MASYARAKAT Melayu memegang dan mengamalkan nilai budaya tersendiri yang membentuk jati dirinya. Sejak wujudnya ketamadunan Melayu, nilai ini mendarah daging dalam pelbagai urusan pentadbiran dan kehidupan. Apakah nilai sebenar yang dipegang masyarakat Melayu dan bagaimana ia berjaya menaikkan martabat Melayu serta mampukah ia terus dipegang bagi menjadikan Melayu bangsa yang terus berdaulat dan bermaruah.
Wartawan Berita Minggu, AZRAN JAFFAR menemui Profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Zainal Kling (gambar) untuk membincangkan perkara ini.
BOLEH Profesor terangkan mengenai kegemilangan masyarakat Melayu dan ketinggian martabat mereka sehinggakan Hang Tuah juga pernah berkata, ‘takkan Melayu hilang di dunia’?
Dalam memperkatakan sejarah ketamadunan Melayu, ada bukti bahawa sejak zaman awal, bangsa Melayu sudah menubuhkan negara yang dalam sejarah dikenali sebagai Sriwijaya... bukan sekadar masyarakat berpindah randah atau masyarakat kecil-kecilan.
Batu Bersurat Sriwijaya yang ditulis dalam bahasa Melayu Kuno pada 680 Masihi adalah buktinya yang amat kuat. Kerana itu kita dapati kependudukan di keseluruhan kepulauan di Asia Tenggara dikenali sebagai Alam Melayu. Ini membezakan wilayah ini dari katakan... wilayah India, China atau Arab.
Kenegaraan ini berkembang sehingga kurun ke-11 dan ia sentiasa mempunyai pertentangan dengan satu lagi pusat ketamadunan iaitu Majapahit yang wujud sekitar abad ke-10 hingga ke-15. Apabila Sriwijaya runtuh kuasanya diganti oleh Majapahit, tetapi Sriwijaya mewariskan kenegaraan itu ke Melaka.
Melaka juga mempunyai hubungan yang tegang dengan Majapahit dan menjadi pusat runtuhnya Majapahit, melalui kedatangan Islam.
Ini memberikan kita asas yang kuat tentang kehadiran orang Melayu di Alam Melayu yang memberikan jati diri alam ini atas nama Melayu dan yang penting, keupayaan tamadun Alam Melayu membina sistem ekonomi dan perdagangan antarabangsa serta menjadi pusat persinggahan orang dari Timur dan Barat. Alam Melayu menguasai jalan rempah.
Dengan itu kita dapat katakan dari kurun ke-7 hingga ke-15 adalah satu sejarah Melayu yang tidak berkeputusan, yang memberi jati diri, sistem kerajaan Melayu dan sistem ekonomi kepada Melayu. Ia adalah asas kepada segala tamadun, kebudayaan dan sistem kemasyarakatan yang bernama Melayu.
Bagaimana pula Profesor melihat nilai masyarakat Melayu dulu apa lagi dengan kehadiran pendatang Cina dan India?
Orang Melayu membina tamadun sendiri bermula dengan sistem animisme, yang ditandai dengan sistem kepawangan serta memahami semua benda di alam ini mempunyai semangat.
Dari masyarakat sebegini, orang Melayu didatangi sistem Hindu-Buddha dan membentuk kerajaan misalnya, Palembang, Jambi. Pada kurun ke-12, kedatangan saudagar Arab membentuk kerajaan Islam pertama iaitu di Pasai yang kemudiannya mempunyai hubungan dengan Melaka dan membina tamadun Islam yang besar di seluruh Alam Melayu.
Kerana itu kita dapati nilai orang, masyarakat dan tamadun Melayu berkait rapat dengan pengaruh agama-agama ini. Yang paling terkenal di kalangan orang Melayu tentang nilai ialah yang dikatakan sebagai budi. Ia dalam tiga bentuk iaitu budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara. Ini bermakna, ada satu gagasan kelakuan, kehalusan penggunaan bahasa dan kehalusan perhubungan sesama manusia yang menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang dikatakan sebagai bertimbang rasa.
Timbang rasa bukan perkara yang senang. Ia adalah perbuatan yang amat sensitif kepada perasaan orang, mengambil kira kepentingan orang sambil memikirkan kita tidak menjadi punca masalah orang yang mana dalam istilah umumnya adalah ultruism. Orang Melayu amat ultruistic sifatnya kerana sentiasa mempertimbangkan kepentingan, perasaan dan pemikiran orang lain, sebelum membuat keputusan sendiri. Dia sentiasa bertanya apa kata orang, apa pandangan orang, apa jadi pada orang. Sifat ini adalah nilai yang paling asasi dalam kebudayaan dan masyarakat Melayu. Ia bukan berkait rapat dengan rasional tetapi dengan perasaan orang.
Kita lebih mempertimbangkan perkara yang affective daripada yang rasional atau akliah (akal). Tetapi aspek akal ini kemudiannya timbul dalam masyarakat Melayu hasil hubungannya dengan Islam. Jadi akhirnya kita menggunakan konsep akal tentang pertimbangan yang rasional, berdasarkan pemikiran, tidak lagi perasaan. Akal menjadi konsep kepada pemikiran yang rasional, berasaskan pertimbangan hukum dan suatu yang patut dan wajib dari sudut hukum syarak.
Jadi Profesor melihat bahawa nilai akal memantapkan lagi bangsa Melayu?
Kedua-duanya sekali sebenarnya yang kita gunakan dalam kehidupan moden. Ada bahagian yang kita gunakan pertimbangan rasa dan ada bahagian yang kita gunakan pertimbangan akal. Misalnya dalam perhubungan manusia kita lebih banyak menggunakan pertimbangan rasa tetapi dalam hal lebih besar kita banyak menggunakan akal... berdasarkan hukum. Ini berlaku kerana kita sudah mempunyai sikap kenegaraan, kita tidak dapat lagi menggunakan rasa dalam bidang lebih besar seperti jenayah, ekonomi atau politik, tetapi terpaksa menggunakan akal. Kadang-kadang kita mempunyai rasa yang lebih dan kadang-kadang akal yang lebih.
Bagaimana pula Prof melihat nilai rasa ini. Mungkin kerana kita terlalu bertimbang rasa menyebabkan ada yang mengambil kesempatan?
Ini mungkin kerana perbezaan nilai antara kita dengan orang lain. Kita yang sentiasa mempunyai pertimbangan yang lebih halus, tajam, lebih runcing terhadap orang lain...memikirkan halnya... kita beri peluang dia hidup di sini, kesempatan berniaga, berkuasa... pada kita itu wajar, kerana mereka adalah sebahagian kenegaraan kita. Tetapi orang lain, barangkali yang sentiasa bersifat rasional, yang tidak terlalu mempertimbang rasa, maka mereka menganggap barangkali satu kelemahan yang boleh diambil kesempatan.
Menggunakannya sebagai kelemahan orang Melayu, padahal bagi orang Melayu ia bukan kelemahan tetapi sesuatu yang wajar... sebagai manusia. Rasa menjadikan kita kadang-kadang serba salah, tolak ansur dan inilah yang menjadikan kita selalunya membuat keputusan yang tidak tepat. Melayu itu menjadi ragu yang membuatkannya mengambil keputusan yang berbeza-beza dalam keadaan tertentu.
Bagaimana pula kita dapat jadikan nilai bertimbang rasa sebagai satu nilai yang memberi keyakinan kepada kita?
Ia boleh, dengan syarat kita mesti memahamkannya kepada orang lain. Kita terpaksa menyebut kepada mereka bahawa... saya membuat pertimbangan-pertimbangan yang amat sensitif kerana saya fikir orang harus mesti berhubungan atas perasaan saling memahami. Tetapi kalau orang tak faham payah kita nak buat sebegitu. Dalam hubungan antarabangsa misalnya, kita bagi orang air dengan harga yang murah, tetapi dia hentam kita balik.
Orang tidak faham pertimbangan kita, betapa sensitifnya kita terhadap orang. Orang Melayu walaupun ada akalnya yang berfikir tentang undang-undang dan sebagainya tetapi kita lebih menggunakan rasa. Orang mungkin kurang faham dan tidak wajar bersikap begitu. Kita harap orang fahamlah dan kita dapat menjadikannya sebagai asas hubungan antara bangsa.
Mungkinkah juga kerana perasaan yang mempertimbangkan rasa ini menyebabkan Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis dan negeri-negeri di Utara membayar ufti kepada Siam, juga masalah lain?
Ada kemungkinan. Dalam zaman moden apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan prinsip memperkayakan jiran kita, itu juga berdasarkan nilai ini. Barangkali Dr Mahathir lebih berhati-hati dan tidak terlampau memberi segala-galanya kepada orang, tetapi orang tak beri balik... tak berlaku. Pada zaman dahulu kala tidak... kita beri pulau Singapura kepada Inggeris selagi ada bulan dan bintang. Ini adalah timbang rasa yang sebegitu... kita sering kali dipergunakan. Tetapi perasaan kita baik, tetap ikhlas. Sebab itulah barangkali menyebabkan kita terpaksa menyerahkan banyak perkara... negara, air, misalnya, kepada orang.
Adakah kerana kita terlalu bertimbang rasa, orang mengambil kesempatan terhadap kita akhirnya nilai itu menyebabkan kita menjadi bangsa yang lemah, rendah martabatnya?
Di satu pihak kita mungkin menjadi mangsa kepada ketamadunan orang, tetapi di satu pihak kita selamat daripadanya. Dalam sejarah kita dapati, selepas kejatuhan Melaka, yang berkuasa di Selat Melaka ialah kuasa Portugis, selama lebih 120 tahun. Selepas Portugis pada 1640-an, orang Belanda datang dan berkuasa di Selat Melaka dan keseluruhan pulau yang dinamakan Indonesia. Tetapi Raja-Raja Melayu yang sangat lemah pada masa itu seperti Johor, Jambi, Siak dan Acheh walaupun menyerang Belanda, tidak dapat mengalahkan, namun dalam percaturan politik orang Melayu dengan kuasa besar ini mereka juga menggunakan pertimbangan nilai rasa ini.
Misalannya, sewaktu Raja Johor memohon membantu Sultan Jambi apabila diserang Palembang yang mana Belanda kata tidak boleh, tetapi kita kata tak boleh tak apa nanti kita runding kembali. Ini adalah taktik yang mana apabila menghadapi sesuatu masalah kita berlembut, kita ikut... selama-lamanya kita begitu. Di satu pihak kita mungkin kalah, tetapi di satu pihak kita tak hapus. Orang tidak menghapuskan kerana sifat lemah lembut kita.
Sekarang Alam Melayu dipisahkan oleh garisan politik yang mana masing-masing ada negaranya sendiri. Mungkinkah kerana sikap timbang rasa itu menjadikan kita tak kisah, seperti apa yang berlaku misalnya dalam kes Pulau Pisang, Pulau Batu Putih serta Pulau Sipadan dan Ligitan?
Secara tradisi kita terlampau terbiasa dengan negara tanpa sempadan yang tegas. Contoh Perak, ia tiada sempadan sebelum kedatangan British. Merekalah yang menetapkan bahawa sempadannya di Sabak Bernam atau Melaka sempadannya di Sungai Linggi. Sebelum ini tiada. Kerana terbiasa, mungkin kita memandang ringan, kecuali apabila bertembung dengan orang yang membuat tuntutan kita mula mencari perundangan berkaitan dengannya. Kita faham berkenaan dengan itu, barangkali selama ini ia bukan masalah, kita tak mahu ia menjadi masalah. Ini juga satu nilai Melayu yang mana dia menyerah sampai akhirnya dia terdesak, dia mengamuk, latah... mati pun tak apa... apa yang diistilahkan, menang jadi arang, kalah jadi abu.
Mungkinkah kerana itu kita jadi bangsa yang kurang berdaya saing?
Ia ada, tetapi kita tidak menjadikan persaingan itu sebagai nilai penting. Kita jadikan kerjasama sebagai nilai penting. Apabila orang itu mula bersaing kita katakan orang itu jahat, kasar, tidak beradat sebab dia mula mendesak dan minta itu ini, tetapi tidak mahu kerjasama. Pada dasarnya kita sukakan kerjasama. Berunding, cari kesatuan pemikiran.
Begitulah juga yang kita lakukan dengan negara jiran dan negara dunia lain. Persaingan ini adalah nilai Barat seperti Amerika dengan desakannya dan nilai ekonomi Barat selama-lamanya persaingan. Kerana itu barangkali, inilah keadaannya kita tidak boleh maju dengan segera kerana kita lebih suka bekerjasama. Kita lebih suka ada jawatankuasa untuk menggembeling tenaga, bekerjasama melakukan sesuatu, daripada aku seorang buat, kau seorang buat. Kita tak suka orang perintah-perintah, kita lebih suka minta tolong.
Datuk Malik Mydin dan Datuk Azhar Mansor dikatakan dua Melayu yang mempunyai daya saing yang tinggi. Apakah pandangan Datuk? Sudahkah wujud satu masyarakat Melayu yang bermartabat dan mempunyai daya saing tinggi dan mampu menandingi bangsa-bangsa lain?
Saya ingat kita kita sudah mula menerima konsep ekonomi bebas. Ekonomi bebas yang datang dari Eropah, konsep mereka adalah sistem pemikiran yang lengkap. Ini bermakna, seseorang individu boleh buat apa saja, berniaga apa saja tanpa halangan. Dalam politik dikatakan demokrasi, yang mana individu boleh memilih siapa saja. Dalam perundangan dikatakan hak asasi yang mana seseorang itu mempunyai hak untuk mencari kebahagiaan berdasarkan keinginannya. Dari segi agama pun ia tidak mengaitkannya dengan kenegaraan, ekonomi kerana kata mereka, ia hak peribadi.
Masalahnya ialah, kita menerima ekonomi bebas, demokrasi, hak asasi manusia yang indivualistik ini, tetapi dalam fikiran kita ia bukan satu sistem pemikiran. Jadi kita tidak faham asas tamadun Eropah yang memikirkan ia sistem pemikiran dan kehidupan yang memasukkan agama sebagai satu elemen saja berbanding kita yang menganggap agama sebagai sistem yang menyeluruh. Kerana itu kita menerima ekonomi bebas itu dengan nilai persaingannya dan kita mula bersaing.
Bagaimanapun, pada pandangan saya, orang Melayu, kalau orang itu terlampau ekonomik, terlampau bersaing, mendesak dia tak suka. Anak kita misalnya, kalau dia hendak bersaing dengan adik beradiknya, hendak bersaing dengan bapanya, kita belum suka lagi... belum gemar lagi nilai itu. Bagaimanapun sudah mula... anak muda yang dididik di luar negara sudah mula berpegang kepada nilai ini... saya pun boleh buat, saya juga boleh bersaing. Ini adalah pengaruh kehidupan mereka di luar yang sudah menyerap nilai ini. Ini akan menyebabkan berlaku sedikit sebanyak konflik dalam masyarakat kita dan dalam diri kita. Sedikit sebanyak kita akan serba salah... betul ke buat begini? Dalam institusi keluarga pula, akan mula menunjukkan konflik dengan anak yang mula menunjukkan sifat kompetitif yang dulu kita anggap kasar, sedangkan kita belum menerima nilai ini lagi. Jadi kita kata anak kita kurang ajar, tetapi dari sudutnya dia betul, kerana dia hendak bersaing.
Kita ada nilai budi dan bertimbang rasa. Bagaimana pula Profesor melihat, dengan adanya nilai persaingan ini dan nilai tambahan lain, dapatkah kita mengubah minda Melayu dan akan dapat lahir satu bangsa Melayu yang bermartabat?
Pada pandangan saya, kita sedang dalam proses peralihan. Kita sudah mula menerima nilai Barat yang bersaing, yang suka mendesak dan pada satu aspek kita meninggalkan nilai-nilai tradisional. Kita sudah tidak sentiasa berbudi bahasa lagi. Masalah yang timbul adalah orang tua melihat ia tidak betul. Ini masalah kita, pertembungan antara nilai luar dengan kita yang mahu mengekalkan jati diri Melayu - berbudi, beradat, beradab, bermoral. Kita berhadapan dengan satu suasana yang bermasalah dinamakan ambivalence.
Dalam keadaan ini sama ada kita mahu menjadi seperti Barat yang kompetitif, terbuka ataupun kita berbudi bahasa, jadi baik, kata-katanya berpilih, kelakuan masih halus. Kita perlu membuat keputusan yang tetap. Masyarakat juga tidak membuat keputusan yang mantap, sama ada kita langsung ingin jadi moden sebegitu atau mengekalkan yang tradisional atau menggabungkan. Dalam banyak hal kita cuba menggabungkan, bermakna kita mentafsir kembali nilai tradisional dalam konteks moden.
Kita bercakap pula soal subsidi yang mana ia banyak dikaitkan dengan martabat Melayu walaupun ia adalah pertimbangan untuk membantu sesama sendiri. Bagaimanapun, ada aliran yang mula berkata bahawa sudah sampai masanya kita hentikan semua ini manakala ada sekolah pemikiran lain pula mengatakan itu hak kita dan apa-apa yang kita makan itu adalah hak kita. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Saya juga berpandangan dengan pemikiran kedua itu. Beginilah, pada satu pihak kita dikatakan orang yang masih lemah dan kerana itu memerlukan bantuan, malangnya kita terlampau simplistik. Kita bercakap soal subsidi seolah semuanya percuma. Sekurang-kurangnya 60 peratus bangsa Melayu adalah di luar bandar dengan kemudahan yang minimum. Kadang-kadang kita lupa mereka yang di kampung tidak mempunyai kemudahan persekolahan, perubatan yang terbaik. Dengan lain perkataan, kita memerlukan ini kerana kita masih lagi tidak menikmati kemudahan seperti di bandar.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Rencana/20041010024753/Article/)