Askar Britain dera tahanan Iraq
Written By JOM JALAN on 20/01/05 | Khamis, Januari 20, 2005
LONDON: Akhbar Britain semalam menyiarkan gambar penderaan dan serangan seksual banduan Iraq yang didakwa dilakukan oleh tentera negara itu serta menyifatkannya sebagai mengejut dan memualkan dalam skandal Abu Ghraib Britain.
Gambar itu didedahkan di Osnabrueck, Jerman, tempat mahkamah tentera Britain membicarakan tiga tenteranya atas tuduhan melakukan serangan dan memaksa banduan melakukan aksi seks.
Akhbar Guardian menyiarkan tajuk muka depan Imej menggemparkan terbongkar dalam perbicaraan Abu Ghraib Britain, rujukan terhadap kes penderaan hampir sama yang terbongkar tahun lalu di sebuah penjara kendalian Amerika di pinggir Baghdad.
Pendedahan gambar itu di Britain besar kemungkinan akan meningkatkan bantahan rakyat terhadap keputusan Perdana Menteri, Tony Blair, untuk menyertai Amerika menakluk dan menduduki Iraq.
Gambar muka depan akhbar Guardian itu menunjukkan seorang pegawai tentera Britain menumbuk banduan Iraq yang bahagian atas badannya dibungkus dengan jaring.
Akhbar lain turut menyiarkan lebih banyak gambar. Independent pula menyiarkan siri gambar muka depan dengan sebahagiannya menunjukkan dua banduan Iraq yang bogel didakwa dipaksa melakukan aksi liwat.
Tajuk lidah pengarang akhbar The Sun pula bertajuk Aib tentera.
Negara ini hanya mengemukakan satu soalan hari ini. Bagaimana tentera Britain boleh membenarkan perkara amat buruk ini berlaku.
Kebenarannya di sini adalah hanya segelintir individu yang memberontak membenarkan diri mereka tenggelam ke martabat paling rendah. Tetapi ia bukan alasan.
Kita sudah melihat penderaan dan penghinaan yang dilakukan tentera Amerika di penjara Abu Ghraib, tetapi tidak pernah terbayang tindakan sama berlaku di kem tentera Britain, tulis pengarang akhbar The Sun.
Sementara itu, Blair berkata, Britain tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penderaan.
Kami akan sedaya upaya memastikan bahawa kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penderaan mengikut prinsip prosedur, kata jurucakap Blair yang memetik kenyataan perdana menteri itu semalam.
Tentera Britain dikerah ke rantau Basra di selatan Iraq dan mereka biasanya tidak memakai baju kalis peluru kerana keadaan di situ agak aman. AFP
Akhbar Daily Mail dalam lidah pengarangnya menyatakan gambar itu amat menyakitkan hati serta mungkin menyebabkan reputasi Britain hancur. AFP
Tiga anggota tentera elit Britain, Koperal Daniel Kenyon, Lans Koperal Darren Larkin dan Mark Cooley, menghadapi sembilan pertuduhan berkaitan dengan serangan, memaksa banduan melakukan aksi seks serta melanggar tatatertib angkatan tentera. AFP