Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ombak Tsunami: 3 ombak maut

Written By JOM JALAN on 27/12/04 | Isnin, Disember 27, 2004

Ombak Tsunami: 3 ombak maut

Oleh Muhamad Safar Ahmad
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Ombak setinggi bumbung rumah datang bergulung-gulung sebanyak tiga kali dan terakhir itu yang paling dahsyat. Saya fikir mungkin ini yang orang panggil ‘ombak tiga beradik’.
“Kami tak akan datang ke tepi laut lagi selepas ini, kejadian ini cukup mengejutkan,” kata Fatimah Ismail, 60, yang kehilangan cucunya, Nazirah Mohd Jamil, 9, yang lemas dalam kejadian ombak besar, di sini, semalam.

Fatimah berkata, kejadian itu tidak diduga dan tidak akan dilupakan.

Sebelum kejadian itu, Nazirah kebelakangan ini didakwa berkelakuan ganjil apabila sering menyebut mengenai mati.

“Mak! Kakak dah tak larat, kakak nak mati,” itulah antara kata-kata yang sering diluahkan Nazirah kepada ibunya, Rohani Harun, sejak kebelakangan ini.

Rohani, 39, mendakwa dia menyedari anak ketiganya itu mula mengeluarkan kata-kata itu sejak Ramadan lalu, bagaimanapun menyifatkannya sebagai keluhan seorang kanak-kanak kerana letih berpuasa.

“Saya tidak sangka, kata-kata itu yang terus diperkatakannya sejak kebekalangan ini, menjadi kenyataan.

“Saya terkilan kerana semua kelengkapan dan pakaian sekolah sudah dibeli dan Nazirah tidak sabar-sabar untuk ke sekolah,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pulau Pinang, malam tadi.

Nazirah terbunuh dalam kejadian ombak besar (tsunami) yang melanda negeri Utara Semenanjung, semalam.

Rohani yang tinggal di Kampung Masjid, Kubang Rotan dekat Alor Star, berkata dia bersama ibunya, Fatimah dan dua lagi anaknya, Mohd Adha, 11, dan Azrul, 3, pergi berkelah di Pantai Boon Siew, dekat Batu Feringhi, tengah hari semalam.

Turut serta adik Rohani, Khairul Anuar, 30, dan isterinya, Mazliffa Abdul Rashid, 32.

Menurut Rohani, pada pagi sebelum kejadian, Nazirah juga makan agak banyak berbanding lazimnya, bagaimanapun dia tidak berasa sesuatu yang aneh mengenainya.

Katanya, dia membawa anak-anaknya untuk berkelah di pantai di situ kerana kasihankan mereka terutama Nazirah kerana tidak berpeluang pergi melancong atau berjalan-jalan sepanjang cuti sekolah.

“Jadi saya ingat kerana sekolah akan dibuka tidak berapa lama lagi, saya membawa anak-anak ke sini, tetapi tak sangka pula begini jadinya,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, Rohani berkata, kira-kira jam 1 petang, mereka baru selesai makan dan hanya duduk di tepi pantai.

“Pada mulanya kami hampak ombak agak besar datang, tetapi menganggap ia perkara biasa sebelum ombak kedua datang. Pada masa sama kami melihat beberapa nelayan menggunakan isyarat tangan seperti mengarahkan kami ke atas.

“Bagaimanapun, ombak kali ketiga sangat kuat dan terus memukul ke arah pantai sehingga terkena orang ramai yang berada di situ.

“Saya cuba memegang anak saya, Azrul dan tidak tahu apa yang berlaku kepada Mohd Adha dan Nazirah. Saya sedar ada seseorang menarik tangan saya dan selepas ombak reda, saya lihat semua sudah tiada,” katanya yang cedera di kaki kanan akibat terkena batu.