Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bantu bangun semula Aceh

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Bantu bangun semula Aceh
BANDA ACEH 8 Jan. - Pertubuhan dan masyarakat Islam di Malaysia digesa mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu membangunkan semula wilayah Aceh yang mengalami kemusnahan teruk akibat dilanda bencana tsunami.

Konsul Jeneral Malaysia ke Medan, Mohd. Yusoff A.Bakar berkata, rakyat Aceh amat memerlukan sumbangan daripada masyarakat Islam Malaysia bagi mewujudkan sekolah-sekolah yang rosak atau musnah akibat bencana tersebut.

``Mereka juga amat memerlukan sokongan dan bantuan kita bagi membaik pulih masjid-masjid yang rosak akibat gempa bumi dan dilanda tsunami,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 26 Disember lalu, lebih 100,000 penduduk Aceh terbunuh dan beribu-ribu bangunan termasuk sekolah serta kediaman musnah akibat bencana berkenaan yang dianggap paling buruk dalam sejarah Republik Indonesia.

Mohd. Yusoff berkata, masyarakat Islam Malaysia juga perlu menghulurkan bantuan bagi mewujudkan rumah-rumah anak-anak yatim kepada lebih 38,000 kanak-kanak Aceh yang kini hidup sebatang kara.

Program

``Mereka itu kini ditempatkan di pusat-pusat penempatan sementara dan adalah lebih baik jika ada masyarakat Islam Malaysia membantu membina rumah dan membiayai pengurusan untuk anak-anak yatim ini demi masa depan mereka, katanya.

Beliau berkata, bantuan kepada kanak-kanak berkenaan boleh juga dilakukan melalui program anak angkat .

``Tetapi ia hanya dari segi pembiayaan dari jauh sahaja kerana pemerintah Indonesia tidak akan membenarkan kanak-kanak berkenaan dibawa keluar dari negara itu, katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Yusoff berkata, bagi memastikan bantuan yang hendak diberikan itu berkesan yayasan dan masyarakat Malaysia perlu melakukannya secara bersama-sama.

``Maknanya, yayasan atau pertubuhan Islam yang berminat perlu bergabung dan bukannya bertindak secara bersendirian kerana kita bimbang langkah itu hanya akan menyebabkan bantuan yang hendak disalurkan menjadi sia-sia,'' katanya.