Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 30/09/04 | Khamis, September 30, 2004


[TEBUSAN kumpulan militan di Iraq yang dibebaskan, Simona Torretta (kanan) dan Simona Pari gembira semasa tiba di Lapangan Terbang Ciampino, Rom, Itali kelmarin. Kedua-duanya `bernasib baik' kerana sebelum ini sebahagian daripada tebusan telah dibunuh. - Gambar Reuters.]
Tebusan Itali dibebaskan
ROM 29 Sept. - Dua sukarelawan wanita Itali, Simona Torretta dan Simona Pari selamat tiba di Rom lewat semalam selepas menjadi tebusan kepada kumpulan militan Iraq selama tiga minggu.
Berita pembebasan mereka disambut dengan perasaan gembira oleh pelbagai pihak khususnya warga Itali dan sanak saudara mereka.
Torretta dan Pari,29, tiba di lapangan terbang tentera Ciampino, Rom dan menerima jambangan bunga dan pelukan daripada anggota keluarga serta rakan-rakan di agensi bantuan `Jambatan ke Baghdad' iaitu tempat mereka bertugas.
Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dan anggota keluarga kedua-dua wanita itu menaiki sebuah pesawat tentera udara Itali untuk menyambut kepulangan mereka di lapangan terbang.
Dua wanita itu, yang diculik oleh lelaki bersenjata pada 7 September lalu ketika berada di pejabat mereka di Baghdad, turun daripada pesawat sambil tersenyum lebar selain kelihatan amat tenang.
``Keadaan kami baik-baik sahaja,'' katanya kepada pemberita yang menunggu kepulangan mereka.
Bagaimanapun, kedua-dua wanita terbabit tidak mengulas mengenai penahanan selama tiga minggu itu tetapi hanya menyatakan mereka dilayan dengan baik.
Selepas menghabiskan waktu bersama-sama keluarga, kedua-duanya dibawa menghadap majistret Rom untuk soal siasat mengenai penculikan mereka.
Berlusconi, penyokong perang ke atas Iraq yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) menyifatkan pembebasan wanita itu sebagai satu detik paling gembira buat warga Itali.
``Selepas beberapa hari dan beberapa siri rundingan diadakan, mereka akhirnya dibebaskan, ini merupakan satu detik yang menggembirakan,'' kata beliau.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 3,000 tentera Itali berpangkalan di Iraq.
Sementara itu, beratus-ratus orang berhimpun di luar kediaman keluarga Torretta selepas berita pembebasannya dihebahkan. - Reuters