Written By JOM JALAN on 7/01/05 | Jumaat, Januari 07, 2005
Saya baca doa tahan lapar
Rizal tak tinggal solat sepanjang 8 hari di Lautan Hindi
Oleh Fazallah Pit dan Norakmah Mat Youb
PELABUHAN KLANG: Rizal Sahputra, mangsa tsunami dari Aceh yang terapung di Lautan Hindi selama lapan hari sebelum diselamatkan sebuah kapal kontena Isnin lalu, sentiasa membaca doa menahan lapar dan tidak meninggalkan solat sepanjang berada di lautan.
Rizal, 20, yang berasal dari Banda Aceh berkata, sebelum diselamatkan anak kapal Durban Bridge Isnin lalu, beliau tidak pernah berhenti membaca doa tahan lapar dan memohon semoga selamat daripada bencana yang dihadapinya.
Menceritakan pengalamannya, Rizal berkata, ketika tsunami melanda Banda Aceh pada tengah hari 26 Disember lalu, dia bersama beberapa rakannya menyertai satu gotong-royong membina sebuah masjid.
Ketika sedang membuat masjid, tiba-tiba datang kanak-kanak yang menjerit lari, ombak besar. Masya-Allah, saya nampak ombak besar datang lalu terus berlari dan memanjat sebuah gedung (kedai) dua tingkat.
Bagaimanapun, ombak yang merempuh itu terlalu besar sehingga menyebabkan semua tenggelam, saya seorang saja tinggal. Kemudian, datang lagi ombak yang lebih besar, setinggi kira-kira 15 meter dan saya terus dihanyutkan ke laut.
Ketika itu saya lihat mayat di sekeliling saya. Kiri, kanan semuanya mayat tetapi saya enggak (tidak) takut, cuma saya terfikir... alah kalau-kalau orang tua saya sudah meninggal, ya udah (andainya orang tua saya sudah meninggal, apa nak buat), katanya.
Lelaki dengan ketinggian 1.67 meter dan berat badan 55 kilogram itu ditemui sejurus selepas kapal Durban Bridge berlabuh di Dermaga 21, Pelabuhan Utara di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam.
Kapal itu tiba lewat daripada jangkaan awalnya jam 2 pagi berikutan masalah tertentu, termasuk cuaca. Rizal kemudiann dihantar dengan ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
Rizal dijumpai anak kapal Durban Bridge, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Aceh dengan hanya memakai kemeja-T jingga dan berseluar pendek hijau tua, sedang berdiri di timbunan pokok yang terapung.
Kelibatnya yang melambai ke arah kapal, dikesan anak kapal itu di Lautan Hindi pada kedudukan longitud 58.4 darjah Utara dan 93.4 darjah Timur kira-kira jam 5.20 petang Isnin lalu, waktu tempatan.
Seorang anak kapal kemudian melemparkan pelampung kepada Rizal yang kemudian terpaksa berenang sejauh kira-kira 100 meter untuk menghampiri kapal berkenaan, sebelum dibawa naik.
Kapten kapal itu, Liu Xiang Ping, kemudian memaklumkan penemuan mereka kepada pihak berkuasa pelabuhan Northport dengan menghantar e-mel dan meminta supaya persiapan dilakukan setibanya di pelabuhan ini.
Jumaat lalu, seorang mangsa tsunami dari Aceh yang dikenali sebagai Malawati, 23, ditemui hidup selepas terapung selama enam hari di Lautan Hindi oleh sebuah bot nelayan yang menangkap ikan tuna.
Malawati yang berasal dari Nunggayo Tenaom, Aceh Jaya selamat tiba dengan kapal berkenaan ke Pelabuhan Tuna Antarabangsa Malaysia Batu Maung, Pulau Pinang kira-kira jam 2 petang, Isnin lalu.
Ditanya mengenai detik paling menyedihkan baginya sepanjang tragedi itu, Rizal yang masih kelihatan lemah berkata, hatinya amat pilu apabila melihat sendiri bagaimana ahli keluarganya ditelan tsunami itu.
Selain itu, saya juga menyaksikan sendiri bagaimana seorang lagi rakan saya yang masih selamat dengan berpaut di timbunan batang hanyut, hilang dan lemas hanya dua hari sebelum saya diselamatkan kapal ini.
Barangkali, kini semua keluarga saya sudah meninggal dunia. Saya tidak tahu, katanya sambil kesedihan terbayang di wajahnya tetapi segera ditahannya dengan mengucapkan syukur kepada Tuhan.
Rizal yang mengalami banyak luka di kedua-dua belah kaki berkata, sepanjang tempoh di laut, dia terpaksa berpaut pada pokok yang menjadi pelampungnya serta minum air hujan dan air kelapa serta makan makanan yang terapung berdekatannya.
Ketika hanyut katanya, dia juga nampak beberapa kapal dan cuba memberikan isyarat tertentu bagi meminta bantuan tetapi kedudukannya agak jauh manakala seorang anak kapal lain sekadar membalas lambaiannya.
Rizal berkata, dia juga pernah jatuh ke laut beberapa kali berikutan ombak kuat pada 26 hingga 29 Disember lalu kerana gagal berpaut pada batang pokok yang menjadi pelampungnya, tetapi berjaya naik semula.
Ditanya bagaimana dia boleh terselamat sedangkan hanyut lama di laut, Rizal berkata: Segalanya berkat izin dan kebesaran Allah. Allah mengizinkan saya panjang umur... maka ya, saya panjang umur, katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Keselamatan Northport, Inspektor Polis Bantuan Abdul Rashid Harun, berkata Rizal memberitahunya yang dia mengamalkan bacaan doa menahan lapar dan tidak meninggalkan solat sepanjang terapung di laut.
Beliau yang berkesempatan berbual dengan mangsa sebaik saja kapal itu berlabuh di Pelabuhan Utara berkata, mungkin berkat doa dan solat, menyebabkan Rizal mampu menahan kelaparan selama lapan hari.
Cuma, banyak kesan luka di kedua-dua kakinya dan Rizal nampak lemah serta keletihan tetapi dia boleh berjalan dan bercakap, katanya.
Pegawai Northport yang pertama menerima maklumat mengenai penemuan Rizal berkata, e-mel Durban Bridge disedari kira-kira jam 9 pagi semalam dan beliau terus memaklumkannya kepada ejen kapal, pegawai kanan serta Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC