MUKADIMAH
UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya pada 23 hingga 25 September ini di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Persidangan kali ini bersejarah kerana ia adalah perhimpunan pertama UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah yang memangku jawatan presiden parti setelah persaraan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Oktober lalu telah pun menang tanpa bertanding dan diisytiharkan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan ini.
Oleh kerana Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah pun memutuskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, maka Naib Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak yang beliau lantik sebagai Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden juga memenangi jawatan Timbalan Presiden parti tanpa bertanding.
Dalam perhimpunan kali ini juga, akan disaksikan pertandingan bagi jawatan Naib Presiden dan ahli MT yang pasti menarik perhatian rakyat negara ini kerana ia memberi gambaran bentuk kepimpinan parti pada masa akan datang.
Pun begitu, apa yang lebih penting ialah isu-isu yang akan dibahaskan dan idea-idea dirumuskan untuk dilaksanakan oleh parti yang sememangnya menguasai kerajaan negara ini.
Dalam wawancara dengan Najib, Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa isu agenda Melayu akan dibincangkan dan pandangan yang dikemukakan di tengah-tengah masyarakat pastinya diambil kira oleh perwakilan dan pucuk kepimpinan.
Beliau menyebut dua sektor penting yang akan diberikan penekanan khusus iaitu pendidikan dan ekonomi kerana ia dianggap sebagai bidang penting bagi memajukan agenda Melayu.
Menurutnya, orang Melayu menghadapi cabaran daya saing hebat dalam dunia yang sedang melalui arus globalisasi. Orang Melayu perlu meningkatkan kecemerlangan mereka untuk selamat dalam cabaran baru ini.
Ikutilah wawancara beliau dengan wartawan-wartawan yang turut disertai oleh wakil Utusan, ZIN MAHMUD, MOHD. NOR SAMAD dan SITI MARYAM MOHD. ZAIN di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur semalam.
Soalan: Pada keseluruhannya, apakah pandangan Datuk Seri mengenai kestabilan dan keutuhan UMNO sekarang ini?
NAJIB: Saya melihat terbukti bahawa perpaduan dan semangat juang ahli-ahli parti berada dalam keadaan yang kukuh kerana jika tidak, tidak mungkin kita dapat kemenangan yang sebegitu besar pada pilihan raya umum lalu. Kita juga tidak mungkin berjaya dalam pilihan raya kecil di Kuala Berang baru-baru ini dengan majoriti yang bertambah. Tetapi soal ini perlu sentiasa diperingatkan kepada ahli-ahli parti bahawa perpaduan itu merupakan suatu perkara yang amat penting dihayati oleh mereka kerana ia adalah sendi kepada kekuatan kita. Dalam hubungan ini rakyat khususnya pengundi tentunya akan menolak mana-mana parti yang berpecah belah ataupun tidak bersatu.
Apa harapan yang Datuk Seri sandarkan pada perhimpunan agung kali ini?
NAJIB: Harapan saya ialah tiga perkara yang saya sebutkan tadi. Sedikit-sebanyak ini memerlukan perbahasan agar dapat memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang kukuh, bersatu padu dan setia di samping memberi pengiktirafan dan endorsement yang padu kepada pucuk pimpinan yang baru.
Dalam pemilihan kali ini tentu ada pemimpin yang akan cuba menggunakan platform untuk kepentingan diri sendiri. Bagaimana UMNO mahu membendung gejala ini?
NAJIB: Saya melihat bahawa kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kualiti pemimpin itu sendiri. Dan kualiti pemimpin pula akan ditentukan oleh ahli-ahli parti. Jika kita semua melihat UMNO terus wujud sebagai sebuah parti yang perkasa, kita perlu mengangkat pemimpin-pemimpin yang berkualiti. Jadi, terpulang kepada ahli-ahli UMNO membuat penilaian mereka. Penilaian itu supaya pada akhir proses pemilihan itu nanti, kita akan meletakkan saf-saf pimpinan yang mempunyai kemampuan dan kewibawaan agar dapat membawa perjuangan kita ke tahap yang lebih tinggi.
Sikap segelintir pihak yang gemar menjaja nama pemimpin dan berpuak-puak. Adakah ini cara terbaik untuk mendapat tempat dalam parti?
NAJIB: Cara ini bukanlah perkara baru dalam sejarah pertandingan UMNO. Sejak dahulu lagi memang perkara ini biasa dilakukan dan ada juga pihak yang cuba menggambarkan bahawa dia disokong oleh pemimpin-pemimpin tertentu umpamanya. Tetapi perkara pokok ialah terpulang kepada ahli-ahli UMNO untuk membuat penilaian. Saya percaya ahli-ahli UMNO sudah cukup matang, boleh membuat penentuan siapa yang layak diletakkan di tempat-tempat tertentu.
Perbezaan kefahaman antara wang politik dan politik wang. Keadaan ini menyebabkan ramai ahli UMNO keliru. Boleh Datuk Seri jelaskan secara ringkas?
NAJIB: Kalau kita hendak datang ke perhimpunan agung, biasanya, Badan Perhubungan UMNO Negeri akan menentukan keperluan ahli-ahli, misalnya tempat penginapan, sedikit sebanyak keperluan kenderaan, makan minum dan sebagainya. Ini kita tidak menghalang sebab dibuat atas nama parti secara rasmi dan ia sebenarnya adalah amalan kita selama ini. Yang kita tegah ialah menggunakan wang untuk membeli undi kerana ia boleh merosakkan proses pemilihan dalam parti parti.
Dalam soal pemilihan biasanya yang menang akan memikul tanggungjawab tetapi yang kalah akan merasa kecewa dan akan memberikan masalah. Bagaimana UMNO berhadapan dengan masalah seperti ini?
NAJIB: Kita telah melalui pertandingan sejak dulu lagi. Setiap kali pertandingan, mesti ada yang menang dan kalah. Ini realitinya. Kita berharap yang menang akan menjalankan tugas dengan baik dan tidak menekan yang kalah. Dan yang kalah pula harus menerima hakikat bahawa perwakilan telah membuat keputusan. Jadi mereka perlu merapatkan barisan dan memberikan sokongan kepada yang mendapat jawatan.
Apa yang Datuk Seri katakan mungkin boleh berlaku di peringkat Majlis Tertinggi (MT) tetapi di peringkat bahagian, akar umbi, yang kalah akan hilang semua dan yang menang akan menang semua. Sejauh manakah harapan ini dapat difahami?
NAJIB: Ini berkaitan dengan soal kebijaksanaan dan kematangan pemikiran kita dalam politik. Kalau sekiranya kita melihat politik ini sebagai satu perjalanan yang jauh, bererti ini bukan kali terakhir kita terpaksa berdepan dengan perwakilan sama ada perwakilan di peringkat perhimpunan agung ataupun di peringkat bahagian.
Sudah tentu sebagai seorang ahli politik, kalau kita hendak kepercayaan secara berterusan, kita mesti menambahkan lagi bilangan mereka yang menyokong atau yang senang dengan kita daripada kita memperbanyakkan musuh politik.
Kalau kita banyak musuh politik daripada kawan atau penyokong-penyokong kita, maka, pemilihan akan datang kita akan berdepan dengan masalah. Sebab itu saya tegaskan, ini adalah soal kepimpinan dan kebijaksanaan dalam kita membawa diri sebagai ahli politik.
Adakah agenda Melayu akan turut diberi penekanan dalam perhimpunan agung nanti?
NAJIB: Ada beberapa isu yang akan menjadi tumpuan. Dalam perkara ini, soal agenda Melayu maknanya dalam konteks ekonomi dan pendidikan. Kita telah pun memilih dua unsur ini untuk dibahaskan. Kita juga akan mengambil iktibar daripada segala penulisan yang kita lihat dalam media untuk langkah dan tindakan seterusnya.
Pemilihan kali ini menyaksikan beberapa pemimpin pelapis yang telah dibentuk terpaksa memberi laluan kepada pemimpin lain untuk mengambil tempat. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Tiada paksaan dalam parti politik. Kalau kita mengambil keputusan tertentu, kita kena terima orang itu kerana kita sendiri telah membuat keputusan tersebut.
Adakah faktor calon Naib Presiden yang ramai memberi gambaran bahawa UMNO ketandusan pemimpin berwibawa?
NAJIB: Saya lihat UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin yang berwibawa. Pada kali ini kita ada pilihan yang agak lebih luas lagi dari segi kepimpinan naib-Naib Presiden dan juga di kalangan ahli MT. Soalnya sekarang ini ialah memilih yang terbaik di kalangan pemimpin yang berkemampuan.
Bercakap mengenai agenda Melayu, ada pihak melihat kepentingan orang Melayu ini sebenarnya telah tercicir daripada dasar perjuangan UMNO yang kini lebih mengutamakan matlamat bangsa Malaysia memandangkan UMNO sendiri banyak bertolak ansur dengan parti yang mewakili kaum-kaum lain?
NAJIB: Kita tidak pernah lari daripada prinsip dan landasan bahawa UMNO adalah sebuah parti bagi wadah perjuangan untuk memartabatkan kedudukan orang Melayu dalam semua bidang. Dan bidang ekonomi adalah sesuatu yang kita ingin terus berusaha agar dapat mengukuhkan lagi kedudukan orang Melayu. Kalau kita lihat pencapaian kita dalam tempoh sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, pencapaian kita boleh dikatakan membanggakan dalam beberapa aspek dan ukuran pada ketika itu. Namun demikian, ada juga dalam beberapa perkara tertentu, pencapaian kita kurang memuaskan dan perlu digarap semula melalui pendekatan serta usaha yang lebih gigih dan mungkin mencari jalan baru ke hadapan. Kejayaan kita dalam bidang DEB ini tidak boleh dianggap sebagai semata-mata kelemahan kerajaan sahaja, tetapi juga UMNO. Sebenarnya untuk mengubah nasib semua kaum rupa-rupanya perlu mengambil masa yang lebih lama lagi.
Adakah gandingan Datuk Seri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) akan membawa era baru dalam perjuangan UMNO?
NAJIB: Saya nampak Pak Lah telah memperkenalkan beberapa pendekatan yang menarik, boleh dijadikan sebagai hala tuju untuk pendekatan masa depan kita. Umpamanya, penegasan tentang soal budaya prestasi tinggi adalah merupakan sesuatu yang perlu dihayati sepenuhnya dan ditafsirkan dengan tepat dalam semua kegiatan berorganisasi yang ada dalam negara kita. Saya akan bercakap pada perhimpunan agung nanti tentang soal merit dalam perjuangan.
Adakah faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengaruhi pemilihan UMNO kali ini?
NAJIB: Saya tidak nampak ia akan mempengaruhi secara langsung pemilihan ini. Sejauh mana isu ini akan disebut oleh perwakilan yang berucap, kena la kita tunggu. Tetapi parti telah pun membuat pendiriannya baru-baru ini.
Ada cadangan membawa usul khas supaya ahli parti turut membuat keputusan selaras dengan keputusan MT?
NAJIB: Setakat ini tiada cadangan untuk membawa usul khas sebab pendirian MT telah jelas. Kita tidak hendak perhimpunan agung mengubah haluannya dan memberi tumpuan kepada hanya satu isu berkenaan dengan mana-mana individu. Perhimpunan Agung UMNO merupakan satu platform atau wahana yang membicarakan tentang masa depan parti, bangsa Melayu dan negara pada keseluruhannya. Sebab itu kita hendak fokus utama dalam parti ialah ke arah masa depan bangsa, agama dan negara. Ini tugas utama ahli-ahli parti.
Bagaimana Datuk Seri melihat pengimbangan antara agenda Melayu dengan tuntutan kaum lain serta tuntutan antarabangsa yang hendakkan supaya Malaysia lebih terbuka?
NAJIB: Senario landskap politik dan sosioekonomi negara kita telah berubah. Ia tidak sama seperti masa-masa yang dulu. Dengan perkembangan dunia yang menghala kepada proses globalisasi dan liberalisasi, tidak ada mana-mana negara yang boleh terkecuali daripada mengikut trend ataupun proses kedua-dua ini. Pada saya, soalnya bukan soal pilihan. Soalnya ialah bagaimana kita membuat persiapan dan persediaan supaya kita tidak tewas dalam arus baru ini. Sebab itu, kita kena melihat sudut membina kekuatan di kalangan orang Melayu. Kita harus meletakkan bangsa Melayu dengan segala keperluan bagi persediaan menghadapi cabaran yang semakin hebat ini.
Selain daripada itu, kita melihat juga kemunculan China sebagai kuasa gergasi yang baru dan kuasa-kuasa lain. Soalnya bagaimana dunia Melayu hendak berdepan dengan kemunculan kuasa-kuasa besar di rantau ini. Dan juga dalam konteks dunia di mana ada satu sahaja kuasa mega yang selalu disifatkan sebagai universalism, bagaimana pula kita hendak tentukan dalam konteks yang saya sebutkan tadi - kita tidak tenggelam malah kepentingan bangsa Melayu dapat diperjuangkan sehingga apa yang kita harap, insya-Allah akan tercapai.
Apakah persediaan yang UMNO akan lakukan?
NAJIB: Tunggulah ucapan (pada perhimpunan) nanti. Kita akan gariskan beberapa strategi yang perlu dihayati dan diamalkan oleh UMNO. Saya sebut tadi sebagai melihat bahawa pemikiran kita mesti di dalam kerangka perubahan strategik yang sedang berlaku.
Kalau kita tidak memahami perubahan strategik ini, kita akan tewas dan kita akan teraba-raba untuk menentukan hala tuju bagi menghadapi perubahan yang begitu radikal.
Berbalik kepada isu Anwar, adakah isu ini akan menggugat persediaan orang Melayu dalam berhadapan dengan cabaran luar?
NAJIB: Kita percaya tidak. Orang Melayu telah memberi kepercayaan kepada UMNO. Sebenarnya dalam pilihan raya lalu, ia juga adalah satu kemenangan terbesar dalam sejarah. Sekarang ini menjadi tanggungjawab kita untuk terus dapat mengekalkan keyakinan rakyat kepada kita. Kalau kita tidak menggelabah dan berfikir secara rasional, pemimpin dan pengikut masing-masing memainkan peranan mereka, tidak ada sebab mengapa UMNO akan tergugat.
Datuk Seri mengharapkan agar ahli UMNO dan rakyat dapat benar-benar memahami kes Anwar ini?
NAJIB: Mereka perlu memahami tentang apa keputusan yang sebenarnya. Dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan sebagainya ini, menuntut kepada kita agar jangan terbawa-bawa dengan cerita-cerita yang tersebar dari mulut ke mulut. Kadang-kadang banyak juga yang tidak betul atau akan ada pihak yang mereka-reka cerita. Kita mesti memberi kepercayaan kepada apa yang dilakukan oleh pimpinan kita. Umpamanya bila Datuk Seri Abdullah mengatakan tidak ada pakatan dibuat dengan Datuk Seri Anwar. Ini satu kenyataan yang sah. Maknanya ahli UMNO perlu mempunyai keyakinan bahawa ini adalah hakikat yang sebenarnya. Kalau kita asyik memikirkan perkara-perkara sebaliknya, kita akan menghadapi keadaan yang tidak menentu dan akhirnya kita akan takut kepada bayang-bayang dan curiga sesama kita.
Dalam keadaan sedemikian, segala-gala dalam UMNO tidak akan berada dalam keadaan yang aman dan tenteram.
Bagaimana pemimpin UMNO mahu meyakinkan ahli UMNO sendiri bahawa kes Anwar bukan sebahagian daripada perjuangan atau agenda Melayu?
NAJIB: Ini terpulang kepada kita, kalau kita sebagai pemimpin dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin sehingga rakyat yakin kepada kita, maka tidak ada sebab mengapa mereka hendak menghilangkan kepercayaan kepada pemimpin sebab kita boleh membuat perubahan kepada negara kita. Kita boleh membawa agenda Melayu dalam perjuangan kita sehinggakan ada kesan-kesan yang positif kepada kedudukan bangsa Melayu dan sebagainya. Kalau ini dapat kita lakukan, sudah semestinya UMNO akan merupakan pilihan utama orang Melayu.
Berhubung kes Anwar, rakyat seolah-olah berada dalam keadaan keliru sekarang. Adakah UMNO akan mengeluarkan kenyataan atau sebagainya untuk memberitahu keadaan sebenar khususnya kepada ahli-ahli parti?
NAJIB: UMNO akan ada peranannya tetapi media massa juga ada peranan mereka. Media massa boleh menonjolkan perkara-perkara tertentu supaya rakyat dapat memahami tentang apa yang sebenar yang telah diputuskan oleh hakim-hakim termasuk hakim yang membebaskan Datuk Seri Anwar.
Pada pilihan raya umum 1999, UMNO melancarkan gerakan memberi penerangan mengenai isu Anwar, apakah tindakan yang sama juga akan dilakukan sekarang?
NAJIB: Tahun 1999, keadaannya berbeza. Masa itu, timbul satu kejutan dan amat sukar bagi orang UMNO untuk memahami apa yang berlaku. Tetapi setelah masa berlalu, ahli-ahli parti dan rakyat pun telah pulih keyakinan mereka kepada UMNO. Kalau kita lihat pada keputusan pilihan raya lepas, majoriti generasi muda menyokong (UMNO) pada amnya. Ini satu perkembangan yang membawa realiti bahawa penerangan kita dalam semua isu diterima oleh rakyat.
Bagaimana Datuk Seri melihat cabaran baru apabila bermulanya era Pak Lah dan Najib Tun Razak selepas pemilihan nanti?
NAJIB: Saya sudah sebutkan tadi, apa yang patut kita buat. Antaranya, ialah melihat kepada nilai-nilai penting dalam parti - kesetiaan, iltizam politik kita, amanah rakyat dan sebagainya. Ini semua nilai-nilai tradisional dalam parti. Tetapi dalam kita menghadapi senario cabaran geo-politik dan ekonomi yang berubah dengan begitu pantas, bererti kita perlu melengkapkan orang Melayu dengan kekuatan-kekuatan tambahan yang perlu dijadikan sebagai punca kekuatan untuk kita mengatur langkah dari segi dasar penegasan baru sebagaimana telah dinyatakan oleh Perdana Menteri.
Datuk Seri melihat orang Melayu kini masih terancam?
NAJIB: Orang Melayu boleh terhakis kedudukannya kalau kita tidak membuat persediaan. Sebab dunia berubah dengan begitu pantas. Umpamanya, kalau kita hendak bersaing, dunia sudah menjadi semakin kompetitif. Kita tidak boleh berpaut hanya kepada pengetahuan yang lama semata-mata atau pada industri yang dulunya maju tetapi kita tidak berani untuk mencuba dalam bidang-bidang strategik yang boleh memberi kita sumber kekayaan baru. Kita tidak boleh tidak, mesti berfikir secara global, secara strategik, jangan kita berfikir secara emosi, barulah kita akan berjaya di dalam kerangka dunia yang sudah pun berubah ini.
Apakah pandangan dunia terhadap orang Melayu?
NAJIB: Saya tidak nampak soal orang Melayu ini begitu besar perhatiannya sehingga menjadi pertimbangan, katalah Amerika Syarikat, sebab kita sebuah negara yang kecil dan bukan ancaman kepada mereka. Kita tidak akan diberi perhatian melainkan kita berusaha untuk menampilkan diri kita (Malaysia) sebagai sebuah negara yang ada keunikan dan keistimewaannya. Ini sedikit sebanyak telah kita lakukan, buktinya apabila Presiden Bush bersetuju untuk menerima kunjungan Perdana Menteri di White House tempoh hari walaupun dia sibuk dengan urusan dalaman negara itu.
Kesudian ini menunjukkan kita telah berjaya dalam beberapa aspek sehingga kita boleh dianggap sebagai role model dalam keadaan kita diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang dapat mengadunkan pendidikan Islam dengan proses modenisasi - kemajuan dan kejayaan. Kita juga telah berjaya menolak fahaman keterlaluan melalui proses demokrasi. Tidak ada negara Islam lain yang berjaya menolak fahaman ekstrem melalui proses ini.
Apa pendapat Datuk Seri tentang pergantungan Ketua UMNO Bahagian kerana terlibat dengan politik wang?
NAJIB: Saya tidak boleh sebutkan secara spesifik sebab itu kuasa Lembaga Disiplin.
Tindakan yang diambil terhadap perbuatan salah laku dan politik wang setakat ini sekadar di peringkat bawahan dan bahagian sedangkan ia dikatakan turut berlaku di peringkat lebih tinggi termasuk MT dan Naib Presiden. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Kita serahkan kepada pihak Lembaga Disiplin, kita tidak bagi apa-apa arahan kepada Lembaga Disiplin. Malah apabila Lembaga Disiplin membuat pengumuman, mereka tidak merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan ataupun Presiden parti. Ini kuasa yang kita beri kepada Lembaga Disiplin. Lembaga Disiplin pun kena bertindak berasaskan kepada maklumat yang diterima. Kalau ada maklumat bertalu-talu diterima, saya percaya mereka akan membuat sesuatu tindakan. Tetapi kalau maklumat tidak diberikan, sukar bagi mereka (bertindak). Cerita-cerita sahaja tidak boleh dijadikan bukti untuk Lembaga Disiplin mengambil tindakan.
Banyak jawatan kepimpinan tidak ditandingi. Adakah ini satu petanda baik kepada UMNO yang mengamalkan demokrasi?
NAJIB: Tidak semestinya sesuatu jawatan itu harus dipertandingkan baru boleh dikatakan demokrasi hidup segar dalam parti. Pertandingan di peringkat Naib Presiden hebat, tujuh orang bertanding! Bererti bahawa proses pemilihan dalam parti berjalan dengan agak rancak. Jawatan Presiden, Timbalan Presiden, mengikut tradisi biasanya memang tidak dipertandingkan dan jawatan ini dikaitkan pada mereka yang ada jawatan dalam kerajaan. Itu satu amalan tradisi dalam parti di mana ahli-ahli parti memutuskan tidak ada sebab mengapa tradisi ini tidak perlu dipertahankan. Di peringkat lain, kita serah kepada ahli-ahli UMNO sendiri untuk membuat keputusan.
Apa nasihat Datuk Seri kepada perwakilan kali ini kerana kita lihat masih ada unsur-unsur jual beli undi di kalangan mereka?
NAJIB: Saya yakin kepada kematangan ahli-ahli parti sebab ini bukan kali pertama kita melalui proses pemilihan dalam parti. Yang dulu pun hebat juga - pertandingan dalam parti. Tahun-tahun sebelum ini, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam parti, semua sudah tahu, dalam sejarah parti, tidak kurang hebatnya. Tetapi akhirnya, UMNO masih kekal sebagai parti yang kuat dan kukuh. Apa pun yang berkocak, berkocak sebagai satu keadaan sementara sahaja tetapi akan kembali tenang selepas itu.
Bagaimana Datuk Seri menilai calon-calon Naib Presiden?
NAJIB: Kalau mereka menawarkan diri bertanding di peringkat Naib Presiden, memang mereka semua ada ketokohan, kalau tidak macam mana mereka boleh mendapat pencalonan di peringkat bahagian. Saya tidak terfikir mereka ini tiada ketokohan, ada. Cuma sekarang ini hendak memilih yang terbaik. Tiga daripada tujuh.
Cita-cita pembangkang mahu melihat negara menuju ke arah sistem dua parti?
NAJIB: Itu sebab saya katakan tadi, kita mesti mengekalkan UMNO sebagai parti pilihan utama di kalangan orang Melayu dan BN merupakan parti yang dominan di dalam konteks politik tanah air kita. Pembangkang boleh bercakap tentang sistem dua parti dan sebagainya tetapi terpulang kepada kita untuk mempertahankan kedudukan parti. Kalau dia hendak bercakap, itu terpulang kepada mereka. Kita tidak boleh menyekat mereka daripada bercakap. Tetapi kita mesti membuktikan bahawa kekuatan kita ini tidak terhakis dan rakyat merasa yakin kepada peranan UMNO dan BN.
Adakah Datuk Seri melihat pembangkang mampu berbuat demikian atau sekadar retorik semata-mata?
NAJIB: Kita tidak boleh memperkecilkan apa yang diungkapkan oleh parti pembangkang. Sesuatu yang mereka cakapkan itu adalah bayang-bayang asas mereka. Tetapi dalam proses demokrasi, ini suatu perkara yang biasa.
Sekarang ini kita mesti menguat dan memperkasakan lagi kedudukan parti UMNO dan BN supaya setiap kelompok masyarakat dalam negara kita betul-betul yakin bahawa kestabilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia akan bergantung kepada BN bukan kepada mana-mana parti yang lain.
Datuk Seri puas hati dengan peranan UMNO dalam memperjuangkan agenda Melayu?
NAJIB: Saya lihat soal kedudukan orang Melayu ini kompleks sebenarnya. Ia tidak boleh dilihat semata-mata sebagai peranan UMNO sahaja. Mengubah dan membuat transformasi kepada sebuah bangsa ini rupa-rupanya makan masa yang lebih lama. Tetapi apabila dilihat dari satu-satu segi, dalam tempoh satu generasi sahaja kita boleh melihat kalau satu generasi dulu, mereka yang membuat kerja sebagai petani atau bidan kampung, hari ini anak mereka telah begitu berjaya dalam bidang-bidang tertentu. Dari satu aspek, memang kita puas hati dengan kejayaan kita membuat perubahan. Tetapi yang belum ada pada kita ialah bila kita lihat perbandingan dengan bukan bumiputera secara relatif, kita perlu memperhebatkan lagi pencapaian kita dalam aspek ekuiti, guna tenaga dan sebagainya.
Dalam bidang perubatan, seperti doktor, orang Melayu merupakan kumpulan terbesar sekali dalam negara kita. Itu yang telah kita capai dalam masa satu generasi.
Ketika ini ada beberapa langkah baru yang menarik dan sedang dilakukan oleh kerajaan. Umpamanya 100 orang pelajar setahun akan diambil oleh Khazanah untuk di hantar ke universiti terkemuka di dunia macam Stanford, Yale, Oxford, Cambridge dan sebagainya.
Ini bererti kita telah memulakan strategi kita dalam kerangka geo-politik dunia yang menuntut bahawa orang Melayu kalau hendak berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang bermaruah, mesti berjaya dalam persaingan global. Sekarang kita mesti berani membuka minda kita bahawa kita mesti bersaing.
Ada orang Melayu tidak senang langkah kerajaan membuka pintu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada kaum lain, apa pendapat Datuk Seri?
NAJIB: Kita ingin melihat kepada proses penyatuan kaum dalam negara kita. Kalau kita terlalu hidup dalam kelompok sendiri, kita tidak akan tahu bagaimana hendak berurusan dengan yang lain. Apabila kita membuka MRSM kepada bukan bumiputera, kuota 10 peratus itu tercapai sepenuhnya. Yang kedua, kita buka ini kerana kita hendak juga orang Melayu membuat ukuran dari segi bagaimana sikap yang menyebabkan yang bukan Melayu ini berjaya. Ini supaya apabila kita mengenali mereka mudah-mudahan ada juga kesan positif limpahan kepada orang Melayu.
Orang Melayu juga melihat kalau orang Cina boleh berjaya, dia akan tahu macam mana orang Cina itu boleh berjaya dan sedikit sebanyak boleh dijadikan ikutan kepada kita. Itu yang kita harapkan supaya ada suasana yang lebih kompetitif. Sebab bila dia keluar daripada MRSM, terpaksa bekerja dalam sektor swasta terutama sekali, dia terpaksa bersaing dengan orang lain. Lebih awal orang Melayu serasi dengan persaingan, lebih baik untuk masa depan kita. Kalau kita ada keyakinan diri kenapa kita takut pada orang Cina? Takkan kita tidak boleh bersaing dengan orang Cina? Sepatutnya kita tanya balik kepada diri kita.
Apa perasaan Datuk Seri apabila diumumkan menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO?
NAJIB: Saya insaf bahawa ini satu kepercayaan yang besar yang diberikan oleh ahli parti, satu amanah murni yang perlu saya pikul dan laksanakan dengan segala kesungguhan yang ada pada diri saya supaya tanggungjawab ini dapat saya sempurnakan sehingga dapat memberi kepuasan kepada ahli-ahli parti terhadap kepimpinan saya untuk saya terus menyokong kepimpinan Presiden parti dan seterusnya membawa UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu, kekal sebagai parti pilihan utama orang Melayu di samping itu mengemudikan UMNO dan negara dalam keadaan perubahan di peringkat nasional dan dunia yang semakin hebat ini supaya orang Melayu tidak akan tenggelam, terhakis tetapi sebaliknya apa yang kita telah sebut-sebutkan sebagai sebuah bangsa yang lebih cemerlang akan menjadi kenyataan.
Bagaimana Datuk Seri mahu penyokong-penyokong di luar sana memahami tentang tanggungjawab dan tugas yang ingin dilaksanakan sebagai Timbalan Presiden seterusnya bakal Presiden selepas ini?
NAJIB: Soal itu tidak timbul. Saya mahu tumpukan kepada tanggungjawab saya membantu Presiden parti, itu yang paling pokok sekali. Saya bekerjasama baik dengan Presiden parti sebagai satu gandingan yang mudah-mudahan akan dapat mengisi aspirasi dan cita-cita serta harapan ahli-ahli parti dan negara keseluruhannya.
Apakah yang UMNO akan lakukan dalam menangani masalah siswazah menganggur?
NAJIB: Soal siswazah menganggur ini kita mesti melihat apa punca dan sebab mereka ini menganggur. Kita mesti menyusun langkah-langkah tertentu, langkah jangka pendek. Mereka ini sudah menganggur, jadi bagaimana kita hendak menjadikan mereka lebih diterima oleh pasaran. Antaranya ialah mengikuti kursus-kursus latihan yang dibuat oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia.
Umpamanya pengetahuan dari segi berkomunikasi dan sebagainya supaya mereka boleh diterima. Itu soal jangka pendek, jangka panjang atau jangka sederhananya, kita mesti melihat kepada kursus-kursus yang ditawarkan sama ada kursus ini menepati dengan kehendak pasaran.
Ini juga menuntut bahawa bukan sahaja di peringkat universiti malah peringkat sekolah menengah dan rendah kita mesti membina asas-asas dalam sistem pendidikan kita supaya para pelajar menjurus kepada bidang-bidang yang berpotensi seperti sains, teknologi, matematik dan sebagainya. Bidang-bidang ini mesti dijadikan sebagai mata pelajaran yang dapat dikuasai dengan sebaik mungkin oleh orang Melayu. Begitu juga penguasaan bahasa Inggeris. Kalau kita hendak berperanan dalam sektor swasta dan juga di peringkat global, kita mesti menguasai bahasa Inggeris dengan baik tetapi mengekalkan jati diri kita sebagai orang Melayu.
Banyak halangan?
NAJIB: Saya tidak suka melihat secara negatif. Setengah daripada syarikat ini terpaksa menggunakan pakar-pakar asing untuk bekerja di dalam syarikat mereka, mengapa mereka patut membayar lebih untuk menggunakan kepakaran asing sedangkan ada kepakaran dalam negara.
Melainkan kalau tidak ada mereka yang sesuai di dalam negara kita. Sekiranya ada warganegara kita berkelulusan yang sesuai dengan keperluan mereka dan mereka terpaksa membayar gaji cuma separuh ataupun satu pertiga berbanding orang asing, lebih baik mereka terima orang Malaysia termasuk orang Melayu untuk bekerja dalam syarikat mereka.