Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 27/12/04 | Isnin, Disember 27, 2004


GAMBARAN di pantai Marina di Madras sewaktu dilanda ombak besar tsunami semalam. - Gambar AFP.
Gempa bumi terkuat sejak 1964
WASHINGTON 26 Dis. - Gempa bumi yang melanda kawasan utara Indonesia hari ini merupakan antara gempa yang paling kuat yang pernah berlaku di dunia sejak awal kurun ke-20.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu merupakan gempa yang kelima terbesar sejak tahun 1900.
Ahli geofizik bagi Program Bencana Gempa Bumi USGS di Golden, Colorado, Julie Martinez berkata, gempa hari ini merupakan yang paling kuat sejak tahun 1964 iaitu selepas gempa bumi yang melanda Prince William Sound di Alaska.
Gempa bumi yang berlaku pada pukul 7.59 pagi (8.59 pagi waktu Malaysia) di luar pantai wilayah Acheh di utara pulau Sumatera sehingga ke utara Pulau Andaman di Lautan Hindi.
Gegaran kuat itu menyebabkan ombak besar tsunami yang melanda beberapa negara lain seperti Sri Lanka, India, Thailand dan Malaysia serta menyebabkan lebih 8,700 mangsa terkorban.
Menurut Martinez, gempa bumi berlaku apabila lapisan bumi bergerak dan menghentam satu sama lain sebelum terpisah dan membentuk tekanan ke kawasan lain.
``Apabila tekanan berlaku, satu lagi gempa bumi terjadi dan gegaran susulan selepas itu merupakan pelarasan semula bumi selepas gegaran utama.
``Biasanya gegaran susulan berlaku lebih banyak atau kurang di kawasan yang sama di mana berlaku gempa bumi utama sebelum itu.
``Dalam keadaan gempa yang berlaku hari ini, kita akan lihat lebih banyak gegaran susulan terjadi kerana ia melibatkan satu kawasan yang begitu luas iaitu dalam lingkungan 1,000 kilometer,'' jelas beliau. - Agensi