Written By JOM JALAN on 7/01/05 | Jumaat, Januari 07, 2005
Ambil pengajaran hubungan tsunami, masjid
Saudara Pengarang,
MALAWATI seorang muslimah dari Aceh yang berusia 23 tahun terselamat dari bencana tsunami setelah berpaut pada pokok nipah selama enam hari di lautan.
Beliau ketika tsunami menyerang sedang berlari menuju ke masjid.
Rizal Shahputra muslim Aceh yang berusia 20 tahun, terapung selama sembilan hari di tengah lautan berpaut pada pokok kelapa, tidak meninggalkan solat walau satu waktu pun sepanjang tempoh terapung di lautan.
Beliau ketika tsunami menyerang, sedang membina masjid.
Dua orang kanak-kanak di Sri Lanka menjadi yatim piatu apabila ibu bapa menjadi mangsa korban tsunami.
Kedua kanak-kanak ini berada di masjid ketika tsunami menyerang rumah mereka.
Masjid di Kampung Masjid Terapong, Tanjung Bungah, Pulau Pinang tidak mengalami kerosakan bahkan dikatakan lantai dan permaidaninya kering, walhal rumah di sekeliling dilanda ombak besar.
Semua ini ada tanda-tanda peringatan Allah s.w.t. untuk kita ambil sebagai pengajaran.
Adakah benar kita telah merasa insaf?
Adakah jemaah yang hadir solat lima waktu ke masjid atau surau di tempat kediaman kita bilangannya adalah sama, bertambah atau berkurang selepas tsunami?
Adakah derma kita kepada masjid, surau, anak-anak yatim, orang-orang susah di sekeliling kita bertambah selepas tsunami ?
Adakah kita masih mencari kelemahan orang lain, mengumpat orang lain, mempunyai perasaan hasad-dengki terhadap orang lain selepas tsunami ?
Adakah kita sudah mencari kelemahan diri kita, kesilapan diri kita selepas tsunami?
Marilah kita menilai diri kita apakah benar kita telah mengambil pengajaran daripada tanda-tanda yang Allah berikan melalui peristiwa ini? - ROZMAL MALAKAN, Senawang, Negeri Sembilan.