Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Simpati untuk rakyat Aceh

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Simpati untuk rakyat Aceh
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Tabung Kemanusiaan Aceh dan Tabung Bencana Tsunami Utusan anjuran Utusan Malaysia bagi membantu mangsa bencana tsunami baru-baru ini terus mendapat simpati dan perhatian rakyat Malaysia.

Sambutan menggalakkan turut diterima oleh Tabung Kemanusiaan Aceh Utusan-Maybank yang ditubuhkan bagi menambah kemudahan orang ramai untuk menderma dan memulihkan keadaan di Aceh walaupun baru dilancarkan kelmarin.

Jumlah keseluruhan sumbangan yang berjaya dikutip bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Aceh melalui cawangan pejabat Utusan Malaysia di seluruh negara ialah RM469,475.60 manakala Tabung Bencana Tsunami Utusan setakat ini berjumlah RM3,130,099.56.

Manakala Tabung Kemanusiaan Aceh Utusan-Maybank berjaya mengumpul sebanyak RM27,632.93 pada hari kedua kutipan sekali gus menyaksikan jumlah terkumpul tabung tersebut meningkat kepada RM49,106.93.

Sumbangan terbesar yang diterima bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Aceh ialah dari syarikat pengeluar produk berasaskan getah, MARDEC Berhad berjumlah RM25,000.

Penyumbang lain termasuk Masjid Jamek Alam Shah, Jalan Tun Razak, di sini yang menghulurkan sumbangan berj umlah RM6,723 hasil kutipan derma masjid tersebut selama seminggu bermula 31 Disember lepas.

Selain itu, Masjid Universiti Putra Malaysia turut menyumbangkan kutipan derma berjumlah RM6,000 serta 26 kotak berisi baju untuk disalurkan kepada tabung kemanusiaan Aceh.

Persatuan Kebajikan dan Sukan Perkeso (Kespo) pula menyumbang sebanyak RM5,050. Sumbangan disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn.

Turut menghulurkan sumbangan hari ini ialah Datin Normila Sulaiman sekeluarga (RM10,000), Suraizah Ahmad (RM2,200), Persatuan Kemajuan Masyarakat dan Penduduk Taman Datuk Senu, Sentul (RM1,265).

Selain itu Ahli Jawatankuasa Surau Rahmahniah, Jalan F, Kampung Pandan (RM600) turut menderma kepada tabung berkenaan.

Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Lembah Pantai melalui ketua cawangannya, Mejar (B) Mohd. Ismail Salleh juga turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM2,000 bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Aceh.

Turut menyampaikan sumbangan ialah pelajar-pelajar dan guru-guru Sekolah Rendah Kebangsaan Gombak 2 yang diwakili guru penyelaras kutipan, Kharil Aswan yang menyerahkan derma berjumlah RM1,435.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Koperasi Polis Diraja Malaysia (Keskop) juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM760 menerusi Setiausahanya, Siti Nor Zila Mohd. Zain.

Dalam pada itu, seorang warga Myanmar, Amin Bashir, 39, memberi sumbangan peribadinya yang kedua sebanyak RM500 bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Aceh selepas menderma jumlah yang sama kepada Tabung Bencana Tsunami Utusan sebelum ini.

Penyumbang lain termasuk Pengurus Perniagaan Madu Asli, Azman Daud berjumlah RM1,000; sepasang suami isteri daripada Sabah, Soo Shuang Hock dan Lim Yang Lang (RM500), wartawan KOSMO!, Jessabel Soo (RM500), Ismail Abu Samah (RM200) dan orang perseorangan (RM5,000).

Di Kedah, tiga beradik dari lorong pipit, Jalan Sultanah, Alor Star, Sumaiyah Ramli, 13, Mohd. Hafiz, 9, dan Farhan, 8, sanggup memecah tabung simpanan untuk menghulurkan sumbangan berjumlah RM745.80 kepada Tabung Kemanusiaan Aceh.

Pejabat Utusan Melayu Alor Star turut menerima sumbangan orang ramai berjumlah RM10,279.30 dengan penyumbang terbesar diterima daripada Agensi Pekerjaan NBC Evercare Sungai Petani sebanyak RM3,000.

Di Sabah, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azizah Mohd. Dun menyerahkan sumbangan sebanyak RM13,000 dari Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) dan RM500 dari seorang individu kepada Tabung Kemanusiaan Aceh.

Di Melaka, seramai 28 ahli Kelab Pemilik Proton Perdana Melaka (Prime) hari ini berjaya membuat kutipan sebanyak RM1,061.20 untuk Tabung Kemanusiaan Aceh.

Presidennya, Arifin Salleh berkata, inisiatif tersebut diadakan atas kesedaran setiap ahli kelab itu yang sudi membantu bagi meringankan bebanan mangsa-mangsa berkenaan.

Sementara itu, orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Aceh Utusan-Maybank itu dengan menggunakan nombor akaun 5-14011-38916-2.

Sumbangan juga boleh dibuat menerusi mana-mana kaunter cawangan Maybank bagi tunai dan cek, Mesin Deposit Cek Maybank, Pindahan Wang Ketiga melalui Mesin ATM atau melalui Internet di alamat www.maybank2u.com.my