Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005


’Saya ingat dah mati’
Lelaki 70 tahun ditemui hidup selepas 11 hari terperangkap
JAKARTA: “Saya tidak lagi ingat macam mana saya boleh selamat. Saya hanya minum air yang ada di sekeliling kerana tidak dapat menggerakkan badan. Saya ingat dah mati, tapi Tuhan menyelamatkan saya walaupun berhari-hari tidak menjamah nasi.”


Itulah antara kata-kata seorang lelaki tua Indonesia berusia 70 tahun yang ditemui hidup selepas 11 hari berada di bawah runtuhan rumahnya yang musnah dilanda malapetaka tsunami di Banda Aceh, semalam.

Menurut laporan, pekerja penyelamat menemui Muhammad Zaini yang berada dalam keadaan lemah dan uzur sewaktu mereka menyelongkar timbunan runtuhan bangunan di Puta Alam, Banda Aceh, yang teruk dilanda tsunami.

“Apa yang saya ingat, bumi bergegar dan dinding rumah saya roboh. Saya terus terapung dan dihanyutkan air sebelum dinding rumah menimpa dan menghimpit saya,” kata Zaini kepada akhbar Harian Kompas di Hospital Komando Angkatan Darat Iskandar Muda, Banda Aceh.

Sejak itu, dia tidak ingat lagi apa yang berlaku dan tidak sedar sama ada siang atau malam. “Saya sendiri menyangka mungkin saya sebenarnya sudah mati. Malah saya pernah bermimpi diberi makan oleh sekumpulan burung,” kata Zaini yang bersendirian dalam rumah ketika tsunami melanda.

Walaupun terselamat daripada bencana itu, Zaini mengakui lebih sedih kerana kehilangan isteri serta enam anak lelakinya yang terkoban dalam kejadian itu.

Gempa bumi serta banjir ombak yang menyusulinya menyebabkan sekurang-kurangnya 30,000 penduduk terbunuh di Banda Aceh saja dan dianggarkan hampir 80,000 lagi di seluruh wilayah berkenaan.

Penemuan Zaini menyusuli beberapa kes mangsa yang terselamat sebelum ini selepas dilanda tsunami 26 Disember lalu.

Kelmarin, seorang budak lelaki India di Port Blair, diselamatkan selepas duduk atas pokok selama 10 hari di kepulauan Andaman tanpa sebarang air dan makanan.

Murlitharan diselamatkan oleh krew helikopter dan salah seorang daripada 17 orang yang ditemui selamat di kepulauan itu.

Selasa lalu, seorang wanita Aceh diselamatkan sebuah bot nelayan Malaysia ketika berpaut pada sebatang pokok kelapa hanyut di Lautan Hindi, enam hari selepas tsunami melanda rantau ini.

Malawati, 23, ditemui bot ikan tuna, Hong Xiang No 8, yang berpangkalan di Pulau Pinang di Lautan Hindi, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Aceh. – Agensi.