Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Hukuman terhadap umat Nabi Muhammad ditunda

Written By JOM JALAN on 27/02/05 | Ahad, Februari 27, 2005

Pandangan ulama silam -- Hukuman terhadap umat Nabi Muhammad ditunda
Oleh ASTORA JABAT
PENULIS hairan kenapa orang berpendidikan agama dari pihak sebelah lebih suka menggunakan pendekatan Islam politik dalam segala-galanya termasuk membincangkan isu agama. Akibatnya apa saja yang dilakukan mereka akan diberi warna politik. Bagaimanapun, pemberian warna politik oleh mereka itu pun dilakukan dari kaca mata politik yang sempit dan bersifat polarisasi (istiqtab) semata-mata.
Semua perbincangan ilmiah mengenai isu-isu agama yang penulis terlibat dengan mereka tidak dapat lari daripada warna politik itu. Penulis dijadikan sasaran kutukan dan kecaman. Sepatutnya kesilapan dan kelemahan pemikiran yang penulis bentangkan mengenai tajuk sesuatu isu itulah yang perlu diberi perhatian. Tetapi mereka tidak ada fahaman seperti itu dan kesemuanya mahu dipolitikkan belaka serta pada setiap masa.
Lebih teruk lagi segala apa yang dianggap sebagai kesilapan dan kesalahan kerajaan pun dijadikan hujah untuk mengutuk dan mengecam penulis juga, padahal ia tidak ada kaitan sedikit pun dengan tajuk perbincangan.
Namun penulis tidak gentar untuk berhadapan dengan golongan ini kerana menyedari pemikiran yang penulis bawa adalah tepat atau lebih tepat daripada yang mereka bawa atau sekurang-kurangnya tergolong daripada perkara-perkara yang boleh berbeza pandangan.
Pemikiran yang dianggap tepat atau lebih tepat itu tidak mutlak kerana ia hanyalah berdasarkan penilaian penulis. Mungkin pada orang lain ia tidak dianggap tepat atau lebih tepat. Ini kerana kemampuan berfikir kita berbeza disebabkan perbezaan taraf ilmu, pengalaman dan usia. Semua itu mempengaruhi pemikiran.
Perkara-perkara yang boleh berbeza pandangan pula kurang diberi perhatian oleh golongan sebelah kerana hanya melihat segala-gala dari sudut hitam dan putih, halal dan haram. Warna-warna lain dan yang tidak ada warna (telus) tidak ada pada mereka. Padahal dalam realiti hukum-hukum Islam yang dianggap warna hitam atau haram itu amat sedikit, selebihnya adalah halal atau harus belaka. Pada mereka disebabkan ``kamu membawa pemikiran yang berbeza dengan pemikiran kami'', maka ia tidak betul, sesat, haram dan sebagainya.
Di antara pemikiran yang penulis bawa tidak dapat diterima oleh golongan sebelah ialah bencana alam bukan hukuman Allah dan hukuman terhadap umat Nabi Muhammad yang melakukan dosa besar ditunda ke hari akhirat.
Bagi mereka bencana alam itu adalah bala yang dianggap sebagai hukuman-Nya terhadap dosa yang dilakukan oleh manusia dan ini termasuk penduduk Kuala Muda (Kedah), Aceh (Indonesia), Phuket (Thailand), Galle (Sri Lanka), Chennai (India) dan lain-lain kawasan yang dilanda bencana tsunami.
Sebelum membincang mengenai penundaan hukum umat Muhammad ke hari kiamat, ada baik diberi sedikit penjelasan mengenai perbezaan antara bala dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab dan al-Quran.
Dalam bahasa Melayu bala bermaksud kejadian buruk yang berlaku ke atas seseorang atau sesuatu tempat. Sebaliknya dalam bahasa Arab dan al-Quran ia bermaksud ujian baik dan ujian buruk yang dihadapi seseorang. Dalam kamus Lisan al-Arab karya Ibn Manzur pada juz 14 dan muka surat 83 ada menyebut yang maksudnya: Aku membalakan seseorang satu bala (ke atasnya), bererti aku mengujinya. Bala pula boleh merupakan dalam perkara baik dan perkara tidak baik, kata kamus itu.
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan - (al-Anbia': 35).
Semua bala, sama ada seperti yang dimaksudkan dalam bahasa Melayu mahupun yang dimaksud dalam bahasa Arab dan al-Quran adalah daripada Allah belaka, kerana Allahlah yang mencipta segala makhluk termasuk kita dan apa juga yang berlaku ke atas kita.
Allah menjelaskan: Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu - (al-Hijr: 21).
Dalam ayat ini pula Allah menjelaskan: Tiada tersembunyi dari pengetahuan-Nya barang seberat debu yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata - (al-Ahzab: 3).
Begitu juga ayat ini: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata - (al-An'am: 59).
Namun begitu, ketetapan dan ketentuan Allah dalam erti kata segala-galanya datang daripada-Nya itu ada yang wujud sebab dan akibat dan ada yang tidak wujud sebab dan akibat atau sekurang-kurangnnya kita tidak mengetahui sebab dan akibatnya.
Konsep sebab dan akibat ini dipanggil dalam bahasa Arab, as-sabab wal musabbib dan dalam bahasa Inggeris dipanggil cause and effect. Ini bererti dari sudut wujud sebab dan akibat dalam segala perkara yang datang daripada Allah itu, sama ada bala besar mahupun bala kecil mesti ada sebab. Perkara ini menjadi sunnatullah yang ditetap sebagai peraturan alam yang tidak berubah sehingga ke hari kiamat.
Allah menjelaskan tentang perkara ini dengan firman-Nya: Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu.
Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi ``sunnatullah'' (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan ``sunnatullah'' itu - (Fatir: 43).
Dalam tulisan bertajuk Tsunami: Jangan Fitnah Tuhan (ruangan ini, 9 Januari lalu) penulis menjelaskan tentang bala yang merupakan sunnatullah yang sentiasa berada bersama kita itu. Penulis menjelaskan bahawa peraturan alam ini dipanggil al-bala' atau al-ibtila' dalam al-Quran yang bermaksud ujian. Ujian seperti itu terdapat dalam semua perkara di bumi ini.
Sebagai contoh kita makan benda hidup atau mempunyai nyawa seperti sayur dan binatang. Sayur dan binatang secara sunnatullah dan semula jadi menerima ujian kerana dimakan oleh kita. Mungkin jarang ada di kalangan kita yang berfikir dan bertanya, apakah sayur dan binatang itu sakit kerana dimakan oleh kita? Tetapi jika kita berfikir di luar hukum kebiasaan, tidak dapat tidak kita akan sedar sayur dan binatang mesti berasa sakit kerana dimakan oleh kita.
Bagaimanapun, ujian terhadap kita yang makan sayur dan binatang pun ada juga. Ini kerana jika kita hanya makan sayur sahaja sepanjang hidup, mungkin memberi kesan berbeza dari orang makan daging kerana boleh jadi kita menjadi kurang agresif dan tidak aktif. Sebaliknya orang yang makan binatang (baca daging) terutama sekali jika keterlaluan ada kesan-kesan yang lain termasuk kemungkinan menjadi orang perangai bengkeng, cepat marah dan sebagainya.
Dari sudut lain kesinambungan hidup kita di dunia ini juga bergantung kepada sunnatullah ini. Selain diuji dari segi makanan, kita juga diuji dari segi seks. Ini kerana disebabkan pengujian antara suami dan isteri menyebabkan ada zuriat.
Pengujian itu ada dalam karan elektrik yang berlaku hasil pertemuan antara positif dan negatif, angin dan ribut yang berlaku hasil pertemuan antara sejuk dan panas dan lain-lain.
Pokoknya semua di dunia ini mesti tertakluk di bawah payung ujian sunnatullah ini termasuk semua malapetaka dan bencana alam yang bukan berpunca daripada perbuatan kita.
Ujian sunnatullah sebenarnya ada yang tidak dapat dielak dan ada yang dapat dielak. Yang tidak dapat dielak ialah ujian sunnatullah yang menjadi survival kita di dunia ini seperti makan sayur dan binatang, berkahwin dan lain-lain. Tetapi ini bukan mutlak kerana apabila keterlaluan, kita perlu lari atau mengelakkannya.
Sedangkan yang dapat dielak atau sekurang-kurangnya boleh berusaha lari daripadanya ialah ujian sunnatullah yang berupa malapetaka semula jadi yang melanda alam. Sebagai contoh jika sudah tahu bahawa sungai itu selalu didatangi banjir besar, maka janganlah membina rumah di tepi sungai berkenaan. Jika tidak, kita boleh menjadi mangsa dan janganlah pula memfitnah Tuhan jika kita menjadi mangsa.
Bagaimanapun, ini juga tidak mutlak. Dengan itu penulis sebut di atas sebagai yang dapat dielak atau sekurang-kurang boleh berusaha lari daripadanya.
Apakah bala atau ujian yang merupakan sunnatullah seperti tsunami merupakan hukuman daripada Allah ke atas orang-orang melakukan maksiat dan dosa besar?
Orang agama dalam semua agama berbeza pandangan tentang perkara ini. Terdapat beberapa paderi, sami dan bikkhu mempunyai pandangan yang sama dengan sesetengah ulama terutama mereka yang berada di pihak sebelah di mana mereka berkata bala atau ujian itu merupakan hukuman Allah. Tetapi terdapat juga beberapa paderi, sami dan bikkhu bersetuju dengan sesetengah ulama yang menganggap bala atau ujian itu bukan merupakan hukuman Allah.
Penulis di sini hanya akan membawa pandangan dari pihak ulama sahaja dan mereka pula merupakan ulama silam yang menganggap bala atau ujian bukan hukuman Allah. Sebaliknya pandangan ulama yang menganggap bala atau ujian itu hukuman Allah tidak akan disentuh kerana pandangan sedemikian sangat popular dan pihak sebelah turut terlibat dalam menyebarkan pandangan ulama golongan ini.
Kerana terdapat perbezaan pandangan dalam perkara ini, maka penulis tidak menganggap salah pihak sebelah berpegang dengan pandangan sesetengah ulama mengatakan bala atau ujian itu merupakan hukuman Allah. Bagaimanapun, pihak sebelah juga tidak boleh menganggap penulis salah kerana berpegang dengan pandangan sesetengah ulama yang mengatakan bala atau ujian itu bukan hukuman Allah.
Tetapi malangnya pihak sebelah tidak dapat menerima kaedah perbezaan pandangan ini. Dengan itu tidak hairan jika mereka tidak saja mengutuk dan mengecam penulis, tetapi mengutuk dan mengecam UNMO dan kerajaan walaupun perbincangan mengenai bala atau tsunami tidak kena-mengena dengan UMNO dan kerajaan.
Sebagai contoh mereka berkata, jika hukuman ditunda ke hari kiamat, maka sedaplah orang UMNO melakukan maksiat kerana apa yang dibuat oleh UMNO selama ini tidak salah disebabkan hukuman ditangguh ke hari akhirat. Begitu hentam mereka secara semberono seolah-olah orang mereka malaikat belaka.
Mengenai penundaan hukuman ke hari akhirat ini dijelaskan oleh ramai ulama di kalangan sahabat dan tabi'i dan lain-lain seperti disebut dalam kitab-kitab tafsir.
Sekadar menjadi contoh disebut beberapa penjelasan para ulama zaman silam itu. Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya (juz 3, muka surat 203) menjelaskan bahawa Abdullah bin Abbas ketika menghuraikan maksud ayat: ``Dan tiada Kami utuskan kamu kecuali menjadi rahmat sekalian alam'' berkata, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat ditulis bagi mereka kerahmatan di dunia dan akhirat. Dan sesiapa yang tidak beriman dengan Allah dan Rasul-Nya diampun daripada terkena (hukuman di dunia) seperti terkena ke atas umat-umat (terdahulu). Qatadah bin Da'amah as-Sadusi mempunyai pandangan yang serupa.
Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya (juz 15, muka surat 370) pula menyebut bahawa al-Kalbi berkata, jika Allah tidak menunda azab ke atas umat ini sehingga ke hari kiamat sudah tentu azab sudah ditimpa ke atas mereka seperti yang berlaku ke atas umat-umat terdahulu.
Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya (juz 3, muka surat 419-420) juga menyatakan perkara yang sama. Dia berkata, jika Allah tidak menetapkan penunda azab sehingga ke hari kiamat nescaya mestilah azab datang dengan segera.
Terdapat banyak lagi pandangan ulama ahli tafsir mengenai penundaan hukuman atau azab ke hari kiamat boleh dirujuk dalam kitab-kitab tafsir muktamad.
Akhirnya penulis ingin menjelaskan bahawa penulis tidak menafikan sepenuhnya bahawa bala atau ujian itu juga tergolong daripada hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan dan dosa, tetapi hukuman itu dari sunnatullah atau peraturan alam seperti penulis pernah jelaskan sebelum ini.