Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005
EMPAT wajah menunjukkan aksi berbeza. Haliza sebak ketika
mayat anak perempuannya ditemui (gambar atas kiri), Jamilah
menyuapkan makanan kepada Siti Zulaikha yang terselamat daripada
dihanyutkan ombak besar, Datuk Dr Hilmi berjaya menyelamatkan
diri dan Zulkifli terlalu sedih apabila kehilangan lima
anak dalam kejadian tsunami di Pulau Pinang.
Coretan pengalaman mangsa bencana
Oleh Ziauddin Sharuddin
PENGALAMAN mangsa yang terselamat daripada bencana tsunami yang melanda rantau Asia penuh dengan seribu satu kisah sedih. Ada yang sungguh menyayat hati, namun ada juga yang berakhir dengan senyuman tanda syukur.
Sedih kerana walaupun terselamat, tetapi kehilangan orang tersayang. Gembira pula kerana walaupun harta benda musnah, tetapi nyawa tidak melayang.
Ada yang hilang anak bukan seorang dua, tetapi hingga lima orang sekali gus dalam sekelip mata. Begitu juga ada yang hilang isteri dan suami.
Tsunami juga tidak mengenal mangsa. Bukan sekadar penduduk negara terbabit yang menderita fizikal dan emosi akibat kehilangan orang tersayang, malah warga Barat yang melancong tidak terhindar.
Percutian mengelakkan musim sejuk di Eropah yang sepatutnya menjadi kenangan manis bertukar menjadi mimpi buruk bagi mereka hingga akhir hayat.
Ikuti sebahagian kisah mereka yang terselamat daripada menjadi mangsa tsunami dan perasaan mereka yang kehilangan orang tercinta.
Zulkifli Mohd Noor
Hilang lima anak
LIMA anaknya, Siti Norain, 16; Mohd Sukri, 13; Siti Atikah, 10; Siti Noor Suraya, 8 dan Siti Noorsyuhada, 4, maut dalam sekelip mata dibawa ombak besar di pantai perkelahan Pasir Panjang, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Zulkifli tidak menyangka ikan yang melompat ke darat sebelum ombak besar itu melanda sebenarnya adalah suatu perangkap yang meragut lima daripada tujuh anaknya.
Ketika kami semua sibuk mengambil ikan, tiba-tiba datang ombak besar dan terus menghanyutkan semua orang. Saya dan isteri sempat menyelamatkan diri kerana berpaut pada pokok dan batu, katanya.
Isterinya, Jamilah Majid, 36 dan dua lagi anaknya terselamat. Siti Fairuz, 15, sempat berpaut pada sebatang pokok.
Siti Zulaikha, 1, pula benar-benar bertuah diselamatkan buaiannya. Buaian itu tersangkut di pokok menyebabkan Zulkifli bertungkus lumus berenang ke arah pokok untuk menyelamatkan anak bongsunya.
Mohamed Said
Kehilangan seorang anak
KELUAR memancing bersama anak lelakinya, Ayub, 17, sepatutnya menjadi pengalaman menyeronokkan bagi seorang ayah yang sukakan kegiatan luar.
Bagaimanapun, Mohamed, 60, kehilangan anak kesayangannya apabila sampan yang mereka naiki dipukul ombak besar.
Pada mulanya, mereka masih bertahan apabila ombak besar melanda sampan sebanyak dua kali, tetapi menyerah kalah kepada kuasa alam apabila ombak besar ketiga melanda.
"Selepas pukulan ombak kali kedua setinggi hampir tiga meter, sampan melambung sekurang-kurang tujuh kali ke udara.
"Ketika itu, saya hanya sempat berpaut pada sampan yang terbalik sambil menjerit kepada Ayub supaya menjaga diri, katanya.
Tidak sampai lima minit, pukulan ombak ketiga yang sangat kuat menyebabkan pautan pada sampan terlepas dan saya hanya bergantung kepada sebatang buluh yang patah di tengah laut," katanya.
Mohamed berkata, dia menjerit berkali-kali memanggil nama anaknya, tetapi tiada balasan dan badannya begitu letih menyebabkannya hanya berserah kepada Allah.
Haliza Husaini
Seorang anak maut
SELEPAS tiga hari menunggu, Haliza, 37, dan suaminya, Anuar Mahmud, 36, akhirnya menemui mayat anak perempuan kesayangan mereka, Nur Iffah, 5.
Haliza menangis tidak dapat menahan perasaan sedih melihat keadaan mayat anaknya dengan berkata: Ya Allah...kesiannya anak aku, Masya-Allah!
Nur Iffah, anak ketiga daripada empat beradik dihanyutkan ombak besar ketika bersama keluarganya berkelah di Pantai Pasir Panjang dekat Balik Pulau, Pulau Pinang.
Menceritakan kejadian itu, Anuar berkata mereka baru saja sampai di pantai itu dan selepas meletakkan hamparan serta bekalan dan bersiap untuk mandi, dia ternampak ombak besar datang.
Ketika cuba menyelamatkan diri, saya terjatuh dan berpusing-pusing serta tidak sempat memegang (Nur) Iffah yang agak jauh ketika itu, katanya.
Haliza dan tiga anaknya yang lain terselamat kerana seorang sempat berpaut pada dahan pokok, seorang sempat ditarik seseorang, manakala seorang lagi dipegang isterinya.
Jillian Searle
Nyaris kehilangan seorang anak
SEARLE dari Perth, Australia, terpaksa membuat pilihan yang sukar apabila tsunami melanda pantai peranginan Phuket, Thailand.
Apabila arus deras melanda kawasan berhampiran kolam renang sebuah hotel di bandar itu, Searle yang ketika itu memegang erat tangan dua anak lelakinya, Lachie, 5. dan Blake, 2, terpaksa membuat pilihan, iaitu melepaskan tangan seorang daripada anaknya atau pun tiga beranak itu terkorban.
Sambil berharap seorang daripada anaknya yang dilepaskan akan selamat, Searle akhirnya membuat keputusan melepaskan anak sulungnya.
"Saya tahu terpaksa melepaskan seorang daripada mereka dan rasa lebih baik melepaskan anak yang tua."
"Sebaik saja saya melepaskannya, seorang wanita berjaya memegangnya, tetapi terpaksa melepaskan Lachie kerana dia mula tenggelam," katanya.
Selepas ombak reda, Searle menjerit cuba mencarinya dan mula menyangka anaknya sudah mati.
Umur Lachie masih panjang kerana dia sempat berpaut pada pintu hotel dan ditemui semula dua jam kemudian. Searle bertuah kerana kedua-dua anaknya selamat hingga dia sendiri tidak percaya mereka berada di sisinya.
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya
Bernasib baik
SETIAUSAHA Parlimen Kementerian Kewangan ini berada di pantai Kuala Sungai Burung, Pulau Pinang, apabila tiba-tiba melihat ombak besar bergulung ke arahnya.
"Saya menjerit meminta orang ramai yang berada di pantai supaya lari menyelamatkan diri. Ketika itulah saya ditarik seseorang ke tempat selamat, katanya yang bersyukur kerana terlepas dari maut.
Mohd Alias Abdul Razak
Menyangka ketibaan kiamat
PELAJAR Institut Agama Islam Ar-Raniry Darusssalam, Banda Acheh, berumur 24 tahun ini, menyangka ombak besar diiringi bunyi yang lebih kuat dari deruman kapal terbang mendarat adalah kiamat.
Saya rela jika mati ketika itu, katanya yang berlari bersama ribuan penduduk Banda Acheh apabila diarahkan polis melarikan diri.
Dari rumah sewanya di Jeulingke, dia dan beberapa rakan serumahnya berlari sejauh kira-kira 15 kilometer hingga ke Masjid Uleekareng.
Katanya, anggota polis menjerit dalan bahasa Acheh `ei katamong bermaksud `air dah naik.
Saya terus berlari tanpa memahami apa yang sebenar berlaku. Sepanjang perjalanan melarikan diri, kami ditunjukkan arah jalan oleh anggota polis.
Sepanjang perjalanan, saya menyaksikan pelbagai kejadian yang menyedihkan hati ketika ombak besar itu mengejar mereka, katanya.
Mohd Alias berkata, ada penduduk yang menyangka dapat menyelematkan diri dengan berdiri di atas lori tangki yang turut terpelanting dirempuh ombak.
Saya bersyukur kerana semua pelajar Malaysia selamat, tetapi tidak menyangka bencana yang dahsyat ini melanda Acheh kerana gempa bumi sebelum ini adalah perkara biasa.
Mungkin ini ada iktibarnya, terutama bagi segelintir anak muda di Banda Acheh yang terbabit dalam gejala pergaulan bebas, katanya