Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005


Kebesaran Ilahi
Oleh Zainuddin Ayip
KESAN bencana tsunami di wilayah Aceh di utara Sumatera pada 26 Disember lalu begitu memilukan. Selain angka korban mencecah 100,000 orang, banyak bangunan, rumah, kemudahan awam, ladang dan ternakan musnah.


Namun satu keajaiban berlaku apabila berpuluh-puluh masjid tetap berdiri teguh dengan kubah masih tersergam megah di tengah-tengah kehancuran beberapa bandar dan kampung akibat amukan tsunami.

Menara masjid yang masih bersinar di bawah limpahan cahaya matahari adalah suatu fenomena yang menimbulkan kekaguman dan keinsafan terhadap kuasa Tuhan, seperti ungkapan ulama di Sigli, Aceh, Teuku Kaoy Ali: “Tuhan menghukum sesetengah daripada kita yang lupa diri, tamak dan angkuh, tetapi Tuhan melindungi rumah-Nya (masjid)."

Mukhlis Khaeran yang menyaksikan ombak menghanyutkan rumahnya di Baet dekat Aceh, berkata kekuasaan Tuhan menghalang masjid daripada ranap dan ini suatu keajaiban.

Bagi penceramah bebas, Daud Che Ngah ketika dihubungi di Kuala Lumpur, kelmarin, berkata, bukan sesuatu yang menghairankan masjid berusia ratusan tahun masih kukuh berdiri tanpa terjejas teruk.

“Jika kita imbau kejadian lalu - gempa bumi di Bam, Iran dan juga di Turki, masjid juga tidak terjejas dalam keruntuhan pelbagai bangunan dan kematian ribuan manusia. Ini petanda yang amat besar kepada kita semua. Iran dan Turki dua negara Islam tetapi Allah menguji mereka sebagai ingatan mungkin ada kepercayaan yang mereka amalkan tidak kena.

“Begitu juga di Aceh, Allah sebenarnya masih memberi peluang kepada umat Islam di mana saja untuk dijadikan bahawa masjid adalah tempat beribadah dan mewujudkan perpaduan, bukan tempat merebut jawatan atau mengumpat.

Disebabkan masjid adalah rumah Allah, ia dilindungi. Justeru itu, kata Daud, umat Islam harus menghidupkan masjid dengan amal ibadah.

Masjid adalah pemandangan biasa di kebanyakan tempat di Indonesia, terutama di Aceh, yang dianggap serambi Makkah dan pintu masuk Islam ke negara kepulauan itu yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.

Ketika sesetengah penduduk bercakap mengenai kemurkaan Tuhan, beratus-ratus orang berlindung di masjid dalam keadaan panik untuk lari daripada ombak ganas sambil berdoa kepada Tuhan supaya terselamat daripada bencana tsunami.

Di perkampungan Kaju, dekat Aceh, ratusan rumah musnah manakala masjid di kawasan itu hanya rosak pada dinding.

"Penduduk Aceh berkata masjid adalah rumah Allah dan tiada siapa boleh merobohkannya melainkan Tuhan sendiri," kata Ismail Ishak, 42, yang menggali timbunan runtuhan rumahnya untuk mencari tujuh saudara maranya yang hilang.

Di Pasi Lhok, kira-kira 20 kilometer dari pekan Sigli, utara Aceh, 100 orang yang lari berlindung dalam masjid sambil melihat hampir setiap rumah di lima kampung sekitarnya ranap, kata imam besar kawasan itu, Teuku Kaoy Ali.

Di Meulaboh, pekan di barat Aceh yang terletak 150 kilometer daripada pusat gempa bumi yang mencetuskan ombak besar maut itu, 10,000 mati tetapi masjid di bandar itu tersergam di tengah-tengah kehancuran.

Seorang penduduk di sini, Achyar berkata, apabila melihat ombak besar muncul dari laut, dia terus lari ke masjid. "Saya memanjat menara masjid dan memegang kuat wayar elektrik sehingga air surut. Saya juga lihat kebanyakan rakan Cina lemas ketika mereka berlindung di tingkat dua kedai mereka," katanya.

Satu penjelasan yang diberi kenapa masjid tidak musnah adalah kebanyakannya dibina lebih kukuh daripada struktur lain. Namun, sebuah masjid di Sigli dibina daripada kayu tetapi masihterselamat walaupun bangunan lain di sekelilingnya musnah. Ini membuktikan kekuasaan Alah melindungi rumah ibadat.

Sebahagian Masjid Baiturrahman di Banda Aceh rosak sedikit tapi tidak lama selepas bencana berakhir, ia menjadi kawasan paling berguna untuk mereka yang terselamat berteduh sementara dan menunggu ahli keluarganya yang terperangkap.

Ramai yang bertemu sahabat dan saudara di masjid itu. Ia turut dijadikan hospital sementara untuk merawat mereka yang cedera dan juga rumah mayat.

Namun penduduk berasa mereka perlu memulakan pembinaan secepat mungkin dan masjid itu menjadi bangunan pertama yang diperbaiki. Seminggu selepas kejadian, 300 mangsa tsunami yang terselamat kembali semula mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid itu, langkah pertama untuk mengembalikan suasana normal di Aceh.