Written By JOM JALAN on 7/01/05 | Jumaat, Januari 07, 2005
Rencana dan Pendapat -
Surat Pilihan: Berdoalah dengan ikhlas ketika hadapi kesusahan
KISAH tragik yang menimpa Rizal Sahputra dari Aceh yang hanyut di laut akibat bencana tsunami amat menyayat hati. Beliau hanya memakan mi segera, minum air laut dan yang menghairankan, beliau masih hidup sesuatu yang aneh dan amat luar biasa.
Itulah kuasa Allah. Dia yang menghidup dan mematikan manusia. Apa yang menarik daripada kisah ini ialah beliau dapat hidup dan bertahan lama berkat doa dan solat. Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Dalam al-Quran disebut: Berdoalah kepada aku (Allah) nescaya Aku perkenankan permohonan ka-mu.
Dalam hadis disebut: Awasilah doa orang yang kena zalim kerana doa mereka akan terus naik tanpa hijab (dinding) yakni akan terus diperkenankan Allah.
Pernahkah kita berdoa seperti Rizal?
Mungkin bagi kita di Malaysia yang hidup dalam serba kemewahan dan kesenangan tidak akan menghayati doa sebenarnya.
Bagi saya yang pernah mengalami peristiwa berkenaan di Pulau Kapas pada awal 1980-an amat mengerti betapa besarnya keikhlasan berdoa kepada Allah ketika menghadapi kesusahan berbanding ketika kita senang.
Waktu itu saya sedang menuntut di sebuah kolej di Terengganu. Saya bersama beberapa rakan bercadang berkelah di Pulau Kapas, Marang, Terengganu. Setelah segala persiapan dibuat, kami sampai di sana pada jam 8 pagi.
Sebaik saja sampai di pantai, saya dan dua rakan terus merayau dan mengelilingi pulau berkenaan.
Kami seolah-olah ditarik kuasa ghaib yang membawa kami memanjat bukit di pulau itu. Kami meredah hutan di situ sehingga akhirnya baru kami sedar tersesat.
Dalam keadaan lapar dan hujan lebat, kami hanya minum air lopak. Pada kira-kira jam 6 petang, kami turun di sebelah belakang pulau itu dengan rasa letih dan menangis kesedihan.
Timbul rasa penyesalan di hati kami. Kawan saya termenung kesedihan, saya mengambil kesempatan pada waktu itu untuk berdoa kepada Allah, satu doa yang paling ikhlas dalam sejarah hidup saya yang mengharap belas ihsan Allah.
Saya berdoa: Ya Allah, selamatkan kami bertiga. Walaupun doa itu nampak ringkas tetapi kerana timbul daripada keikhlasan hati saya, dengan tidak semena-mena kami melihat seorang lelaki sedang bermain jet ski.
Kami pun melambai kepada beliau dan beliau melihat lambaian kami. Selepas itu, bot yang kami naiki untuk ke pulau datang menyelamatkan kami. Peristiwa yang dihadapi Rizal hampir sama dengan apa yang saya alami. Sudah pasti doa Rizal lebih syahdu dan ikhlas serta mendalam di lubuk hati beliau kerana pada waktu itu, tiada lagi sesiapa yang boleh diharapkan membantu kecuali Allah.
Allah berada sangat hampir dengan kita dan mendengar apa yang kita bisikkan.
Oleh itu, kita sebagai orang Islam dan beriman kepada Allah hendaklah sentiasa berdoa dan mengingati Allah sama ada kita berada dalam kesenangan atau kesusahan. Apabila kita sentiasa mengingati Allah ketika senang nescaya Allah akan mengingati kita sewaktu kita susah.
ABDUL HADI SALLEH,
UiTM Melaka.