Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 27/12/04 | Isnin, Disember 27, 2004


Gempa -- SEORANG kakitangan Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia menunjukkan
bacaan seismograf pada terminal komputer mengenai kekuatan gempa bumi
yang melanda utara Sumatera mengakibatkan tsunami melanda
perairan beberapa negara Asia. – Gambar AFP
COLOMBO: Sekurang-kurangnya 8,700 orang terbunuh di Sri Lanka, Indonesia, Maldives, Myanmar, Bangladesh dan Thailand setakat ini selepas gempa bumi terkuat sejak 40 tahun lalu menyebabkan ombak besar atau tsunami melanda pesisiran pantai Asia, menggemparkan penduduk rantau itu, semalam.


Beribu-ribu orang hilang, kebanyakannya nelayan ketika anggota penyelamat meredah banjir bagi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Pelancong, nelayan, hotel, kediaman dan kereta dibawa air berikutan tsunami kerana gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter, dengan pusat gempa di pantai barat Pulau Sumatera, Indonesia, menyebabkan banjir dan meruntuhkan bangunan.

Kesan sebenar bencana itu hanya ketara selepas beberapa ombak besar setinggi enam meter melanda kawasan pesisiran pantai Lautan Hindi dan Laut Andaman.

Di Sri Lanka, kira-kira 1,600 kilometer dari pusat gempa, menyaksikan sekurang-kurangnya 4,500 orang maut.

Pihak berkuasa berkata, sejuta penduduk turut terjejas berikutan banjir susulan daripada tsunami itu.

Di India, pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 2,000 lagi maut di sepanjang pesisiran pantai di selatan negara itu manakala 289 disahkan mati di Thailand.

Angka korban meningkat sepanjang hari semalam dan dijangka terus bertambah.

Beratus-ratus mayat ditemui di beberapa pantai sepanjang Tamil Nadu, di selatan India.

Pusat gempa adalah kira-kira 40 kilometer di dasar laut. Gerak gempa lazimnya berlaku bagi kejadian gempa berukuran lebih 7.0 pada skala Richter.

Dalam kejadian semalam, kesan gempa bumi itu dirasai di kawasan lebih jauh, menyebabkan bangunan bergegar dari Singapura sehingga ke bandar Chiang Mai di utara Thailand dan di Bangladesh, beberapa jam selepas penganut Kristian meraikan Krismas.

Kemusnahan awalnya berpusat di wilayah Aceh, utara Sumatera dengan berpuluh-puluh bangunan dilaporkan roboh biarpun di kebanyakan tempat lain, kematian berpunca daripada banjir.

Beberapa bandar berhampiran pusat gempa itu turut ranap diratakan ombak besar yang menyebabkan sekurang-kurangnya 1,902 mati.

Di selatan Thailand, suasana percutian bertukar duka di kawasan percutian utamanya yang lazimnya dikunjungi beratus-ratus ribu pelancong asing sempena cuti Hari Krismas.

Sekurang-kurangnya 289 mati manakala 5,000 lain cedera dan ramai lagi, termasuk pelancong asing hilang.

“Tiba-tiba, jalan raya ditenggelami air dan orang ramai bertempiaran lari dari pantai,” kata John Hyde, ahli Parlimen Australia yang bercuti Thailand.

Di Myanmar, 10 penduduknya dilaporkan terbunuh dan dua di Bangladesh kerana tsunami. – AP/AFP