Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Turun naik gelombang UMNO

Written By JOM JALAN on 12/09/04 | Ahad, September 12, 2004

Oleh Dr. Syed Hussein Alatas

PILIHAN raya yang terakhir baru-baru ini merupakan gelombang kemenangan yang sangat tinggi bagi UMNO. Biasanya gelombang yang sangat tinggi jika sampai memukul pantai akan membawa kebaikan atau kesengsaraan, tergantung kepada keadaan di tepi pantai. Kita semua mengharap bahawa gelombang ini akan membawa kebaikan.

Dengan kemenangan yang besar itu, kita sedia menyambut bertambah besarnya jiwa UMNO. Apa yang dimaksudkan dengan jiwa yang besar itu? Pertama, UMNO mesti dapat menilai keadaan dirinya sendiri, melihat ke dalam dan menimbang kelemahan yang mengganggu kesihatan jiwanya. Kedua, UMNO mesti dapat memahami kelemahan dan cara mengatasinya secara mendalam dan bersungguh-sungguh, tidak dengan memberi kesan ucapan-ucapan kitar semula. Ketiga, UMNO mesti libatkan seluruh lapisan ahlinya dalam menghadapi masalah ini.

Dalam soal pemikiran dan semangat berjuang, tidak ada monopoli oleh golongan tertentu, sebagai pemegang-pemegang jawatan parti. Siapa sahaja dalam parti yang mahir dan arif dalam sesuatu persoalan didengar dan diminta sumbangannya.

Masalah yang dihadapi oleh UMNO dapat di bagi dua. Pertama, masalah dalaman UMNO sebagai organisasi seperti pentadbiran, disiplin, persiapan pilihan raya dan sebagainya. Kedua, masalah pemikiran dan pemahaman UMNO tentang persoalan yang dihadapi masyarakat tentang kesan UMNO terhadap timbulnya gejala-gejala masyarakat dan pengaruh-pengaruh tertentu sejak empat puluh tujuh tahun ini yang mengalir keluar dari danau pergolakan politik UMNO.

Bagi yang kedua ini, yang perlu didengar boleh datang dari mana sahaja tidak hanya daripada pemegang kerusi jawatan parti. Pemegang kerusi jawatan tugasnya, mengurus pelaksanaan polisi parti dan pentadbirannya. Pada umumnya mereka ini bukan ahli dalam bidang-bidang ilmu tertentu, ataupun dalam sesuatu masalah. Demikian juga di Parlimen dan Kabinet.

Keahlian dalam berbagai masalah terdapat di luar parti politik pada umumnya terutama sekali di luar pemegang-pemegang kerusi jawatan dalam parti.

Sebagai contoh, masyarakat Melayu kini sedang dihantui oleh masalah ketagihan dadah di kalangan remaja. Masalah ini sudah berlarutan berpuluh tahun. Ada tidak dari kalangan pemegang kerusi jawatan politik UMNO dari tahun 1946 hingga sekarang seorang yang ilmunya mendalam tentang hisap dadah dan ketagihannya, yang sanggup menyiapkan satu risalah ilmiah, untuk dibincangkan di Majlis Tertinggi, seterusnya diterima dan diterbitkan oleh UMNO bagi ahli-ahlinya sebagai panduan memahami dan menangani masalah dadah yang sedang melanda masyarakat Melayu?

Ada tidak seorang lagi yang dapat berbuat demikian tentang kemiskinan, keciciran belajar, pengangguran, etika bekerja, rasuah, jenayah seperti sumbang mahram dan membuang anak, yang berlaku di kalangan masyarakat Melayu dan perlu diatasi?

Perlukah tidak Majlis Tertinggi UMNO mendapat sumbangan-sumbangan penyelidikan mendalam tentang masalah demikian atau tidak? Adakah memang hakikat kepartian politik itu membiarkan beberapa pemegang-pemegang jawatan parti yang memusatkan perhatiannya kepada kegiatan meluncur di atas gelombang besar kemenangan parti dan hanya gentar waspada jangan sampai jatuh ke dalam laut, susah hendak naik balik?

Memang sudah lazimnya bahawa kepimpinan parti mesti diberi bantuan oleh ahli-ahli parti selain dari pemegang jawatan, tetapi hal ini mesti digerakkan oleh pimpinan parti. Bantuan itu diberi kepada yang menghendakinya, tidak pada yang berasa semua tahu.

Kesimpulannya, pimpinan UMNO daripada Presiden ke ketua bahagian perlu mencari bantuan pengolahan pemikiran sekitar berbagai masalah di berbagai peringkat dari mereka di luar pemegang jawatan. UMNO itu parti ahli-ahlinya bukan dipunyai oleh pemegang jawatan. Yang menyebabkan gelombang besar kemenangan itu ahli-ahlinya. Pemegang jawatan sendiri tak dapat menggerakkan parti hingga mempengaruhi pengundi yang ramai itu. Demikian juga usaha pimpinan sekarang ini hendak membasmi politik wang ataupun sebagaimana dijelaskan oleh Prof. Diraja Ungku Aziz, politik rasuah, perlu mendapat sokongan kuat daripada ahli-ahli UMNO.

Ahli-ahli UMNO jangan hanya dapat menyumbang sekadar kegiatan pilihan raya atau menyambut lawatan pemimpin. Kehidupan politik dalam parti hendaklah menyeluruh. UMNO memerlukan perubahan jiwa justeru kerana kemenangan politik pilihan raya terakhir. Bagi mencapai matlamat ini ada beberapa langkah yang boleh diambil yang belum pernah terjadi sepanjang ingatan saya, iaitu mengadakan konvensyen tertentu.

Yang dimaksudkan konvensyen tertentu ialah perhimpunan ahli-ahli UMNO yang diselenggarakan oleh parti untuk membahaskan sesuatu masalah yang penting bagi masyarakat Melayu atau negara Malaysia seperti jenayah di kalangan remaja dan murid-murid sekolah, ketagihan dadah, rasuah, pencemaran dan pencerobohan alam sekitar dan banyak yang lainnya. Demikian juga masalah dalam parti seperti politik wang dan perang surat layang.

Konvensyen yang demikian ini merupakan suatu usaha yang perlu untuk membina akhlak politik UMNO. Ia boleh diadakan sekali atau dua kali setahun di berbagai negeri. Butir-butir organisasinya dapat ditentukan kelak jika tujuan ini diterima.

Satu lagi masalah yang sangat penting yang belum pernah terjadi dalam sejarah UMNO adalah menyusun dan diterbitkan satu manifesto perjuangan UMNO, yakni falsafah perjuangan UMNO dalam bentuk buku kecil yang disahkan secara rasmi oleh Majlis Tertinggi. Jika saya ditanya apa falsafah perjuangan UMNO, saya terpaksa jawab tak tahu. Yang ada polisi kerajaan didukung oleh UMNO, manifesto pilihan raya Barisan Nasional, wawancara akhbar dan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin di sini sana sebagai petugas kerajaan dan sekali-kali tentang parti.

Sebetulnya dalam hati saya ingin menjawab, falsafah politik UMNO adalah falsafah pakai payung. Payung tak boleh terus dibuka ataupun terus ditutup. Payung mesti dibuka tutup, mengikut keadaan, hujan atau panas. Dahulu sangat disekat mendirikan universiti swasta, sekarang sudah mula bertaburan.

Politik payung ini hanya terhad kepada hujan panas atau hormat mengiring pembesar sahaja. Kita tak dapat buka payung dalam dapur atau bilik air kerana tidak pada tempatnya. Payung dibuka kalau sudah datang hujan. Ia tidak dibuka sebelum turun hujan. Tetapi kalau hujan sangat lebat dengan angin kencang, payung itu tak guna malahan menjadi beban. Ia menjadi masalah dalam keadaan hujan ribut.

Usaha lainnya yang perlu dilaksanakan oleh UMNO, yang juga belum pernah terjadi ialah mendirikan bangunan pusat kebudayaan, dalam bahasa Inggeris `cultural centre'.

UMNO telah sanggup mendirikan bangunan hebat di PWTC. Yang dimaksudkan bukanlah bangunan yang demikian, 10,000 kaki persegi, dua atau tiga tingkat pun cukup. Pusat ini boleh digunakan untuk seminar, ceramah, tayangan VCD, mesyuarat, perpustakaan, makan-minum dan seterusnya. Mana-mana badan UMNO boleh menggunakannya. Masa tidak digunakan boleh disewakan pada pihak-pihak lain.

Pengaruhnya terhadap kegiatan ahli-ahli parti akan besar sekali. Ia juga akan membantu pemimpin-pemimpin kita mengeratkan hubungan dengan ahli-ahli UMNO. Pusat kebudayaan parti UMNO dapat menarik pelancong politik. Seorang bukan ahli dapat tertarik melalui kunjungannya pada UMNO.

Akhir sekali ada satu lagi yang boleh dilaksanakan oleh UMNO untuk pertama kalinya bukan sahaja oleh UMNO tetapi oleh semua parti politik di Malaysia ataupun di rantau Asia-Afrika.

UMNO dapat mengambil langkah pertama untuk mencadangkan pada kerajaan supaya mendirikan suatu yayasan bersama rakyat Malaysia dalam bidang kemanusiaan yang sangat mendesak dewasa ini, iaitu menolong orang-orang yang tidak mampu mendapat perubatan dan rawatan tertentu. Hampir tiap-tiap minggu keluar di akhbar seruan mohon tolong derma wang untuk pembedahan tertentu daripada yang tidak mampu. Mereka ini bukan pegawai kerajaan.

Kita dapat mendirikan Tabung Haji. Mengapa tidak tabung keselamatan hidup? Yayasan ini dengan sokongan kewangan daripada rakyat dapat mengumpulkan berpuluh juta satu tahun. Caranya mudah sahaja. Setiap pekerja kerajaan umpamanya boleh menyumbang secara sukarela RM2 sebulan dipotong daripada gaji. Demikian juga di pihak swasta yang lainnya boleh menderma langsung. Duit yang dikumpul dalam beberapa tahun akan berjumlah beberapa ratus juta. Sesiapa yang memerlukan pertolongan boleh mendapatinya. Ada lain sekitar hal ini yang dapat dirancang setelah ada persetujuan daripada pihak kerajaan.

Jika kerajaan hendak mengadakan jamuan nasi beriani secara besar-besaran, yang penting ada niat, tukang masak boleh dicari. Tak payah mengharap menteri kabinet jadi tukang masak. Ini bukan tugas dan keahlian mereka. Mereka berhak untuk mendapat penjelasan dari tukang masak supaya mereka dapat menilai apa yang akan dihidangkan dan dapat memberi kepercayaan pada si tukang masak. Yang sangat penting, menteri-menteri kabinet kuat inginkan nasi beriani!

Perjuangan UMNO mesti dilandaskan atas cita sempurna untuk mendirikan yang dalam al-Quran disebut Baldatun Tayyibah, yang diredai oleh Allah. Manifesto perjuangan UMNO jika kelak dilahirkan perlu menjelaskan sifat-sifat cita sempurna dan penghalangnya cita bencana yang mengerakkan jiwa perasuah dan pemain politik wang, peluncur ombak kemenangan, pengugut projek, pengampu-puja pemimpin-pemimpin dan lainnya yang tak ambil peduli nasib parti dan masyarakat.

UMNO mesti dapat membersihkan diri daripada tikus-tikus kapal. Mereka hidup dalam kapal. Tidak kisah kapal dalam keadaan lautan tenang atau ribut taufan dilambung ombak, mesinnya rosak, tergendala di pelabuhan, ataupun ganti kapten. Tumpuan mereka hanya mencuri makanan di mana sahaja boleh didapati, di atas meja atau dari tong sampah.