Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tiga penyerang berani mati terlibat

Written By JOM JALAN on 11/09/04 | Sabtu, September 11, 2004

JAKARTA 10 Sept. - Serangan bom ke atas kedutaan Australia semalam dipercayai dilancarkan oleh tiga penyerang berani mati, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Indonesia, Leftenan Jeneral Suyitno Landung hari ini.

Katanya, siasatan menunjukkan bahawa sebuah van mini jenis Daihatsu yang berisi dengan bahan letupan telah digunakan untuk melancarkan serangan tersebut.

``Menurut para saksi, mereka melihat kenderaan berwarna hijau itu meluru ke arah tempat kejadian dan meletup serta merta.

``Oleh itu mereka percaya para penyerang masih berada di dalam kenderaan itu dan turut terbunuh dalam serangan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat perisikan serta siasatan, pihak polis percaya sekurang-kurangnya tiga anggota militan terlibat melancarkan serangan tersebut.

``Beberapa orang anggota militan yang ditahan sebelum ini mengaku bahawa terdapat tiga lagi anggota yang bersedia melancarkan serangan berani mati pada bila-bila masa sahaja,'' kata Suyitno.

Beliau memberitahu, pihak berkuasa juga sedang mengenal pasti mayat tiga lagi mangsa yang berada di hospital Kramat Jati bagi menentukan sama ada mereka ialah orang yang melancarkan serangan bom tersebut.

``Pihak polis telah mengenal pasti semua mangsa yang terbunuh kecuali tiga lagi mayat,'' katanya.

Indonesia menyaksikan dua serangan berani mati yang dilancarkan oleh kumpulan Jemaah Islamiah (JI) sebelum ini iaitu ke atas dua buah kelab malam di Bali pada 12 Oktober 2002 dan serangan di hotel JW Marriott pada 5 Ogos tahun lalu. - Reuters