Written By JOM JALAN on 7/01/05 | Jumaat, Januari 07, 2005
Saya tak mahu pulang ke Aceh
KLANG: Peristiwa ngeri dilanda tsunami serta hanyut di tengah Lautan Hindi selama lapan hari dan kemungkinan kehilangan semua anggota keluarga menyebabkan Rizal Sahputra (gambar) enggan pulang ke tanah airnya di Aceh.
Sebaliknya, pemuda berusia 23 tahun dari Banda Aceh itu mahu menetap dan bekerja di negara ini bagi meneruskan kehidupan.
Saya tidak mahu kembali ke sana kerana semuanya sudah musnah. Saya berharap dapat tinggal dan bekerja di negara ini.
Saya tidak mahu ingat lagi peristiwa ngeri itu. Bencana itu menjadikan saya seorang yang cukup tabah dan percaya segala yang berlaku sudah ditentukan Tuhan.
Tetapi, saya lebih rela menetap di negara anda daripada kembali ke sana dan dibayangi kejadian menggerunkan itu, kata Rizal, 20, yang hanya memakan kelapa, mi segera, serbuk Milo dan minum air hujan ketika berseorangan di atas rimbunan pokok sejak 26 Disember sehingga di selamatkan Isnin lalu.
Beliau ditemui ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, selepas dibenarkan keluar dari hospital, beliau bercadang memulakan hidup baru dan mencari kerja secara sah di Malaysia.
Beliau yang masih sedih dengan kejadian itu berkata, kepulangannya ke Aceh tidak bermakna kerana semua ahli keluarganya dipercayai terkorban dalam bencana itu.
Rizal ditemui kira-kira 100 batu nautika dari pantai Aceh dengan hanya memakai kemeja-T jingga dan berseluar pendek hijau tua, sedang berdiri di timbunan pokok yang terapung.
Kelibatnya yang melambai ke arah kapal, dikesan anak kapal kontena Durban Bridge di Lautan Hindi pada kedudukan longitud 58.4 darjah utara dan 93.4 darjah timur, kira-kira jam 5.20 petang waktu tempatan.
Rizal kini beransur sihat dan semakin bertenaga selepas mendapat rawatan serta makanan secukupnya di hospital.
Saya juga gembira dan sangat terharu kerana ramai warga Indonesia yang menetap di negara ini datang melawat. Kedatangan mereka dapat mengurangkan kesakitan saya.
Walaupun sedih kehilangan ahli keluarga, saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk terus hidup, katanya dalam nada sebak sambil menitiskan air mata.
Sementara itu, Timbalan Pengarah HTAR, Dr Ismail Mohd Yusof, berkata Rizal yang mengalami banyak luka pada kedua-dua kaki kini stabil dan beransur pulih.
Beliau berkata, mangsa perlu berehat dan diberikan rawatan rapi, manakala lukanya sudah dibalut dan disapu antibiotik untuk mengelakkan ia merebak.
Kita akan membawa Rizal bertemu pakar kaunseling supaya trauma yang dialaminya dapat dikurangkan. Dia mungkin dibenarkan keluar hospital jika semuanya baik, katanya.
Terdahulu, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon dan Ketua Wanita Umno Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin menyampaikan sumbangan RM500 kepada Rizal.