Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ulama jangan cepat menghukum

Written By JOM JALAN on 12/09/04 | Ahad, September 12, 2004

Bicara Agama Oleh Astora Jabat
astora_jabat@yahoo.com
Seorang mufti berbeza dengan semua mufti yang lain kerana selalu bermasalah bila membaca isu-isu agama yang dibincang penulis, sama ada dalam ruangan ini mahupun dalam ruangan-ruangan lain. Dia pula cepat bertindak balas dan mengeluar bermacam-macam kenyataan menghukum penulis secara tersurat dan tersirat. Pada hal mufti-mufti lain tidak begitu. Kadangkala ada di kalangan para mufti itu tidak bersetuju membincang isu-isu agama tertentu, tetapi tidak ada yang sampai membuka barisan perang.

Sebenarnya penulis jarang memberikan perhatian kepada serangan yang dilakukan oleh ramai orang di kalangan puak pembangkang. Bagaimanapun, sekali-sekala penulis terpaksa menjawab supaya mereka yang membuat serangan ke atas penulis itu menyedari bahawa penulis boleh menyerang mereka juga. Inilah menyebabkan penulis kadangkala terpaksa menjawab mufti tersebut.

Dalam laporan di laman web mufti berkenaan, dia membentang sebuah kertas kerja pada 28 Jun 2004 mengenai penafian azab kubur yang ditulis oleh pengarang majalah Al Islam dan kolumnis tetap ruangan Bicara Ahad (dahulu Bicara Agama) Mingguan Malaysia, Astora Jabat. Menurut laporan itu, tulisan mengenai penafian azab kubur itu telah disiarkan melalui majalah Al Islam bulan November dan Disember 2003, antara lain mempertikaikan kewujudan azab kubur, yang menjadi salah satu Rukun Iman yang menjadi pegangan dan kepercayaan kepada setiap makhluk bernama manusia.

Tulisan berkenaan menjadi isu panas di kalangan umat Islam, terutama keberanian penulis berkenaan mempertikaikan sesuatu yang menjadi pegangan (akidah) umat Islam.

Dalam ruangan fatwa di laman web yang sama terdapat keputusan mesyuarat jawatankuasa syariah negeri mufti berkenaan tentang azab kubur. Di bawah tajuk Latar Belakang keputusan itu menyebut bahawa dalam majalah Al Islam keluaran November dan Disember 2003 terdapat artikel bertajuk Tiada azab kubur selepas meninggal dunia dan percanggahan hadis mengenai azab kubur. Artikel berkenaan telah menimbulkan banyak pertanyaan orang ramai dan menimbulkan banyak kontroversi di kalangan umat Islam.

Penulis menggunakan beberapa asas dalam menegaskan pendiriannya seperti azab kubur tidak disebut di dalam aI-Quran secara muktamad tetapi hanya para ulama sahaja yang menghurai dan mentafsirkannya. Semua hadis yang menceritakan tentang azab kubur adalah hadis ahad belaka. Hadis ahad tidak boleh mensabitkan perkara akidah. Menolak azab kubur tidak kafir kerana ia hanya dithabitkan dengan hadis ahad dan tafsiran ayat al-Quran yang tidak muktamad. Menggunakan logik akal seperti mempertikaikan cara azab kubur kepada mayat yang tidak dikuburkan dan mendakwa adalah tidak adil jika mayat yang mati dahulu akan diazab lebih lama dari mayat yang kematiannya lewat.

Selepas menyebut beberapa ayat al-Quran dan hadis yang tidak jelas dan tidak muktamad serta pandangan ulama bersifat satu hala pandangan, mesyuarat jawatankuasa syariah negeri berkenaan membuat keputusan bahawa mesyuarat jawatankuasa syariah yang bersidang untuk kali ke-161 pada 23 Syawal 1424 bersamaan 17 Disember 2003 telah bersetuju menolak kepercayaan azab kubur setelah wujud keterangan dari al-Quran dan hadis serta ijmak ulama adalah terkeluar dari ajaran Islam.

Berbeza dengan mufti itu, penulis membawa pandangan yang pro dan kontra mengenai azab kubur dalam ketiga-tiga tulisan yang disiarkan dalam Al Islam, iaitu tiada azab kubur selepas meninggal dunia, percanggahan hadis mengenai azab kubur dan pandangan ulama mengenai azab kubur.

Selain itu penulis berbeza daripada mufti tersebut dalam membincang isu azab kubur kerana penulis tidak membuat hukum, apatah lagi jika sampai ke peringkat menghukum orang terkeluar dari ajaran Islam. Ini kerana yang berhak membuat hukum hanya Allah dan Rasul-Nya saja. Sebaliknya apa yang dilakukan oleh penulis adalah membiarkan para pembaca menilai sendiri perbincangan yang pro dan kontra itu mengenai azab kubur itu walaupun penulis mempunyai pandangan tersendiri.

Begitu juga perbincangan penulis mengenai apa jua isu agama kebanyakannya tidak lebih daripada membentangkan pandangan ulama dahulu dan sekarang dan jika ada yang dianggap pandangan penulis pun adalah setakat membuat kesimpulan sahaja.

Sebagai contoh dalam bahagian pertama tulisan penulis yang disiarkan dalam Al Islam pada November 2003 lalu penulis menjelaskan macam isu azab kubur ini menjadi perhatian penulis sejak zaman remaja selepas membaca rencana-rencana yang membincangkan bahawa kita akan diadili dengan seadil-adil pengadilan di akhirat kelak. Terdapat beberapa nas daripada al-Quran dan hadis yang membincangkan perkara ini.

Dari sinilah muncul pertanyaan dalam diri, jika ada pengadilan seadil-adilnya pada hari akhirat, kenapa pula perlu berada penyeksaan pada dalam kubur?

Bagaimanapun, apa yang difikirkan penulis ada jalan keluarnya apabila terbaca sebuah tulisan sarjana Al-Azhar, Dr. Ahmad Subhi Mansur yang menafikan adanya azab selepas mati. Kemudian penulis membuat kajian dalam kitab tafsir, hadis, fikah, tauhid dan lain-lain didapati bahawa dakwaan Dr. Ahmad Subhi Mansur ada kekuatannya.

Dalam kajian yang dibuat penulis mendapati azab kubur tidak disebut dalam al-Quran secara muktamad, tetapi hanya para ulama sahaja yang menghurai dan mentafsirkan beberapa ayat al-Quran sebagai menyebut tentang azab kubur.

Beberapa ayat yang digunakan oleh mufti untuk membuktikan bahawa azab kubur wujud tidak muktamad seperti 124 surah Taha, ayat 47 surah Tur, ayat 3 surah at-Takathur, ayat 46 surah Ghafir, ayat 25 surah Nuh dan ayat 169-170 surah Ali Imran. Semua ayat itu tidak menyebut azab kubur secara muktamad, tetapi sesetengah ulama sahaja yang menghuraikannya begitu. Sesetengah ulama lain pula menghuraikan ayat-ayat berkenaan dengan maksud yang lain.

Cuba perhatikan ayat pertama, ayat 124 surah Taha, yang dijadikan hujah mufti berkenaan bahawa azab kubur itu wujud. Ayat itu bermaksud: Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.

Secara harfiah ayat tersebut tidak menyebut azab kubur dan ini sudah tertolak dakwaan bahawa ayat berkenaan muktamad (qatiiyyah ad-dallah). Ini kerana ayat yang muktamad mesti jelas, tidak mempunyai beberapa maksud, tidak kabur, tidak merupakan huraian dan takwil.

Sebaliknya jika merujuk kepada ulama tafsir, kita dapati sebagai contohnya Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya membawa tiga tafsiran yang berbeza tentang ayat termaksud.

Dalam kitabnya juz 3, muka surat 169 Ibn Kathir membawa pandangan yang menyatakan yang dimaksudkan kehidupan yang sempit itu dalam ayat tersebut adalah kehidupan dunia. Dalam juz 1, muka surat 83 dia membawa pandangan yang mengatakan kehidupan yang sempit itu berlaku di akhirat dan bukan dalam kubur.

Dalam juz 3, muka surat 170 pula dia membawa pandangan kehidupan yang sempit itu berlaku di dalam kubur.

Ini bermaksud Ibn Khatir walaupun mungkin dia memilih salah dari ketiga-tiga pandangan untuk dipegang diri sendiri, tetapi dia berlaku adil kerana membentang pandangan yang bersifat pro dan kontra dalam perkara-perkara yang tidak dijelas secara muktamad oleh Allah untuk membolehkan orang ramai membuat pilihan sendiri. Ini juga yang dilakukan oleh penulis dalam kebanyakan tulisan.

Pada akhir tulisan bahagian pertama itu penulis membuat kesimpulan bahawa bila menyebut soal meninggal dunia tidak berkubur, pandangan beberapa ulama yang mengatakan azab kubur itu berlaku ke atas roh dan bukan ke atas jasad lebih logik. Ini bermaksud penulis bukan menolak azab kubur, tetapi keazaban seperti itu akan berlaku ke atas roh, sama ada dalam kubur mahupun di tempat lain yang terdapat roh di situ.

Hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh mufti tersebut juga dipilih dengan menggunakan pendekatan pemilihan satu hala, iaitu memilih hadis-hadis yang tepat dengan kecenderungannya sahaja.

Ini sudah tentu amat berbeza dengan penulis. Sebagai contoh dalam tulisan bahagian kedua, percanggahan hadis mengenai azab kubur, penulis membawa hadis yang bersifat pro dan kontra mengenai isu azab kubur ini.

Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa Rasulullah mengingkari azab kubur itu wujud. Hadis itu menyebut bahawa Aisyah menceritakan bahawa seorang wanita Yahudi yang membantunya (bekerja di rumah) berkata kepadanya (Aisyah): ``Kamu tidak melakukan apa-apa kebajikan kepadaku.'' Kemudian dia berkata (kepada Aisyah pula): ``Semoga Allah melindungkan kau daripada azab kubur.'' Aisyah menceritakan (seterusnya) bahawa Rasulullah datang kepadaku. Lalu aku bertanya baginda: ``Apakah ada azab kubur sebelum hari kiamat? Rasulullah menjawab: ``Tidak ada.'' Perkara itu tersebar luas.

Aisyah memberitahu baginda: ``Wanita Yahudi ini berkata kita tidak buat apa-apa kebajikan kepadanya dan dia berkata moga-moga Allah melindungi kita daripada azab kubur. Rasulullah menjawab orang Yahudi berbohong dan mereka (selalu) berbohong kepada Allah azzawajalla. Tiada azab kubur tanpa hari kiamat...''

(Riwayat Imam Ahmad, hadis no. 23379).

Bagaimanapun, dalam hadis ini pula menyebut pada mulanya Rasulullah tidak percaya azab kubur itu wujud dan kemudian baginda mempercayainya. Baginda bersabda:

Daripada Ibnu Syihad: Katanya bercerita Urwah bin Zubeir bahawa Aisyah berkata, telah datang Rasulullah kepadaku dan di sisiku seorang wanita Yahudi dan dia (wanita Yahudi itu) bertanya apakah kau merasai (menyedari) bahawa kamu akan diuji dalam kubur? Aisyah menceritakan kepada Rasulullah s.a.w dan baginda pun terkejut (selepas itu) baginda berkata kepada Aisyah, malahan orang Yahudilah akan diuji dalam kubur.

Selepas malam berlalu Rasulullah berkata kepada Aisyah, apakah merasai (menyedari) bahawa aku telah diturun wahyu bahawa kamu akan diuji dalam kubur? Aisyah menceritakan aku mendengar Rasulullah selepas itu memohonlah perlindungan dari azab kubur. (Hadis riwayat Muslim, no. 920).

Di antara hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah tidak menafikan azab kubur yang diberitahu oleh wanita Yahudi, ialah hadis-hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim ini.

Diriwayatkan daripada Aisyah katanya: ``Dua orang perempuan tua dari kaum Yahudi Madinah telah datang menemuiku. Kedua-dua perempuan itu berkata: ``Sesungguhnya ahli kubur akan diazab dalam kubur mereka.'' Lalu Aisyah berkata: ``Kamu berdua ini penipu dan aku tidak mahu membenarkan kata-kata mereka itu, maka kedua-dua perempuan itu meninggalkan aku.''

Setelah itu Rasulullah datang lalu aku berkata kepada baginda: ``Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dua orang perempuan tua dari kaum Yahudi Madinah telah datang menemuiku dan mereka mengatakan bahawa ahli kubur akan diazab di dalam kubur mereka.'' Lalu Rasulullah bersabda: Memang benar kedua-dua orang perempuan Yahudi itu akan diazab, hanya binatang sahaja yang dapat mendengar azab itu. Aisyah berkata lagi: Aku selalu mendengar Rasulullah memohon perlindungan dari azab kubur ketika baginda sembahyang. (al-Bukhari clan Muslim, hadis no. 325).

Dalam satu hadis lain, kedua-dua perawi hadis terkenal itu menceritakan bahawa Rasulullah ketika melalui dua kubur, baginda memberitahu dua mayat dalam kubur berkenaan sedang diseksa dalam kubur. Hadis berkenaan diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya: Ketika Rasulullah melalui dua buah kubur, baginda bersabda: Ingatlah, sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa, tetapi bukan kerana melakukan dosa besar.

Seorangnya diseksa kerana dulunya dia suka membuat fitnah dan seorang lagi diseksa kerana tidak membersihkan dirinya daripada air kencingnya.

``Kemudian baginda meminta pelepah kurma lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu beliau menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua sambil bersabda: Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya, selagi ianya belum kering. (Al-Bukhari clan Muslim, hadis no. 162) Kesimpulannya bila hadis bercanggah antara satu sama lain, bererti ia bukan lagi muktamad.

Dalam bahagian ketiga, pandangan ulama mengenai azab kubur penulis menyebut bahawa Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari menyebut bahawa ulama terutama ulama Ilmul Kalam berbeza pandangan mengenai azab kubur, apakah ia berlaku ke atas roh atau ke atas jasad? Perbezaan itu berlaku kerana tidak ada dalil (bukti) yang gati'iyyah (muktamad) mengenai kedua-dua perkara itu. Sedangkan puak Khawarij dan sesetengah ulama Muktazilah seperti Dhirar bin `Amr, Basyar al-Marisi dan lain-lain mengingkari kewujudan azab kubur secara mutlak.

Bagaimanapun, kebanyakan ulama Muktazilah, semua ulama ahli sunah waljamaah dan lain-lain menganggap azab kubur itu wujud. Sesetengah ulama Muktazilah yang lain seperti al-Jiayani menganggap azab kubur hanya berlaku kepada orang kafir dan tidak berlaku kepada orang mukmin (Muslim). (Ibnu Hajar al-'Asqlani, Fathul Bari, juz 3, muka surat 233).

Berdasar kepada penelitian penulis para ulama terbahagi kepada lima kumpulan berhubung isu azab kubur ini.

1 - Kebanyakan ulama menganggap azab kubur itu wujud. Mereka adalah kebanyakan ulama di kalangan ahli sunah waljamaah termasuk ulama-ulama mazhab seperti Imam As-Syafi'i, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

2 - Segelintir daripada ulama menganggap azab kubur itu tidak wujud. Ulama kumpulan ini adalah ulama puak Muktazilah dan ulama puak Khawarij.

3 - Segelintir ulama menganggap azab kubur tidak wujud bagi orang Islam, tetapi wujud bagi orang bukan Islam.

4 - Segelintir ulama menganggap azab kubur dikenakan ke atas semua orang Islam tanpa membezakan antara orang Islam yang baik dan orang Islam yang jahat seperti yang didakwa oleh ramai ulama bahawa ia pernah berlaku kepada seorang sahabat Rasulullah, Sa'ad bin Mu'az. Kejadian ganjil itu diceritakan dalam banyak hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari, Muslim dan lain lain.

5 - Segelintir ulama lain menganggap azab hanya berlaku ke atas roh dan tidak berlaku ke atas jasad. Yahya bin Muhammad bin Hubairah dan Ibnu Hazm adalah antara ulama ahli sunah waljamaah yang menganggap begitu. Penulis turut berpegang dengan pandangan yang kelima ini.