Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By Syafrein Effendiuz on 4/01/05 | Selasa, Januari 04, 2005


6 hari terapung di laut
Wanita Aceh berpaut pada pokok kelapa hanyut
Oleh Baharin Ramly
GEORGETOWN: Berpantang maut sebelum ajal, demikianlah nasib seorang wanita Aceh yang diselamatkan sebuah bot nelayan Malaysia ketika berpaut pada sebatang pokok kelapa hanyut di tengah Lautan Hindi pada Jumaat lalu, enam hari selepas bencana tsunami melanda rantau ini.
Ketika ditemui, Malawati dikatakan hanya berseluar dalam dan bercoli dengan kedua-dua kakinya luka, dipercayai dipatuk ikan ketika berpaut pada batang kelapa itu dengan kakinya terjuntai ke dalam laut.

Beliau yang dihanyutkan ombak besar selepas gempa bumi di perairan Aceh pada 26 Disember lalu, dipercayai hanya memakan beberapa bungkus mi segera yang ditemuinya terapung serta memamah isi kelapa muda, ketika bertarung dengan maut selama enam hari di lautan.

Malawati, dari Nunggayo Tenaom, Aceh Jaya, yang kelihatan lemah ketika tiba dengan bot itu di Pelabuhan Tuna Antarabangsa Malaysia di Batu Maung, dekat sini kira-kira jam 2 petang semalam, terus dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP). Sehingga malam tadi, media belum dibenar menemuinya.

Pegawai dari pejabat Konsul Jeneral Indonesia, Helena Ferat, yang menemui Malawati di HPP, berkata wanita itu bersama suaminya berada di rumah mereka, kira-kira dua kilometer dari pantai, ketika gempa bumi melanda Aceh.

Mereka lari dari rumah untuk mencari tempat berlindung di sebuah masjid berdekatan tetapi belum sempat tiba ke masjid itu, ombak besar berada di belakang lalu menghanyutkan mereka.

Selepas itu, Malawati mendapati dirinya terapung di permukaan air dan suaminya entah ke mana. Mulanya ada beberapa orang lain di sekitarnya, tetapi dia hanya tinggal seorang diri sehari selepas itu.

Menurut Helena, Malawati memberitahu dia terserempak dengan beberapa ikan besar, tetapi bernasib baik kerana tidak dibaham oleh ikan itu.

“Ketika ditemu bual, dia menyatakan keinginan pulang ke Aceh Jaya untuk mencari suaminya, seorang nelayan,” kata Helena.

Ketibaan Malawati bersama tekong dan awak-awak bot itu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Azhar Ibrahim, yang mewakili kerajaan negeri; Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Erick Hikmat Setiawan; Penasihat Konsul, Noro Mudiyanto Adisasmito; Pengerusi Eksekutif Hong Xiang, Datuk Mohamad Waj-di Ishak dan Pengurus Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Goi Kim Par.

Sementara itu, awak-awak bot berkenaan, Rizal Sarno Santoso, berkata dalam perjalanan pulang daripada menahan pukat tuna di Lautan Hindi, dia melihat mangsa duduk di atas batang kelapa yang hanyut sambil melambai tangan.

“Saya memberitahu tekong dan kami segera menyelamatkan mangsa. Kami memberikannya pakaian awak-awak bot untuk menutup tubuhnya sebelum diberi minum dan makanan,” katanya.

Tekong bot, Chern Dah Rong, berkata mangsa kelihatan seperti seekor burung di atas batang pokok kelapa yang hanyut.

“Selepas mangsa diselamatkan, saya segera menghubungi majikan di Pulau Pinang melalui radio,” katanya.

Bot pukat tuna milik Hong Xiang Industries Sdn Bhd yang mempunyai lapan awak-awak termasuk empat dari Indonesia itu, keluar ke Lautan Hindi sebelum 26 Disember lalu.

“Ketika dalam perjalanan pulang saya diberitahu awak-awak dari Indonesia ada orang hanyut di atas batang kelapa dan saya segera memperlahankan bot untuk mengambil mangsa,” katanya.

Azhar pula berkata, kerajaan negeri akan memberi layanan sewajarnya kepada mangsa termasuk rawatan perubatan di HPP sebelum diserahkan kepada polis dan Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.