Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ombak Tsunami: Lihat isteri dibawa ombak

Written By JOM JALAN on 27/12/04 | Isnin, Disember 27, 2004

Ombak Tsunami: Lihat isteri dibawa ombak

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Saya hanya mampu menjerit ‘Allahhuakhbar’ dan berpaut di atas dahan pokok setinggi bumbung rumah. Apabila saya menoleh ke belakang saya hanya mampu melihat isteri saya dibawa ombak,” kata Mohd Saad Aziz, mangsa yang terselamat dalam kejadian ombak besar di Pantai Miami, Batu Feringghi di sini, semalam.
Mohd Saad, 40, seorang peniaga dari Utan Aji, dekat Kangar, Perlis menceritakan detik-detik cemas itu ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.

Dia kehilangan isterinya, Jamaliah Isa, 25, dan anak saudaranya, Zawani Rosli, 10, manakala dua anak perempuannya berusia sembilan dan 12 tahun terselamat selepas berpaut di pagar di tepi pantai.

Menurut Mohd Saad, sebelum kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, dia bersama keluarga dan anak saudaranya tiba di pantai berkenaan selepas menikmati nasi kandar di sebuah restoran dekat sini.

Katanya, selepas tiba di situ, dia dan anaknya turun dari kereta untuk pergi ke tepi pantai dan ketika itu dia hanya nampak ombak kecil.

“Kedua-dua anak saya dan anak saudara saya yang siap berbaju mandi turun ke pantai untuk ke laut.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba, datang ombak besar setinggi bangunan satu tingkat memukul pantai dan menghanyutkan saya dan isteri termasuk dua anak hinggakan saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

“Ketika itu saya hanya mampu berserah kepada tuhan untuk menyelamatkan keluarga saya dan berdoa tetapi selepas kejadian itu, tiada langsung khabar mengenai mereka,” katanya.

Mohd Saad berkata, selepas kejadian kira-kira setengah jam kemudian, barulah dia mengetahui isterinya hilang dalam kejadian ombak besar itu.

“Mujurlah dua anak saya selamat dari bencana yang paling teruk ini. Saya pasrah dengan kejadian ini kerana ia adalah ketentuan Allah,” katanya.

Mohd Saad berkata, jenazah isterinya dan anak saudaranya sudah dituntut dan akan dibawa ke Utan Aji, untuk pengebumian.