Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Aceh: Setiap tiga langkah mayat bergelimpangan

Written By JOM JALAN on 1/01/05 | Sabtu, Januari 01, 2005

Acheh: Setiap tiga langkah mayat bergelimpangan
Oleh: SITI AINIZA KAMSARI

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Banda Acheh hancur lebih teruk daripada kesan peperangan manakala setiap tiga langkah terdapat mayat yang bergelimpangan.

Keadaan di wilayah itu pula amat kelam kabut dengan banyak bangunan pentadbiran kerajaan lenyap sementara ramai petugas terkorban.

Gambaran menakutkan ini diceritakan oleh Timbalan Ketua Misi Pasukan Bantuan Kecemasan Malaysia (PBKM) Laksamana 1 Abdul Hadi A. Rashid kepada Utusan Malaysia yang menghubunginya di Banda Acheh hari ini.

Kumpulan PBKM yang terdiri daripada 96 anggota itu tiba di Banda Acheh, kawasan yang dilanda gempa bumi dan ombak besar tsunami, kelmarin.

Beliau yang benar-benar terkejut apabila menyaksikan kehancuran dahsyat Banda Acheh akibat bencana alam itu memberitahu lagi:

``Bercakap tentang mayat mangsa, istilahnya, setiap tiga langkah kita berjalan akan jumpa satu mayat. Ia bergelimpangan di sana sini.''

Abdul Hadi berkata, beliau tidak menyangka sama sekali keadaan di Acheh seburuk itu sehingga menyebabkan mereka sedar tugas kali ini adalah begitu mencabar.

``Lebih mencabar lagi apabila fungsi pentadbiran pihak kerajaan tempatan lumpuh berikutan banyak bangunan kerajaan yang lenyap dan ramai petugas terkorban.

``Keadaan ini lebih menyukarkan kita untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan.''

Meskipun begitu, kata beliau, anggotanya akan tetap meneruskan misi mereka untuk mencari dan menyelamatkan mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami.

``Walaupun kita dapat melihat mayat-mayat masih bergelimpangan di sana sini, namun kita lebih menumpukan kepada mangsa yang dipercayai masih lagi selamat tetapi terperangkap terutama pada bahagian bangunan dan sebarang binaan di Banda Acheh.

``Sehingga hari ini, PBKM telah menjumpai 182 mayat di celah-celah runtuhan bangunan terutama premis kedai dan perumahan,'' katanya.

Selain menghadapi masalah kekurangan beg mayat, PBKM menghadapi masalah mengagih-agihkan bekalan makanan kepada mangsa-mangsa yang terselamat.

``Bekalan makanan dilaporkan telah mencurah-curah tiba tetapi disebabkan banyak kenderaan turut musnah dalam bencana ini, ia begitu sukar untuk diagih-agihkan,'' tambah Abdul Hadi lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang ahli perniagaan rakyat Malaysia, Nasharuddin Abu Bakar hampir kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam bencana itu.

``Beliau berkahwin dengan rakyat Acheh di sini dan kerana bencana ini, beliau datang untuk mencari ahli keluarganya.

``Mayat dua daripada anaknya telah dijumpai oleh PBKM manakala isteri serta dua anaknya yang lain masih tidak dapat dikesan,'' katanya.

Nasharuddin, kata Abdul Hadi, adalah antara individu yang banyak membantu PBKM bagi melaksanakan misi mereka berikutan ahli perniagaan itu dikatakan lebih mengetahui selok-belok Banda Acheh.

PBKM kata beliau, bekerja bertungkus-lumus siang dan malam menjalankan pelbagai misi termasuk rawatan yang dikendalikan oleh beberapa orang doktor dari Hospital Kuala Lumpur.

``Walaupun kemudahan asas begitu terhad namun usaha-usaha tetap dijalankan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang juga begitu ramai tercedera akibat bencana itu,'' katanya.