Written By JOM JALAN on 27/12/04 | Isnin, Disember 27, 2004
Gempa -- SEBUAH kereta ditolak ombak besar dan tersadai bersama
bot nelayan di pangkalan nelayan Kuala Chenang, Langkawi,
semalam. - Gambar oleh Hamzah Osman
PULAU PINANG: Sekurang-kurangnya 45 orang terkorban setakat ini, manakala beratus-ratus rumah dan kenderaan musnah apabila ombak besar atau tsunami akibat gempa bumi kuat di perairan Sumatera, melanda pantai Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak dan Selangor semalam.
Ombak besar turut melanda Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Maldives, Myanmar dan Bangladesh meragut kira-kira 8,700 nyawa, dengan Sri Lanka mencatat kematian tertinggi.
Tsunami mencapai ketinggian enam meter itu menyusuli gempa bumi 8.9 skala Richter itu, paling kuat dalam tempoh 40 tahun. Ia berpusat di Latitud 3.1 Utara dan Longitud 95.5 Timur, 590 kilometer dari sini dan 680 kilometer dari Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang berada di luar negara, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan bantuan segera diberikan.
Kebanyakan mangsa di Malaysia ialah mereka yang sedang berkelah dan memancing di tepi pantai Batu Ferringhi dan Balik Pulau di sini, ketika ombak melanda secara mengejut dalam keadaan cuaca baik kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Seramai 32 orang mati di negeri ini, kebanyakannya lemas akibat ombak besar yang melanda beberapa kawasan tepi pantai.
Paling trajis ialah kejadian di Batu Ferringhi di mana lima sekeluarga yang sedang berkelah - Nizari Mahmud (ibu), 39; dan empat anaknya Nurul Hasimah Md Hassan, 18; Nurul Naimah Md Hassan, 14; Nurul Nazirah, 13; dan Mohd Firdaus, 4, lemas dibawa ombak.
Ombak kuat dikatakan menarik mangsa ke laut menyebabkan ramai, ketika beratus-ratus penduduk tempatan dan pelancong, sama ada berkelah, bersiar-siar atau mandi manda pada cuti hujung minggu sehari selepas perayaan Hari Natal.
Bilik gerakan sementara turut dibuka di pantai Miami, Batu Ferringhi ketika gerakan mencari dilakukan. Berpuluh-puluh orang dikhuatiri masih hilang sewaktu ombak besar setinggi lebih enam meter merempuh semua kawasan tepi pantai berkenaan pada kira-kira jam 1 hingga 2 petang.
Di KEDAH, sepuluh orang termasuk kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan, mati manakala ramai lagi dikhuatiri lemas atau hilang apabila ombak besar melanda perkampungan di pesisir pantai Kedah, termasuk pulau peranginan Langkawi.
Sembilan daripada mangsa itu, iaitu lapan wanita dan seorang lelaki, ditemui di Kota Kuala Muda manakala seorang lagi wanita di Langkawi. Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerak Am (PGA), polis termasuk Unit Anjing Pengesan serta pasukan Rela masih mencari kemungkinan ada lagi mangsa yang belum ditemui.
Siri ombak besar itu yang dipercayai mencapai setinggi enam meter atau bangunan tiga tingkat, dilaporkan melanda Langkawi kira-kira jam 11 pagi sebelum melanda perkampungan nelayan di Kota Kuala Muda kira-kira jam 1 tengah hari.
Di Kota Kuala Muda, kira-kira 1,000 rumah membabitkan 5,000 penduduk di 10 kampung nelayan di pesisir pantai musnah akibat dipukul ombak besar.
Tinjauan mendapati sebahagian besar kampung itu menjadi padang jarak padang terkukur serta dipenuhi lumpur apabila kira-kira 500 daripada 1,000 rumah di kampung terbabit ranap manakala sebahagian lagi rosak termasuk hilang dinding dan tercabut bumbung.
Ombak besar dikatakan melanda kampung berkenaan tiga kali dalam tempoh setengah jam antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari menyebabkan kebanyakan mangsa terperangkap dalam rumah yang ranap.
Di PERAK, dua terbunuh manakala seorang lagi masih hilang apabila sampan yang mereka naiki dihempas ombak besar di Parit Buntar dan Bagan Datoh.
Di SELANGOR, seorang lelaki yang memancing bersama tiga rakannya di tepi Pantai Sungai Burung dekat Sabak Bernam dikhuatiri menjadi mangsa pukulan ombak tsunami di pantai itu semalam.
Arbain Mat Piah, 40, tercampak ke dalam laut bersama rakan-rakannya. Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Zainal Abidin Kassim, mangsa hilang di dalam air sementara tiga rakannya sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, kira-kira 3 petang semalam.
Di PERLIS, berpuluh-puluh bot dan sampan nelayan di Kuala Sungai Baru tenggelam dan rosak teruk, kebanyakannya pecah berlanggar sesama sendiri akibat dilanda dua kali ombak besar tengah hari dan petang semalam.
Ombak besar turut meranapkan beberapa jeti pendaratan ikan dan gerai menjual hasil laut di tepi kuala sungai itu. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana nelayan atas bot ketika kejadian sempat menyelamatkan diri ke daratan.