Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

‘Mustahil anak saya kahwin sesama sendiri’

Written By JOM JALAN on 12/10/04 | Selasa, Oktober 12, 2004

Oleh Masrina Mohd Yunos



KAMARUDIN bersama dua anaknya Rohana (kanan) dan
Faridah Hanim. - Gambar oleh Hasan Ismail

BANGI: Kamarudin Mohamad, yang kini berbulan madu selepas perkahwinan ke-53, percaya tindakannya kerap berkahwin cerai tidak menimbulkan masalah kepada keluarga, apa lagi kemungkinan ada antara anak cucunya nanti bernikah sesama sendiri.



“Mustahil ada antara anak saya bernikah sesama sendiri kerana jumlah mereka tidak ramai, hanya lapan orang. Hubungan rapat antara mereka menghalang perkara seumpama itu daripada berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kamarudin, 72, yang berkahwin kali ke-53 dengan bekas isteri pertamanya, Khadijah Udin, 74, di Kota Bharu, Sabtu lalu berada di sini menziarahi rumah anak-anaknya di sekitar ibu kota untuk merapatkan kembali hubungan kekeluargaan.

Satu majlis perjumpaan keluarga diadakan hari ini di rumah anak sulungnya, Rohana, 47, di Bandar Baru Bangi bagi membolehkan sanak saudara mengenali satu sama lain serta menjelaskan segala salah faham yang berlaku sebelum ini.

Beliau menolak dakwaan anak keduanya, Norizan, 46, kelmarin yang kesal kerana tindakan bapanya itu menyebabkan dia tidak mengenali dan mengetahui jumlah sebenar adik-beradiknya.

Anak keduanya itu berkata, tindakan Kamarudin yang terlalu kerap berkahwin cerai menyebabkan pelbagai masalah, termasuk kemungkinan ada antara saudaranya nanti bernikah sesama sendiri kerana tidak mengenali antara satu sama lain.

Norizan ialah anak tunggal Kamarudin, dengan bekas isteri keduanya, Maimunah Othman, berasal dari Thailand. Beliau dibesarkan oleh isteri ketiga bapanya, Noriah Kasim, 60-an, sebelum ibu tirinya itu turut diceraikan.

Kamarudin berkata, walaupun beliau tidak membesarkan semua anaknya, pertalian darah membolehkan hubungan kekeluargaan sedia ada terjalin erat, malah semua anaknya sudah mengenali antara satu sama lain sejak dulu lagi.

“Saya mempunyai sembilan anak daripada 52 perkahwinan. Anak keenam sudah meninggal dunia. Jadi adalah mustahil saya tidak mengenali semua anak saya itu kerana bilangan mereka bukannya ramai.

“Malah, Norizan pernah tinggal bersama saya di Taman Seapark selama setahun ketika dia bekerja di Hospital Assunta kira-kira 20 tahun lalu. Saya tidak pernah mengabaikan dia dan masih menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan menjadi wali ketika pernikahannya dulu,” katanya.

Kamarudin berkata, Norizan mungkin rasa tersisih kerana tinggal jauh di Kedah berbanding adik-beradik yang lain di mana lima daripada anaknya menetap di Kuala Lumpur dan seorang di Kuantan.

“Cucu saya pun tak ramai hanya 19 orang. Jadi mustahil sama sekali keturunan kami akan bernikah sesama sendiri yang ternyata melanggar hukum Islam.

“Bagaimanapun, untuk memastikan ia tidak berlaku saya akan membuat penyelidikan berhubung salasilah keturunan keluarga kami,” katanya yang akan pulang ke Kelantan Isnin ini untuk memulakan hidup baru bersama Khadijah.

Sementara itu, Rohana berkata, hubungan kekeluargaan antara adik-beradik tiri dan saudara lain sememangnya erat sejak dulu lagi.

Katanya, walaupun ada yang tidak pernah dibela dan dibesarkan oleh Kamarudin, mereka tidak pernah membenci atau meleraikan hubungan kekeluargaan sedia ada.

“Hubungan kami adik-beradik mula mesra dan erat sejak 10 tahun lalu atas inisiatif saya mencari dan menghubungi adik-adik lain kerana percaya air yang dicincang tidak akan putus.

“Kami tidak pernah membenci bapa atau adik beradik lain malah sentiasa berusaha membaiki hubungan dan memaafkan kerana setiap manusia pasti pernah melakukan kesilapan,” katanya sambil menambah, Norizan juga dijangka hadir dalam perjumpaan keluarga hari ini.

Anak keempat Kamarudin, Faridah Hanim, 35, berkata memang ketika zaman remajanya, dia pernah mempersoalkan tindakan bapanya yang berkahwin ramai.

“Mungkin jodoh tidak panjang atau tiada keserasian antara faktor penyebab bapa berkahwin banyak kali tapi saya tidak pernah marah. Selepas melihat kejayaan adik beradik lain, saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Mukadepan/20041009091432/Article/)