Oleh Zulkifli Md Ali
KOTA BHARU: Kamarudin Mohammad (gambar), 72, lelaki yang bernikah kali ke-53 pada 3 Oktober lalu, memohon maaf kepada semua bekas isterinya atas segala kesilapan yang dilakukannya.
Hasrat itu disampaikan Kamarudin kepada menantu tirinya, Wan Chik Othman, 64, pada majlis tahlil arwah dan meraikan beliau bersama isterinya, Khadijah Udin, 74, di rumah anak tunggal pasangan itu, Rohana, di Bangi, Selangor, malam kelmarin.
Wan Chik yang juga isteri pelakon, M Rajoli, 59, serta bekas pembaca berita Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), berkata bapa mentuanya sedar mengenai kesilapan lalu dan mahu membuang segala perangai buruknya.
Beliau berkata, Kamarudin berhasrat menghabiskan sisa hidupnya dengan beramal dan hidup dalam aman damai.
"Sepanjang berada di Lembah Klang sejak beberapa hari lalu, ramai saudara maranya berkunjung ke rumah Rohana, 47, untuk berkenalan dan bertanya khabar.
"Pasangan itu juga diraikan dalam majlis khas yang dibuat di tempat lain, termasuk hotel dan dipelawa bermalam di rumah anak-anaknya," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.
Majlis tahlil arwah itu diadakan selepas solat Isyak, Sabtu lalu yang dihadiri kira-kira 70 ahli keluarga dan berakhir kira-kira jam 12 tengah malam.
Selain Rohana, empat lagi anak Kamarudin - Faridah, Faizal, Shahrul dan Nor Afiza, turut hadir bersama keluarga masing-masing, manakala tiga anaknya yang lain, Norizan, Roslan dan Shahril, tidak dapat hadir kerana tinggal di luar Lembah Klang dan mempunyai tugas. Seorang lagi anaknya, Jefri sudah meninggal dunia.
Semua lima anaknya yang hadir juga berpeluang meluahkan perasaan khususnya terhadap Kamarudin dan ia berjalan dalam suasana harmoni serta saling bermaaf-maafan.
Akhbar ini pada 5 Oktober lalu, melaporkan Kamarudin dan Khadijah diijabkabulkan sekali lagi selepas 47 tahun berpisah di Masjid Wakaf Bharu dekat sini.
Wan Chik berkata, sebelum lima anak Kamarudin bertemu dengan bapanya kelmarin, Rohana dengan sifat keprihatinannya sudah berusaha mengesan serta menemukan adik beradiknya sejak hampir 10 tahun lalu.
Beliau berkata, tidak timbul soal Rohana tidak mengenali adiknya kerana ia dibuat lebih awal, cuma pertemuan dengan Kamarudin yang belum dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, anak dan seluruh saudara mara bersyukur kerana mereka ditemukan semula dengan Kamarudin.
"Tambah pula, Kamarudin bukan tidak langsung menjenguk mereka, cuma jarang sekali dan tempoh bertemu pula terlalu pendek," katanya.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Mukadepan/20041011055407/Article/)