Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kenapa Bush menang

Written By JOM JALAN on 6/11/04 | Sabtu, November 06, 2004

SAN FRANCISCO 4 Nov. - Kebimbangan berhubung serangan 11 September
2001 menjadi isu utama yang mendorong ramai pengundi Amerika Syarikat
(AS) menyokong pemilihan semula Presiden George W. Bush, menurut
tinjauan pendapat Republikan, semalam.

Selepas mendengar amaran White House yang dibuat berulang-kali tentang
bahaya yang dihadapi oleh rakyat AS, para pengundi mengubah fikiran
dan mengundi untuk mengekalkan ``presiden zaman perang mereka.''

Analisis-analisis lain tentang pengundian itu menunjukkan bahawa
``nilai-nilai moral'' turut menjadi isu utama yang diambil kira oleh
para pengundi, selain daripada isu-isu sosial seperti perkahwinan
sesama kaum sejenis, hak milik senjata dan pengguguran.

Menurut tinjauan pendapat itu, para pengundi yang mengutamakan
nilai-nilai moral juga menyanjungi pendirian jelas Bush terhadap apa
yang mereka lihat sebagai kecelakaan tentang keganasan dan pucuk
pimpinan diktator.

Tinjauan yang dijalankan di kalangan 800 pengundi melalui telefon di
seluruh negara selepas pengundian itu mendapati keganasan membayangi
isu-isu lain, dengan 23 peratus daripada mereka menganggapnya sebagai
isu utama.

Sebanyak 78 peratus daripada mereka yang ditemuramah dalam tinjauan
pendapat itu menyokong Bush, kata Kellyanne Conway, Presiden The
Polling Company Inc., yang menjalankan tinjauan pendapat itu.

Conway, yang mengelolakan tinjauan pendapat Republikan dan merupakan
penasihat luar untuk kempen Bush berkata, isu keganasan mempengaruhi
pandangan pengundi yang berusia di antara 35 hingga 44 tahun.

Golongan itu termasuklah ibu bapa yang sering menghadiri majlis-majlis
agama, terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak kecil.

Conway menyifatkan isu tersebut sebagai ``amat penting'' dalam
mempengaruhi pemilihan semula Bush.

``Kami tahu daripada tinjauan pendapat yang dijalankan sejak satu
setengah tahun lalu bahawa presiden memang selalunya menjadi pilihan
berhubung dengan soal calon yang paling dipercayai untuk menangani
usaha-usaha memerangi keganasan,'' katanya. - Reuters