Betulkan cara sebutan bahasa Melayu
Saudara Pengarang,
BULETIN Utama TV3, 10 September 2004, disampaikan oleh Kamaruddin Mape dan Norliza. Saya tertarik dengan cara Kamaruddin menyebut perkataan "raih". Dia menyebut perkataan tersebut dengan sebutan putus "ra-ih".
Sebelum ini ada juga penyampai TV3 menyebut dengan cara yang sama. Sepatutnya perkataan tersebut diucapkan tanpa jeda, yakni "raih" dan "meraih". Seperti kita menyebut "kuih" tentunya bukan "ku-ih".
Perkataan "raih" ini belum lama digunakan di Malaysia, tapi sudah biasa digunakan di Indonesia. Pada dekad 90-an barulah sering saya dengar orang menggunakannya. Sebelum ini orang Melayu hanya menggunakan perkataan "peraih".
Pada tahun 1985 saya menjadi editor di sebuah penerbitan buku. Saya mengguna perkataan "beliau meraih ijazah dalam bidang..." Seorang ustaz dari Pusat Islam menegur saya, kenapa menggunakan perkataan itu.
Di Malaysia, katanya, perkataan tersebut tidak biasa digunakan orang. Tapi ternyata kini orang Melayu sudah biasa dengan perkataan tersebut. Cuma anehnya TV3 menyebutnya dengan jeda di tengah-tengah perkataan.
Sekarang istilah Indonesia telah banyak digunakan di Malaysia. Contohnya: canggih, pantau, prihatin, peka, mapan (bukan mampan), jati diri, ketrampilan dan lain-lain.
Berkenaan jati diri ini, seorang penulis Indonesia menghantar naskhah terjemahan daripada bahasa Arab kepada saya berkenaan ekonomi Islam. Dalam terjemahan tersebut, banyak menggunakan perkataan jati diri. Oleh kerana ketika itu (1985) perkataan tersebut masih asing bagi orang Melayu, maka saya memutuskan untuk menukar dengan istilah lain.
Saya hairan orang Melayu tidak tahu bagaimana hendak menyebut perkataan Melayu. Contoh yang banyak saya dengar adalah perkataan "gagang" disebut "ganggang", "ungu" disebut "unggu", "termangu" disebut "termanggu". Saya khuatir lama-lama orang menyebut "dungu" dengan "dunggu" "bunga" dengan bungga" - SYAFEIN EFFENDI, Masjid Tanah, Melaka.