Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ombak Tsunami: Hanya sempat jerit

Written By JOM JALAN on 27/12/04 | Isnin, Disember 27, 2004

Ombak Tsunami: Hanya sempat jerit


SUNGAI PETANI: “Saya rasa macam dah kiamat. Ombak yang datang cukup menggerunkan. Seumur hidup sebagai nelayan sejak 20 tahun lalu, belum pernah saya melihat ombak sebegitu besar.
“Ketika itu saya hanya fikirkan keselamatan kami sekeluarga. Saya sempat menjerit kepada isteri dan empat anak supaya segera menyelamatkan diri.

“Namun, baru berlari beberapa langkah, ombak deras itu sudah memasuki rumah. Alhamdulilah, saya sekeluarga terselamat dalam kejadian sekelip mata itu,” kata Azman Azizan, 36, mangsa ombak di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda, di Tikam Batu, dekat sini, semalam.

Menceritakan saat cemas itu, Azman berkata, dia sedang bersiap untuk mengambil wuduk Zuhur selepas mandi apabila secara tiba-tiba melihat satu gumpalan putih berjarak kira-kira tiga kilometer, sedang menuju ke arah rumahnya di kampung itu.

“Saya sangkakan hanya ombak biasa yang dilihat setiap hari. Namun apabila semakin menghampiri perkampungan kami, saya berasa pelik kerana ombak itu cukup dahsyat keadaannya.

“Berasakan sesuatu akan berlaku, saya segera menjerit kepada ahli keluarga lain yang ketika itu berada di dalam rumah. Syukur kerana tindakan pantas kami sekeluarga mengelak dihanyutkan arus ombak itu,” katanya.

Azman berkata, ketika ombak besar yang dianggarkan lebih lima meter melanda, dia terlihat sebuah perahu dinaiki dua nelayan sedang menarik jaring mereka dan kesal kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu.

“Saya tidak tahu apa nasib mereka dan saya amat bersimpati. Akibat kejadian itu, sebahagian rumah saya runtuh dihempas ombak dan barangan dihanyutkan arus,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana harta benda lain turut hilang iaitu dua motosikal dan basikal, surat beranak dan kad pengenalan isteri serta anak-anak termasuk peralatan sekolah mereka.

“Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen diri dan sedikit wang tunai,” katanya.

Rakannya, pengawal keselamatan kolam udang Pantai Merdeka Fasa 2, Daud Ariffin, 50, mendakwa ketika itu dia baru pulang bekerja dan mahu mandi apabila ombak melanda.

“Saya panik ketika itu kerana ombak melanda dalam masa singkat. Saya cuba melaungkan azan namun tidak sempat dan terfikir ajal saya sudah tiba.

“Ombak yang memasuki rumah saya cukup menggerunkan. Saya dan keluarga berpaut kukuh pada konkrit supaya tidak dihanyutnya. Syukur, saya bersama isteri serta tujuh anak terselamat, rasa macam mati hidup semula,” katanya.

Menurutnya, dia kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah sama sekali termasuk kehilangan sebuah motosikal, tiga basikal dan dokumen pengenalan isteri dan anaknya.

Semua mangsa ombak besar kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda dan pelbagai pihak memberi bantuan dengan menyediakan kenderaan persendirian, lori dan motosikal untuk membawa mangsa ke pusat penempatan itu.