Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bibit awal pertembungan peradaban

Written By JOM JALAN on 12/09/04 | Ahad, September 12, 2004

Mazlan Nordin Menulis
PERISTIWA demi peristiwa yang berlaku dewasa ini menimbulkan pertanyaan, antara lainnya apakah telah berlaku bibit-bibit permulaan pertembungan peradaban.

Ini ialah seperti yang diungkap oleh Profesor Samuel P. Huntington dari Universiti Harvard pada tahun 1993. Menurutnya, itulah yang menguasai politik global.

Menurut bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pula, sengketa antara orang Islam dengan etnik Eropah kini bukan pertembungan peradaban. Ia cuma perjuangan orang Islam untuk menebus semula bumi yang telah dirampas daripada mereka untuk mewujudkan negara Israel.

Katanya lagi: ``Beri balik tanah itu dan orang Islam akan hidup damai dengan orang Israel dan etnik Eropah yang menyokong mereka.'' Beliau menyatakan ini dalam pidatonya bertajuk Integrasi Budaya di Iskandariah Mesir beberapa hari lalu.

Profesor Huntington dalam makalahnya itu dulu menyebut betapa warisan Nehru, mendiang Perdana Menteri pertama India telah berakhir dan muncul kemudiannya ialah pengaruh Hinduisme di India.

Di samping itu ialah kegagalan idea-idea Barat mengenai faham sosialis dan merebaknya kembali Islamisasi Asia Barat.

Juga disebut betapa sengketa antara peradaban-peradaban Barat dan Islam telah berlarutan selama lebih 2,300 tahun. Setelah munculnya Islam, pihak Arab mara ke barat dan utara dan hanya terhenti pada tahun 732 di negara Perancis.

Sebaliknya selepas Perang Dunia Kedua pihak Barat mulai berundur dan empayar-empayar penjajah tamat akhirnya. Berikutan itu lahir nasionalisme Arab dan fundamentalisme Islam.

Huntington menyebut pendapat seorang penulis Islam, M.J Akbar dari India, yang berkata: ``Konfrontasi baru bagi dunia Barat pastinya datang dari dunia Islam.''

Bersabit perpecahan negara Yugoslavia pula beliau berkata bahawa dunia Barat menunjukkan simpati kepada orang-orang Islam Bosnia yang menderita akibat keganasan askar Serbia.

Sebaliknya pula tiada simpati mengenai nasib malang Islam Bosnia manakala diserang oleh askar-askar Croatia.

Seterusnya diulangi pendapat V.S Naipaul, penulis India bahawa peradaban Barat adalah ``peradaban universal'' yang sesuai bagi semua manusia. Beliau ialah penulis Among The Believers yang mengkritik dunia Islam.

Juga disentuh ialah kedudukan Turki yang pada hakikatnya berupa masyarakat Islam Asia Barat. Sementara golongan elit Turki menyatakan bahawa Turki adalah sebahagian daripada masyarakat Barat, golongan elit Barat sebaliknya enggan menerima Turki seperti disebut itu.

Lantas diulangi kenyataan Presiden Ozal bahawa Kesatuan Eropah tidak akan menerima Turki sebagai ahli ``kerana kami Islam dan mereka Kristian, tapi ini tidak pula disebut oleh mereka.''

Seperti diketahui Turki beberapa kali memohon untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah tapi, tiap kali juga ditolak.

Betapa jika berlaku pertembungan sengit antara Amerika dengan yang dianggap musuhnya?

Antara jawapan ialah seperti diceritakan dalam dokumentari BBC London bersabit perang di Timur Jauh dahulu ketika Jepun menjadi musuh.

Pada mulanya angkatan udara Amerika mengebom sasaran-sasaran tentera dan kilang-kilang perusahaan. Keadaan berubah pada bulan Januari 1945 dengan perlantikan baru panglimanya, bernama Jeneral Curtis Le May.

Taktik barunya ialah mengebom bandar-bandar besar hingga menjadi abu. Tujuannya untuk memaksa Jepun menyerah kalah tanpa syarat manakala orang awam menjadi korban.

Maka pada malam 10 Mac 1945, kapal-kapal terbang B-29 Amerika mengebom bandar Tokyo. Akibatnya kira-kira 100,000 orang awam mati.

Lebih ramai mati dalam beberapa jam serangan itu daripada yang menjadi korban bom-bom atom kemudiannya.

Juga diceritakan reaksi seorang juruterbang Amerika bernama Paul Montgomery ketika bertemu rakan-rakan lama selepas perang. Beliau memberitahu: ``Kami tidak bercakap mengenai pengeboman bandar-bandar raya itu. Mengenai kilang-kilang, ya. Mengenai pangkalan-pangkalan tentera laut, ya. Mengenai kilang-kilang minyak, ya.

``Tapi sepatah pun tidak disebut mengenai bandar-bandar yang dibom itu.''

Tiada rasa belas kasihan disuarakan bagi ratusan ribu orang awam yang mati dibom. Kisah lain dibawa oleh seorang intelektual Amerika yang terkemuka dan disegani, Profesor Noam Chomsky.

Pada bulan Mei 1983, satu kejadian luar biasa berlaku di Moscow. Seorang pembaca warta berita, bernama Vladimir Danchev, mengecam serangan Rusia ke atas Afghanistan yang Islam. Lima kali berturut-turut selama lima hari beliau menggesa pihak Afghanistan supaya menentang pencerobohan.

Danchev kemudian diberhentikan dan dihantar ke hospital gila. Kisah lanjut pertembungan komunis dengan peradaban Islam tamat.

Dalam satu ulasan lain, Profesor Chomsky menyebut kenyataan Yasser Arafat, ketua Pertubuhan Pembebasan Palestin, supaya diadakan rundingan-rundingan secara langsung dengan Israel di bawah kelolaan Bangsa-Bangsa Bersatu, Israel serta-merta menolak manakala Amerika tidak mengendahkan cadangan itu.

Akhbar New York Time dan Washington Post tidak pun menyiarkan berita mengenainya.

Tiga akhbar lain menyiarkan laporan mengenainya tetapi tersembunyi lalu segera dilupai.

Sebaliknya pula diulangi kecaman-kecaman mengenai puak ``pelampau Palestin.''

Dalam pertembungan antara peradaban pelbagai hal disembunyikan dan berita diputarkan.

Mendiang Edward Said, berasal dari Palestin dan kemudian menjadi profesor Universiti Columbia di New York, membawa cerita kesan laporan-laporan seumpamanya.

Beliau menyebut sikap Martin Luther King, seorang tokoh agama golongan kulit hitam di Amerika yang disanjung oleh golongan kulit putih.

Profesor Said menjelaskan bahawa Martin Luther King sebenarnya seorang penyokong kuat Zionis dan sering berucap menyatakan sokongan kepada Israel.

Dalam pertembungan peradaban antara Islam dan Arab dengan Barat dan sekutunya maka laporan menjadi berat sebelah.

Malangnya juga ada yang sendiri beragama Islam menulis cerita yang membawa pandangan serong terhadap Islam dan penganutnya, seperti dilakukan oleh Salman Rushdie dalam kisah Satanic Verses. Dan dia pun dipuji oleh yang anti-Islam, dan buku-buku laris dijual.

Betapa harga diri jika sedemikian?