Kerja baiki Kaabah ambil masa lebih 377 tahun
PADA Rabu, 3 April 1629 berlaku hujan lebat di kota Makkah hingga menyebabkan banjir besar, yang belum pernah berlaku sebelum itu.
Air melimpah masuk ke Masjidil Haram dan menenggelamkan kebanyakan tempat, termasuk Kaabah yang dinaiki air hingga ke paras pintu. Keadaan ini turut menyebabkan air melimpah masuk ke dalamnya.
Pada Khamis, 4 April 1629, dinding Kaabah di sebelah Hijir Ismail dan separuh daripada dinding di antara penjuru Hajar al-Aswad dengan penjuru Iraqi serta dinding di antara penjuru Syami dengan Yamani runtuh. Tangga ke sutuh dalam Kaabah juga runtuh akibat banjir itu.
Pada 13 April 1629, satu ijtimak diadakan di Masjidil Haram yang dihadiri Amir Makkah, Syarif Mas'ud bin Idris, utusan Raja Mesir Husin Agha al-Syawus, ulama serta pembesar bagi membincangkan kerja membaiki Kaabah.
Mereka sepakat memutuskan kerja pembinaan dijalankan secepat mungkin dengan menggunakan dana hasil jualan harta serta barang dalam Kaabah.
Selain itu, mereka menghantar perutusan untuk mendapatkan kebenaran daripada Khalifah Sultan Murad Khan di Istanbul.
Bagaimanapun, hingga November 1629, kerja itu masih belum boleh dimulakan.
Pada 27 Disember 1629, satu perjumpaan diadakan antara Amir Makkah, wakil Sultan Murad Khan, wakil Raja Mesir dan tukang bina al-Mu'allim Ali bin Syamsuddin.
Mereka mengambil keputusan diruntuhkan semua dinding Kaabah hingga ke paras tanah supaya binaan baru kelak akan lebih teguh.
Mereka juga mengambil keputusan supaya tiga dinding dibina mengikut binaan Abdullah bin Zubair, sementara dinding sebelah Hijir Ismail dibina atas asas binaan Hajjaj bin Yusof.
Pada bahagian tempat Hajar al-Aswad ditinggalkan seperti sedia ada.
Bagaimanapun, apabila kerja pembinaan berjalan, bahagian pada sebelah Hajar al-Aswad juga terpaksa diruntuhkan dan dibina baru untuk mengukuh dan mencantikkan binaannya.
Akhirnya kerja pembinaan Kaabah siap keseluruhannya pada 29 Zulhijjah 1040 bersamaan 29 Julai 1631. Pembinaan itu adalah yang terakhir, selepas itu tiada lagi pembinaan dibuat kecuali membaiki kerosakan kecil.
Selepas 377 tahun, kali terakhir pembinaan dan pembaikan dibuat, akhirnya Kerajaan Arab Saudi turut melakukan kerja pembaikan terhadap Kaabah. Ia dimulakan dengan majlis perasmian pada 17 Syaaban 1418 Hijrah (27 Disember 1996) oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah bin Abdul Aziz yang mewakili Raja Fahd bin Abdul Aziz.
Kerja pembaikan dan pengubahsuaian itu, termasuk merombak keseluruhan Kaabah, membuat loteng, memasang tiga batang tiang dan memasang dinding dalam dan luar Kaabah.
Kerja lain adalah memasang lantai dan lantai sutuh dengan marmar serta penyangkut tali pengikat kiswah Kaabah di lantai, tangga dalam Kaabah serta dinding sembilan Hijir Ismail dan Mihzab.