sekolah yang dinaikinya.
Nahas yang menimpa Mohd. Nazmi Roslan, 10, itu berlaku selepas dia terjatuh dari kenderaan terbabit yang sedang bergerak di Taman Putra Damai, Lembah Subang di sini semalam.
Dia ditemui di bawah bas itu dengan kecederaan parah pada kepala.
Semasa kejadian kira-kira pukul 2 petang, murid itu dipercayai sedang berdiri di tangga bas yang pintunya terbuka bersama beberapa rakannya kerana telah hampir dengan kawasan rumah mereka yang terletak kira-kira lima meter dari tempat kejadian.
Mangsa terjatuh kerana tidak dapat mengawal badannya ketika bas berkenaan sedang membelok di satu selekoh.
Timbul persoalan di sini, mengapa pintu bas itu terbuka, sedangkan ia sedang bergerak? Apakah ada unsur-unsur kecuaian di pihak pengusaha bas itu?
Difahamkan, pemandu bas sekolah berkenaan tidak menyedari kejadian kerana mangsa dikatakan berdiri di hadapan sekali.
Pemandu berusia 23 tahun itu hanya memberhentikan bas apabila terasa kenderaan yang ketika itu sedang membawa 25 murid sekolah terlanggar sesuatu.
Jurucakap polis trafik berkata, selepas turun dari bas pemandu yang baru setahun bekerja itu terkejut melihat mangsa cedera parah di bawah kenderaan.
Menurutnya, pemandu tersebut terus mengangkat mangsa dan menahan sebuah teksi dengan bantuan orang awam untuk membawa mangsa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya (PPKJ) bagi mendapatkan rawatan.
``Mangsa bagaimanapun meninggal dunia sebaik sahaja tiba di PPKJ iaitu kira-kira pukul 2.40 petang akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,'' katanya.
Ujarnya, pihak PPKJ yang mengesahkan kematian mangsa menghubungi pihak polis untuk memaklumkan perkara tersebut.
Tambahnya lagi, pemandu bas berkenaan pula pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah di sini untuk membuat laporan berhubung kejadian.
Katanya, polis yang mengambil kenyataan pemandu tersebut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ).
Jelasnya lagi, selepas kenyataan pemandu tersebut diambil dia dibenarkan pulang.
Beberapa kejadian murid sekolah digilis bas sekolah pernah berlaku sebelum ini.
* 14 Ogos 1989 - Seorang pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Perah, Ajil, Terengganu terbunuh apabila digilis tayar bas yang dinaikinya setelah turun dari bas berkenaan ketika pulang dari sekolah.
* 30 Mac 1999 - Seorang budak perempuan berusia 8 tahun terbunuh di Kota Bharu setelah kepalanya hancur digilis sebuah bas selepas dia turun mendapatkan ibunya di perhentian bas.
* 6 Ogos 2004 - Seorang murid tahun 4, Nurul Fazlun Abdullah, mati setelah digilis tayar belakang bas sekolah yang dinaikinya di Johor Bahru.