Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 7/01/05 | Jumaat, Januari 07, 2005


Mayat orang Islam mangsa tsunami di Aceh boleh dibakar?
Oleh: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Beberapa tokoh agama berbeza pendapat berhubung sama ada mayat umat Islam mangsa ombak besar tsunami di Aceh yang berjumlah berpuluh-puluh ribu boleh dibakar atau sebaliknya.
Mufti Negeri Perak, Datuk Harussani Zakaria berpendapat, mayat umat Islam boleh dibakar mengikut syarat menjaga yang hidup lebih utama daripada yang telah meninggal dunia.
Katanya, sekiranya pelbagai pihak termasuk pakar perubatan dan ulama telah bersetuju bahawa membakar mayat boleh mengelakkan bencana penyakit yang lebih dahsyat berlaku, maka ia dibenarkan oleh Islam.
``Dalam situasi di Aceh, pakar dan ulama di sana perlu memastikan adakah sekiranya mayat tersebut tidak dibakar, ia akan menyebabkan lebih banyak nyawa terkorban berbanding akibat tragedi tsunami.
``Jika tidak, usaha menanam mayat mesti diutamakan dan jika sebaliknya, membakar mayat dibolehkan di bawah maksud darurat iaitu mengharuskan yang terlarang,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Kemudahan asas yang musnah di Aceh menyebabkan jentera-jentera pengorek gagal dibawa masuk ke wilayah itu. Ini menyebabkan banyak mayat terbiar dan tidak boleh diuruskan dengan sempurna.
Laporan Utusan Malaysia di wilayah itu hari ini mendapati masih banyak mayat di tepi jalan, di dalam bangunan dan sungai.
Mufti Negeri Johor, Datuk Noh Gadut pula berpendapat, mayat umat Islam wajar dihormati sebaik mungkin termasuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum ditanam mengikut lunas ajaran Islam sebenarnya.
``Membakar mayat tidak dibenarkan dalam agama Islam kerana selain menyeksa mayat, ia juga meniru sesetengah agama lain yang berbuat demikian,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Menurut Noh, bagi menguruskan mayat dalam situasi darurat seperti di Aceh, ia boleh dilakukan mengikut kemampuan termasuk mengkafankan mayat dengan satu lapisan kain sahaja selain ditanam beramai-ramai dalam satu liang lahad yang besar.
Tambahnya lagi, penyebaran penyakit akibat mayat yang reput juga tidak boleh dijadikan alasan untuk membakar mayat umat Islam kerana ia boleh dicegah melalui penggunaan teknologi dan rawatan perubatan.
``Mayat pengidap HIV pun kita uruskan mengikut lunas Islam walaupun risiko jangkitan penyakit adalah tinggi, apatah lagi mereka yang ditimpa nasib malang seperti tragedi itu,'' jelasnya.
Bagaimana pun, Noh berkata, keputusan tersebut terserah kepada Indonesia melalui majlis fatwa negara berkenaan kerana mereka lebih memahami situasi dan keadaan yang berlaku di negara itu.
Bagi pendakwah bebas, Md. Daud Che' Ngah lain pula pendapatnya, Islam mengharamkan mayat umatnya dibakar kerana menghormati dan memuliakan mayat tersebut.
``Dalam Surah Toha ayat 55 ada mengatakan yang bermaksud: Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu seterusnya daripadanyalah Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.
``Dengan itu, seluruh ulama mengatakan bahawa semua mayat-mayat hendaklah dikebumikan (dikembalikan ke dalam tanah) sebagai mematuhi ayat tersebut,'' katanya.
Tambahnya, bagi menguruskan mayat dalam jumlah yang banyak seperti di Aceh, ia boleh dikebumikan dalam satu liang lahad yang besar dan ditutup dengan kain kapan yang panjang dan dialas dengan papan sebelum ditanam.
Katanya lagi, mayat-mayat tersebut juga walaupun mungkin berlainan agama boleh dimandikan secara direnjis air dan disembahyangkan sebelum ditanam bersama-sama.
``Mayat umat Islam yang meninggal akibat kebakaran pun kita usahakan untuk ditanam walaupun hanya abunya sahaja,'' jelasnya lagi.