Sukar mempercayai apa yang berlaku
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Walaupun sudah beberapa jam tiba di sini selepas melakukan lawatan ke Aceh semalam, Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, `hatinya' tetap terlekat di wilayah itu.
Menurutnya, pengalaman menyaksikan sendiri kesan bencana tsunami di wilayah itu membuatkan beliau masih berfikir bagaimana warga malang di wilayah itu melalui pengalaman amat perit dan menakutkan yang mungkin tidak terjangkau oleh fikiran manusia.
``Saya masih tertanya-tanya dan berfikir bagaimana mereka melalui pengalaman dahsyat itu. Ia akan memilukan hati sesiapa sahaja.
``Ia membuat kita berfikir pasal kehidupan, saya menyaksikan kemusnahan kepada suatu kehidupan, lenyap...pergi begitu saja,'' katanya ketika berucap merasmikan pejabat agensi pelancongan Pro Highway Travel di sini hari ini.
Sharizat berkata, semasa dibawa melawat kawasan bencana di Banda Aceh bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau sama sekali tidak menyangka kawasan yang pernah didiami manusia lenyap dengan sekelip mata.
``Saya asyik bertanya kepada lelaki di situ, betulkan di situ ada penempatan di situ sebelum ini? saya tanya soalan sama berulang kali.
``Sukar untuk mempercayai kawasan yang terbentang luas itu pernah diduduki ratusan ribu orang, yang tinggal jasad manusia yang sudah kaku dan bergelimpangan, ia benar-benar menyedihkan.
``Dan saya cakap pada diri saya, betapa kita sebagai manusia perlu menghargai hidup,'' katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sejurus turun dari helikopter selepas membuat lawatan itu, beliau berkesempatan bertemu dengan beberapa ahli pasukan misi kemanusiaan Malaysia yang ditugaskan ke Aceh.
``Saya tengok tidak kira perempuan atau lelaki, dengan keadaan yang tidak teratur, mereka bertungkus lumus memberi bantuan. Mereka benar-benar membuatkan saya bangga.
``Kepada mereka, syabas saya ucapkan, kecekalan dan ketabahan mereka pasti menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,'' ujarnya lagi.