Oleh Zulkifli Md Ali dan Manzaidi Mohd Amin
BEGITULAH seni kata lagu `Kalau Jodoh Tidak Ke mana', nyanyian Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan Saloma dalam filem Anak Bapak. Lagu itu dijadikan muzik latar oleh pelakon M Rajoli bersama isteri keduanya, Wan Chik Othman, 64, untuk memeriahkan majlis perkahwinan ibu beliau, Khadijah Udin, 74, dengan bekas suami kedua, Kamarudin Mohammad, 72.
Seni kata lagu itu menyimpan 1,001 makna kepada pasangan berkenaan kerana selepas bercerai 47 tahun, mereka akhirnya ditemukan jodoh untuk bersatu semula dalam ikatan perkahwinan.
"Aku terima nikahnya Khadijah Udin, dengan mas kahwinnya sebanyak RM2,000," ucap Kamarudin ketika melafazkan akad nikahnya di depan imam Masjid Wakaf Bharu, Tumpat, Abdullah Daud, tepat jam 9.15 malam pada 4 Oktober lalu.
BIDUK lalu kiambang bertaut. Selepas 47 tahun bercerai dengan cara dan haluan masing-masing, mereka kembali sebagai pasangan suami isteri.
- Gambar oleh Syamsi Suhaimi
Majlis akad nikah yang penuh bermakna bagi pasangan pengantin baru itu disaksikan Rajoli iaitu anak sulung Khadijah hasil perkahwinan pertamanya dengan Allahyarham Mohd Zin Abdul Latif.
Ibarat `sirih pulang ke gagang', bapa kepada lapan anak, hasil perkongsian hidup dengan 52 isteri, dua daripadanya berasal dari Bangkok dan Wilayah Songkhla, Selatan Thailand itu tidak menduga sama sekali akan kembali ke pangkuan bekas isteri pertamanya, ibu tunggal anak tiga.
“Ini satu keajaiban. Walaupun bertemu dan berpisah perkara lumrah, namun berkahwin semula dengan isteri pertama setelah 47 tahun berpisah memang luar biasa. Mungkin kisah saya ini boleh jadi rekod dunia,†kata Kamaruddin yang berharap pengakuannya tidak menjejaskan keharmonian anak dan cucunya terutama yang tinggal di sekitar Lembah Klang.
Beliau ada menyerahkan surat cerai kepada Khadijah yang ketika itu hamil lapan bulan dan sempat memberitahu bahawa “kalau ada jodoh semula, kita tak ke mana. Satu hari kita pasti bertemu jua.
"Bagaimanapun, perceraian itu tidak sah kerana selain isteri hamil, saya menyebut nama isteri sebagai Khadijah Wan Ali, bukan Khadijah Udin. Saya sendiri tidak tahu kenapa boleh terkeluar nama Wan Ali iaitu nama datuk Khadijah," katanya ketika ditemui di rumah abang Khadijah, Othman di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Kelantan untuk satu majlis keraian.
Ketika ditanya mengenai jumlah isteri yang dinikahi selepas bercerai dengan Khadijah, Kamarudin secara berseloroh berkata: "Mana nak ingat... kalau rujuk dalam komputer mungkin ada."
Saudara terdekat yang kebetulan berada di sisinya ketika pertemuan dengan Berita Minggu itu, mencelah sambil berkata: "Bukan 48 (isteri) ke? Kamarudin yang ketika itu termangu seketika terus menjawab: "Oh ye... 52 orang, tapi saya tidak ingat semua namanya."
Perkahwinan beliau dengan Khadijah dikurniakan anak tunggal, Rohana, manakala perkahwinan dengan isteri kedua bernama Maimunah berasal dari Bangkok dikurniakan seorang anak iaitu Norizan.
Anaknya daripada isteri lain iaitu Rahmah dikurniakan Faridah dan Faizal; dengan Maimun memperoleh Shahrul dan Shahril; Roslan (Fatimah); Jefri dan Norafiza daripada ibu berbangsa Inggeris.
Bagaimanapun, Kamarudin tidak dapat mengingati nama ibu Jefri dan Norafiza kerana mungkin keliru berikutan ramai wanita yang dinikahinya.
Kisah hidup pasangan Kamarudin dan Khadijah cukup unik kerana selepas bercerai, mereka masing-masing melalui kehidupan tersendiri apabila Khadijah melayari hidup berkahwin kali ketiga dengan Mohd Zin Ahmad, manakala Kamarudin berkahwin dan bercerai dengan 52 orang isteri dalam tempoh 47 tahun perceraian mereka.
"Niat saya ikhlas, saya tidak main-main. Saya juga tidak bersetuju memadukan isteri. Perkahwinan ini memang cukup menggembirakan terutamanya Rohana.
"Kenyataan Rohana bahawa saya sentiasa terkenangkan ibunya (Khadijah) selama ini memang benar kerana walaupun saya berkahwin dengan ramai wanita, hati, kasih dan cinta saya tetap pada yang satu, Khadijah," katanya.
Menjawab soalan perbandingan ketika usia 70-an, ramai yang semakin uzur dan ada yang meninggal dunia, Kamarudin menjawab: "Itu sebabnya saya rasa Tuhan panjangkan umur saya supaya dapat bertaubat, meninggalkan perkara tidak elok dan dapat kembali hidup bersama meneruskan kehidupan dengan dia (Khadijah)."
Mengenai petua berkahwin ramai, Kamarudin berkata, beliau tidak mengamalkan apa-apa petua untuk memikat hingga berjaya dinikahi wanita yang diminati. “Saya juga tidak menggalakkan lelaki lain buat seperti saya,†tambahnya.
Katanya, apabila berminat dengan seseorang khususnya yang berdahi licin, beliau akan terus bertanya kepada wanita berkaitan sambil menyatakan keinginan untuk bernikah.
"Dan jika dipersetujui... hari sama, esok atau lusa, saya akan bernikah," katanya.
Kamarudin adalah abang kepada beberapa tokoh korporat dan pensyarah universiti, antaranya Datuk Zulkifli Mohamad, bekas suami Seniwati Sarimah dan Tan Sri Rahim Mohamad.
Difahamkan, seorang lagi adik Kamarudin berkahwin dengan anak Primadona, Maria Menado.
Bagi Khadijah, beliau menerima Kamarudin kerana memikirkan hidup bersendirian berikutan lapan anak hasil perkongsian hidup dengan tiga suami, sudah berumah tangga dan masing-masing mempunyai pekerjaan.
Anak Khadijah ialah Rajoli, Muhaini dan Mohd Fauzi dengan suami bernama Mohd Zin Abdul Latif; Rohana (Kamarudin); Maizun, Abdul Rahim, Zalina dan Mohd Khairi (Mohd Zin Ahmad).
"Selepas Mohd Zin (Ahmad) meninggal dunia, tinggal saya seorang diri di rumah tanpa jagaan. Saya hendak bekerja (kembali kepada kerja lama – tukang jahit) anak tidak benarkan. Saya bosan tinggal seorang diri dan nekad mahu berkahwin lagi jika ada orang sudi.
"Walaupun usia sudah lanjut, saya menganggap perkahwinan ini bukan untuk keseronokan tetapi saya memerlukan teman hidup untuk menjaga saya yang hendak menghabiskan sisa-sisa usia dengan beribadat," katanya.
Ditanya kenapa beliau menerima semula Kamarudin sedangkan bekas suaminya itu pernah meninggalkannya, Khadijah berkata, beliau menerimanya kerana tahu bekas suaminya itu sudah insaf dengan perbuatannya yang lampau, lebih lagi semua anak restu.
Pada 1957 beliau berkahwin dengan Kamarudin, tetapi perkahwinan itu tidak kekal kerana ketika hamil lapan bulan (mengandungkan Rohana) Kamarudin meninggalkannya seperti gantung tidak bertali.
"Selepas digantung tidak bertali dan bersalin, saya menerima surat cerai kali kedua daripada Kamarudin. Kali ini lafaz itu sah. Dia menceraikan saya kerana minat kepada gadis lain.
"Saya tahu Kamarudin seorang yang playboy. Tambahan pula ini perkahwinan pertama beliau dan yang kedua bagi saya selepas kematian suami pertama, Mohd Zin (Abdul Latif)," katanya.
Beliau menetapkan beberapa syarat mudah kepada Kamarudin jika mahu kembali, antaranya meninggalkan perangai buruk lamanya dan menyayangi semua anaknya termasuk daripada suami lain.
"Ini kerana sepanjang hayat suami ketiganya, Rohana sentiasa bersikap penyayang kepadanya (Mohd Zin Ahmad) dan saya mahu Kamarudin turut menyayangi mereka sebagai membalas kasih sayang yang Rohana berikan kepada bapa dan adik beradik tirinya," katanya.
Hasil perkongsian hidup antara Kamarudin dengan semua isterinya termasuk Khadijah bersama tiga suami, mereka dikurniakan 16 anak, 50 cucu dan 26 cicit.(http://websekolah.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Perspektif/20041008151303/Article/)