Written By JOM JALAN on 5/11/04 | Jumaat, November 05, 2004
9 mati balas dendam Tak Bai
ANAK perempuan seorang pekerja kereta api menangis di sisi mayat ayahnya yang ditembak mati bersama-sama seorang lagi pekerja di Sungei Padi, selatan Thailand, semalam. - Gambar AFP.
BANGKOK 4 Nov. - Kejadian pembunuhan di selatan Thai semakin menjadi-jadi apabila sembilan orang lagi termasuk dua pegawai polis terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu.
Dalam kejadian terbaru itu, seorang pegawai polis, seorang bekas pegawai daerah dan dua pekerja perkhidmatan kereta api ditembak mati, pagi ini.
Lima yang lain pula dibunuh semalam.
Seorang sami pula, berada dalam keadaan kritikal selepas cedera ditembak oleh seorang lelaki bersenjata yang menunggang motosikal di Songkhla dalam kejadian itu.
Pembunuhan itu dipercayai akibat kemarahan pihak-pihak tertentu berhubung insiden berdarah yang mengakibatkan 87 kematian di Tak Bai, minggu lalu.
Kelmarin, seorang penolong ketua kampung disembelih dan kepalanya ditemui dalam karung baja di wilayah Narathiwat, selepas mangsa dilaporkan hilang minggu lalu.
Polis memberitahu, dalam kejadian pagi ini, Mejar Kraq Kosaikanon, 55, ditembak mati di kepalanya di hadapan kedai runcit milik mangsa di daerah Maung di Yala oleh seorang anggota militan yang menyamar sebagai seorang pelanggan.
Pembunuhan itu berlaku pada pukul 7.40 pagi ini (8.40 pagi waktu Malaysia).
Dalam pada itu, kedua-dua pekerja kereta api pula ditembak mati di wilayah Narathiwat kira-kira pukul 9 pagi (10 pagi waktu Malaysia). Bekas pegawai daerah berumur 61 tahun itu pula dibunuh di ladangnya di Pattani, kata polis.
Dalam kejadian semalam, kata polis, seorang ibu dan anak lelakinya ditembak mati di kedai runcit mereka di Narathiwat, manakala seorang lelaki mati disembelih oleh para penyerang di Yala.
Kumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk sebuah rumah milik seorang anggota polis berpangkat sarjan dan menembak matinya di Songkhla, manakala seorang lelaki lain dan anaknya diserang hendap di jalan raya berdekatan rumah mereka di Narathiwat malam tadi.
Lelaki berkenaan terbunuh di tempat kejadian manakala anaknya cedera ditembak di tangan, kata polis.
Kira-kira 450 orang terbunuh sejak kejadian keganasan bermula 10 bulan lalu apabila kumpulan pemisah itu menyerang depot simpanan senjata di selatan Thailand pada Januari lepas.
Dalam insiden berdarah minggu lalu yang dilabelkan oleh penduduk Islam sebagai pembunuhan beramai-ramai, telah menimbulkan kemarahan dan bertindak melakukan serangan balas termasuk penyembelihan seorang pemimpin kampung baru-baru ini.
Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra kelihatan gagal untuk mengawal pemberontakan yang berlaku di selatan negeri itu. - Reuters