Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

ABU Bakar Bashir dihukum penjara 30 bulan

Written By JOM JALAN on 4/03/05 | Jumaat, Mac 04, 2005



ABU Bakar Bashir dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara 30 bulan di Jakarta semalam. - Gambar Reuters.

JAKARTA 3 Mac - Guru agama, Abu Bakar Bashir hari ini dihukum penjara 30 bulan setelah didapati bersalah terlibat dalam konspirasi serangan bom di Kuta, Bali, lebih dua tahun lalu.
Mahkamah bagaimanapun melepaskan Abu Bakar daripada tiga tuduhan lain iaitu mengetuai pertubuhan Jemaah Islamiah (JI), merancang serangan bom ke atas hotel JW Marriott di Jakarta dan menghasut para pengikutnya supaya melancarkan serangan bom.
Serangan ke atas dua buah kelab malam di Bali pada 12 Oktober 2002 menyaksikan 202 mangsa terbunuh manakala serangan berani mati di Jakarta pada 5 Ogos 2003 lalu menyebabkan 12 mangsa terkorban.
Pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi oleh Abu Bakar sebelum ini boleh membawa hukuman mati tetapi kebanyakan penganalisis sebelum ini berpendapat dia hanya akan menerima hukuman ringan walaupun sabit kesalahan kerana pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti-bukti kukuh.
Perbicaraan yang berlangsung selama lima bulan itu menyaksikan hanya seorang saksi sahaja yang memberi keterangan bahawa Abu Bakar adalah pemimpin JI.
Sementara itu, pihak pendakwa dan para peguam Abu Bakar berkata, mereka akan mengemukakan rayuan ekoran keputusan tersebut.
Peguam guru agama terbabit berkata, hukuman itu lebih didorong oleh kepentingan politik kerana Jakarta masih berada di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) yang mahu perbicaraan itu berakhir dengan Abu Bakar didapati bersalah.
``Saya berasa tertekan oleh mereka yang berada di luar serta di dalam negara. Bagi saya, mereka ini ialah hamba kepada sifat tidak bermoral dan menjadikan sifat itu sebagai panduan hidup.
``Kita perlu membuka pintu hati mereka atau singkirkan mereka,'' kata Abu Bakar selepas dijatuhi hukuman itu.
Australia yang menyaksikan 88 rakyatnya terkorban dalam serangan bom di Bali serta AS berulang kali menuduh Abu Bakar sebagai pemimpin agung JI berharap ulama tersebut dikenakan hukuman lebih berat.
Bagaimanapun, pakar AS mengenai keganasan, Zachary Abuza berkata, beliau sebenarnya menjangka hukuman ke atas Abu Bakar akan lebih ringan berbanding apa yang diputuskan oleh mahkamah hari ini.
``Saya sebenarnya terkejut dengan hukuman itu kerana saya fikir ia akan lebih pendek.
``Para pengikut Abu Bakar tidak akan mempercayai beliau bersalah terutama apabila pihak pendakwa terpaksa menggugurkan pertuduhan selain meminta hukuman lebih ringan berbanding hukuman maksimum,'' katanya. - AP