Written By JOM JALAN on 7/01/05 | Jumaat, Januari 07, 2005
Susilo minta tentera ditempatkan serta-merta
JAKARTA 6 Jan. - Indonesia hari ini menggesa negara-negara ASEAN supaya mempastikan pasukan tentera mereka boleh ``ditempatkan dengan serta-merta'' untuk menjalankan misi pemulihan sebagai sebahagian daripada pelan tindakan kecemasan serantau.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, negara-negara anggota ASEAN boleh berusaha lebih keras lagi untuk membantu satu sama lain semasa dilanda malapetaka.
``Apabila kita bercakap tentang `komuniti masyarakat prihatin' di rantau ini, kita sedang merujuk kepada kerjasama besar-besaran seumpama ini,'' katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Negara ASEAN Mengenai Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di sini hari ini.
Beliau juga mengumumkan beberapa langkah untuk dilaksanakan bagi membolehkan negara-negara ASEAN membantu satu sama lain secara lebih cepat dan lebih berkesan.
Langkah-langkah itu juga katanya, melibatkan kerjasama lebih erat di antara kerajaan-kerajaan ASEAN dan bantuan ketenteraan yang lebih meluas.
Beliau mengumumkan satu ``pelan tindakan'' yang telah pun dilaksanakan untuk membentuk Komuniti Keselamatan ASEAN yang membolehkan pasukan tentera dan logistik dari negara-negara anggota ditempatkan segera untuk operasi pemulihan dan menyelamat.
``Marilah kita bertindak bersama-sama bagi memperkukuhkan pelan tindakan ini dengan mewujudkan satu mekanisme bagi membolehkan sumber-sumber pertahanan awam dan tentera digunakan dengan serta-merta bagi menyelamatkan nyawa semasa berlakunya sesuatu bencana,'' kata Yudhoyono.
Beberapa negara ASEAN, terutamanya Singapura dan Malaysia, telah pun memainkan peranan dalam membantu Indonesia yang kini berhempas pulas untuk menangani malapetaka gempa bumi dan ombak besar yang telah meragut sekurang-kurangnya 94,200 nyawa di wilayah Aceh setakat ini.
Singapura dan Malaysia membenarkan lapangan terbang tentera di negara masing-masing digunakan sebagai transit untuk beratus-ratus pesawat antarabangsa yang menghantar bantuan ke Indonesia.
Kedua-dua negara itu juga menyediakan pesawat pengangkutan dan helikopter.
Susilo turut menggesa supaya dilaksanakan segera program pengurusan bencana serantau ASEAN, yang membenarkan negara-negara anggota membentuk satu sistem bagi menyelaras dan membantu penyaluran bantuan di seberang sempadan.
``Marilah kita menterjemah komitmen itu menjadi satu realiti yang konkrit,'' katanya. - AFP