Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Saadiah Meninggal Dunia

Written By JOM JALAN on 27/02/05 | Ahad, Februari 27, 2005


Ogy kehilangan wanita tercantik
Oleh WANDA IDRIS

``AKU kehilangan wanita tercantik yang aku sayangi... Dia wanita yang cantik segala-galanya - akhlaknya, imannya, tata tertibnya dan bakatnya. Malah dialah wanita yang mendidik anak-anaknya untuk menjadi seorang anak yang baik.''
Begitulah ratap Ogy.
Sememangnya siapa yang tidak mengenali ibunya, Datin Saadiah Baharom, primadona Jalan Ampas.
Bukan sahaja terbayangkan seraut wajah jelita yang dihiasi sebutir tahi lalat di bibir kanannya tetapi juga lakonan-lakonan mantapnya dalam filem-filem Melayu.
Bagaimanapun semalam sebelum bergemanya azan zohor, seniwati terkenal itu telah pergi menyahut panggilan Ilahi.
Saadiah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 68 tahun setelah mengalami sesak nafas setelah uzur sejak enam bulan lalu akibat penyakit kencing manis dan gangren.
Hanya Noraini, 49, anaknya daripada perkahwinan pertama, berada di sisi seniwati itu saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sementara Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy tidak berada di sisi ibunya kerana menghadiri rakaman rancangan di sebuah stesen TV.
Namun kata Ogy, ibunya sudah membayangkan mahu `pergi buat selama-lamanya' sejak dua hari lepas apabila menyebut bahawa ayahnya (Allahyarham Datuk Ahmad Daud) telah lama menunggu.
Malah malam semalam sebelum tidur, Ogy telah berbual dengan ibunya.
``Saya katakan padanya agar jangan tinggalkan saya kerana saya masih memerlukannya tapi dia hanya tersenyum,'' katanya dalam sendu.
Sebelum menghembuskan nafasnya, Saadiah menyebut kesemua nama anak-anaknya iaitu Azizah, Noraini dan Rohaya (daripada perkahwinan pertama dengan Ahmad Samad atau dikenali sebagai Atan) manakala Fauziah, Fazal dan Fazlina daripada perkahwinan keduanya bersama Ahmad Daud.
Sementara itu rakan-rakan seperjuangan seperti Aziz Satar dan Mariani yang ditemui untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya memberitahu, industri seni kehilangan seorang primadona Melayu yang bukan sahaja peramah tetapi juga periang dan tidak lokek.
Di zaman kegemilangannya, Saadiah atau nama sebenarnya Satyah Baharum pernah digelar Ratu Box Office kerana kejayaan cemerlang filem-filem lakonannya bersama hero-hero seperti P. Ramlee, Ahmad Mahmud, Datuk Jins Shamsuddin (kini Senator), Aziz Jaafar dan S. Kadarisman.
Mendapat bimbingan lakonan daripada P. Ramlee, Saadiah yang dilahirkan di Tanjung Katong, Singapura pada 10 Ogos 1937 memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan pada 1948 ketika berusia 12 tahun.
Bayaran penari
Filem pertamanya ialah Bakti, arahan L. Krishnan.
Sejak itu Saadiah terus berlakon dengan Malay Film Productions keluaran Shaw Brothers. Pada awalnya Saadiah hanya diberi watak pembantu dan menjadi penari dengan bayaran sebanyak RM60 sebulan.
Antara filem-filem terawal lakonannya seperti Juwita, Takdir Ilahi, Iman, Anjuran Nasib, Sedarah, Yatim Piatu, Raja Sehari, Istana Impian, Kerana Kau, Kecewa, Jasa, Dandan Setia, Dupa Cendana dan Kembali Seorang.
Filem Penarik Beca, filem arahan pertama P. Ramlee telah membawa kejayaan cemerlang kepada kerjaya lakonan Saadiah apabila dipilih sebagai Pelakon Wanita Popular.
Setahun kemudian dia diberi watak Melor, gadis berketurunan orang Asli yang tinggal di Gunung Ledang dalam filem Hang Tuah.
Saadiah juga menunjukkan lakonan cemerlang sebagai Dara dalam filem kedua arahan P Ramlee. Namun filem Antara Dua Darjat merupakan antara lakonan terbaiknya. Watak Engku Zaleha dalam filem arahan P. Ramlee pada tahun 1960 itu benar-benar telah mengangkat nama Saadiah dalam dunia perfileman Melayu.
Filem-filem lain yang dibintangi Saadiah ialah Sarjan Hassan, Isi Neraka, Musang Berjanggut, Panji Semerang, Jeritan Batinku, Semerah Padi dan Sedarah, Putera Sangkar Maut, Siti Muslihat, Mas Merah, Mambang Moden, Lampong Karam, Anak Buluh Betung, Sumpah Wanita, Indera Bangsawan.
Selain itu, dia juga telah dipilih memegang watak Gadis Bond dalam filem Nora Zain Ajen Wanita pada 1967.
Filem terakhir lakonannya ialah Permintaan Terakhir pada 1973.
Apabila studio Shaw Brothers di Jalan Ampas ditutup, Saadiah sempat berlakon dalam filem keluaran Cathay Keris iaitu Ibulah Shorga dan Sial Wanita sebelum berpindah ke Studio Merdeka, Hulu Kelang, Selangor. Filem pertama lakonannya di Kuala Lumpur ialah Bukan Salah Ibu Mengandung, arahan Jamil Sulung dan filem Sumpah Semerah Padi dan sumber Ilhamku.
Pada tahun 1980, Saadiah mencuba bakatnya dalam bidang pengarahan menerusi filem Ceritaku Ceritamu dan muncul sebagai wanita Melayu pertama yang mengarah filem di pawagam.
Pada Festival Filem ke-12 pada 1995, Saadiah dipilih menerima Anugerah Seniwati Veteran dan menjadi salah seorang daripada lapan seniman, seniwati dan pengarah yang dicalonkan untuk menerima Anugerah P. Ramlee.
Pada majlis makan malam sempena menyambut 23 tahun Persatuan Seniman Malaysia pada Ogos 1997, dia adalah calon tunggal dipilih untuk menerima Anugerah Seniman. http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm