Saudara Pengarang,
DEMI kemajuan industri hiburan tanah air yang semakin berkembang menerusi kemunculan pelbagai konsep yang semakin kreatif dan mencuri tumpuan jutaan peminat, saya ingin mengupas rancangan Akademi Fantasia 2.
Walaupun, program ini telah berlalu, namun wajar rasanya kepincangan yang terhampar diteliti, dikupas dan dianalisis demi peningkatan kuantiti rancangan ini pada masa depan. Yang buruk jadikan sempadan, yang baik jadikan teladan.
Ringkasnya, terdapat tujuh kecacatan utama Akademi Fantasia (AF) yang wajar diberi tumpuan dan perlu diperbaiki oleh Astro demi menjamin ketelusan program yang menjadikan peminat sebagai penentu hala tuju kelahiran bintang ini. Antara kecacatan utama:
* Penonjolan berlebihan tenaga pengajar/pengetua.
Sesiapa sahaja yang menyaksikan AF2 akan mengaku betapa terdapat perubahan mendadak berbanding AF1 khususnya penonjolan tenaga pengajar dan pengetua yang `amat ekstrem'.
Sama ada disengajakan atau tidak, situasi ini kelihatan agak janggal dan tidak memenuhi kriteria profesionalisme. Unsur `gila glamour' seolah-olah begitu didedah sehingga mengatasi populariti bakal bintang yang hendak dilahirkan.
Sementelah terdapat tenaga pengajar yang muncul kali pertama dalam AF kelihatan begitu ghairah, bersemangat dan tidak natural dalam melakukan aksi diri demi menuntut perhatian lensa kamera.
* Kejutan `masuk semula' dikecam.
Kejutan mencantikkan rencah AF, namun kejutan yang di luar imaginasi normal mampu menjejaskan kredibiliti sesebuah idea kreatif. Selama ini, peminat tidak pernah mempertikaikan kejutan yang dibuat malah, dialu-alukan kerana inilah `rempah' AF.
Namun apabila pelajar yang gagal diterima masuk kembali ke AF, situasi berbeza berlaku. Peminat keliru, konsep asal dicanai sewenang-wenangnya atas alasan masih menepati konsep asal Academi Mexico. Impaknya bintang yang menjadi mangsa ialah Linda, apabila `diboo' oleh penonton yang tidak dapat menerima konsep ini.
Astro seharusnya mendapat isyarat berharga ini, jangan malu mengaku kesilapan. Peminat rasa tertipu, setelah `air mata' membazir dibuai dek terkeluarnya pelajar tersebut, tiba-tiba dimasukkan semula secara `terhormat'. Tegasnya penonton yang telah banyak `berkorban' jangan dipersenda dan dipermainkan!
* Pemilihan pelajar perlu tepat.
Lebih 4,000 diuji bakat dengan sembilan destinasi dijadikan `wadah' pemilihan. Malah pemilihan ketat hingga `faktor x' dijadikan `kunci pemilihan' peserta amatlah malang jika pemilihan 12 terbaik memperlihat Astro melakukan kesilapan. Ukur baju di badan sendiri. Jangan memilih peserta yang anda tidak mampu `membuang karatnya'.
Mudahnya, pilih terus yang telah bersinar, agar tragedi AF2 tidak berulang. Tenaga pengajar, tidak pandai menari jangan salahkan lantai yang tinggi rendah.
Mas contohnya jadi mangsa, penggilapnya gagal kerana `kekurangannya', lantaran untuk menutup kelemahan, Mas dipersenda, dipertikai, dihina secara terang-terangan oleh pengetua di media massa, kerana terkedu bila melihat peratus Mas tinggi tetapi kualiti tiada.
Pastikan anda pilih yang bersinar, ada kelulusan SPM, dan berbakat besar kerana AF2 membuktikan apa yang mampu dibentuk oleh akademi itu sendiri.
* Pemilihan pengkritik perlu lebih tepat.
Memang diakui, program AF lebih kepada sensasi dan populariti, namun landasan kualiti harus dijadikan fokus akan kredibiliti lebih dihormati dan dijiwai. Lantas, pemilihan pengkritik yang lebih berkarisma harus diberi perhatian serius. Hetty Koes Endang dan Erma Fatima adalah antara beberapa nama pengkritik yang diakui mampu memberikan idea yang berguna dan bernas.
Kewujudan pengkritik tetap yang agak `emosi dan melampau' wajar dinilai kembali (mungkin beliau sudah terlalu lama di situ) menyebabkan beliau banyak kali tersasul dan tidak membina serta tidak konsisten' kritikannya.
* Undian peratus tidak telus.
Siapa dapat memastikan peratus yang diterima itulah yang dipaparkan? Mengapa tidak satu `penayangan atau sistem' yang lebih telus dan meyakinkan bahawa undian yang dihantar penonton benar-benar menentukan kedudukan pelajar? Apakah sukar sangat untuk menjadikan AF lebih telus agar kami lebih yakin bahawa memang undian kamilah yang menentukan bintang kerana terdapat beberapa situasi undian yang suatu ketika boleh dipersoalkan dan agak meragukan.
* Membiarkan kutukan bersifat peribadi di Channel 15.
Walaupun hebat bagaimanapun peminat AF, bagaimana kronik pun demam AF dan bagaimana dahsyat fenomena yang melanda persada hiburan, Astro wajar lebih bertanggungjawab dalam `membiarkan' aliran emosi menguasai `peperangan peminat' di Channel 15. Maruah bangsa tunjang kesejahteraan, Astro sekadar berulang kali menulis amaran di Channel 15, sebarang kutukan, kecaman tidak akan disiarkan tetapi hakikatnya yang lebih parah dari itu pun disiarkan. Mana letaknya tanggungjawab sosial Astro?
* Penuh drama tetapi kualiti ditakuk lama.
Hebatnya AF kerana mainan emosi, drama dan air mata. Tanya mana-mana peminat, itulah jawapannya. Berkelip bintang pun dikatakan tidak akan ke mana sehingga musim populariti turun, pudarlah bintang AF.
Buktinya AF1 semakin dilupakan. Bintang-bintang yang dikatakan amat berbakat di AF1 dahulu, tenggelam dek `album secara beramai-ramai yang tidak berkualiti atau sekadar buat album'.
Tinggallah seorang dua yang berjuang dan menempa populariti tetapi hanya `gah' di siaran Astro, di siaran televisyen lain kelihatan malap dan tidak tertonjol. Jadi, apa matlamat Astro sebenarnya?
Bintang AF2 akan mengalami nasib yang sama? Hingar-bingar di permulaan, senyap seribu bahasa di lautan perjuangan hiburan? Unsur drama diterima, namun aspek kualiti perlu diutama.
Rumusannya, syabas Astro, jadikan kritikan membina ke arah peningkatan kualiti persembahan. - FAKHRUL ZAMAN AHMAD, Raub, Pahang.